Isnin, Disember 14, 2009

ADAB BELAJAR

  1. Di mulai dengan Al Fatihah, selawat dan doa-doa penerang hati.
  2. Sentiasa beristighfar, memohon keampunan kepada Allah kerana istighfar itu adalah cahaya kepada kegelapan.
  3. Berada di dalam keadaan berwudhuk.
  4. Perbetulkan niat, belajar itu kerana Allah SWT semata-mata.
  5. Memberi fokus sepenuhnya terhadap pelajaran.Waktu mengulangkaji yang terbaik biasanya 1/3 akhir malam, antara maghrib dengan isya' dan waktu pagi.
  6. Sentiasa mencintai ilmu dan bersikap merendah diri.
  7. Selalu merujuk kepada guru.
  8. Buat study group
  9. Sedia menunjuk ajar bila di minta

Wadah Untuk Wanita

SESUNGGUHNYA MENJADI WANITA ITU ADALAH SANGAT INDAH, NAMUN UNTUK MENJADI SEORANG WANITA BUKANNYA MUDAH.....

WANITA ADALAH ANUGERAH,TEMPATNYA ADALAH DI SISI UNTUK DI SAYANGI DAN DI HARGAI, BUKAN UNTUK DI BENCI DAN DI SAKITI.

BERBANGGALAH KERANA ANDA ADALAH WANITA KERANA ANDA ADALAH NADI DAN WADAH SEKALIAN UMMAH.

Jumaat, Disember 04, 2009

Ku Sahut panggilanMu

Tika menatapmu dari jauh..
Tubir mata mula pedih
Setenang bayu pagi..
Sedingin embun dinihari
Sedih, sayu bergetar di bibir.
Masjidil Haram......
Aku melangkah rindu di naunganNya
Benarkah aku yang sedang berdiri di sini?
Tidak bermimpi lagi..
PanggilanMu menjemputku ke sini
Dengan syahdu kasihMu
Ku sujud di hadapan BaitullahMu
Sarat ku bawa segala dosaku
Memohon seribu RahimMu
Akulah hamba yang fakir
Yang mendamba jalan yang lurus
Jalan yang satu yang mendahuluiku

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Tika Muhasabah Diri..

Tika muhasabah diri..
Terasa sakit dan perit.
Nostalgia terusik..
Tiada yang menarik
Tika muhasabah diri..
Menung itu harus di renung,
Mata turun ke kaki
Sekilas waktu hanya di jari.
Singgahlah untuk muhasabah diri..
Cermin akal tak terdangkal
Lautan hati kini berbungkal
Gelombang duka menjadi sesal.
Sesaat muhasabah diri..
Terasa berat dan sarat di hati.
Keruh di tasik mata
Mengalir deras ke pipi
Bersatu di lembah tak bertepi.
Memohon keampunan ilahi.

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Apakah Hala Tuju Anda?

Remaja adalah aset negara yang tidak ternilai harganya. Alam remaja bukanlah bererti anda kini berada di zon selesa. Tahukah anda, di tahap ini anda di ibaratkan seperti seorang pelari pecut yang baru hendak memulakan larian dalam satu pertandingan. Anda sepatutnya berlari di lorong anda dengan pantas setangkas seekor kuda.Andai anda terjatuh, maka bangunlah dan teruskan larian hingga ke garisan penamat.

Sementelah itu anda haruslah sedar bahawa dalam setiap pertandingan ada kalah menangnya.Namun demikian, yakinlah bahawa setiap peserta akan berakhir di garisan penamat yang sama, kecuali ada segelintir yang keluar dan menamatkan lariannya tanpa ke garisan penamat. Apa yang hendak di sampaikan di sini, sebenarnya itulah rentetan hidup kita.. Setiap dari kita haruslah ada hala tujunya sendiri. Tanpa hala tuju yang betul kita pasti akan kecundang kerana tanpa ilmu dan strategi sudah tentu kita akan kebuntuan dalam mengatur masa dan tindakan kita. Kita akan seolah-olah sedang berjalan di lorong gelap tanpa menggunakan lampu suluh.

Remaja sekalian, institusi pendidikan bukanlah di rangka hanya sekadar untuk menyalurkan maklumat tentang pembelajaran semata. Ia juga bukanlah sebagai jambatan untuk memperoleh sijil dan seterusnya mendapat pekerjaan. Sepatutnya remaja bijak untuk menjana seberapa banyak ilmu menerusi kurikulum dan ko kurikulum yang di sediakan. Segala ilmu yang di peroleh sebenarnya akan kita amalkan sepanjang hayat dan boleh di aplikasikan kepada orang lain. Generasi berilmu adalah yang bijak menggunakan akal budinya pada setiap peluang dan ruang yang di berikan.

Oleh itu, buangkanlah sikap pesimis anda dan sentiasalah mencari prakarsa dalam merancang hidup yang lebih syumur. 'Masa itu emas', maka jadilah insan yang cemerlang membina, mengguna dan mengurus masanya dengan baik. Sehubungan dengan itu juga remaja yang berjaya adalah yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap dirinya, penciptanya dan orang lain.

Sesungguhnya minda yang sihat dan berkembang maju dapat menjana kecemerlangan yang lebih hebat. Berusahalah melalui pembacaan, perbincangan dan mendengar maklumat yang bermanfaat. Justeru itu,pupuklah budaya membaca dari kecil lagi kerana membaca dapat memperkayakan dan menajamkan minda kita. Komunikasi yang berkesan dan berilmu juga datangnya daripada pelbagai cabang informasi pembacaan.

Oleh itu masa remaja adalah waktu yang terbaik untuk merancang dan menimba seberapa banyak ilmu yang bermanfaat agar anda bijak mengurusnya tanpa sia-sia.Remaja yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dapat menilai dan mencari resolusi yang terbaik pada dirinya dan ke mana hala tujunya akan datang. Justeru itu remaja yang mempunyai sahsiah cemerlang akan sentiasa menjauhkan diri dari pergaulan yang tidak sihat dan persekitaran merugikan.Maka, sementara hayat mengasuh hasrat selagi itulah anda harus menemukan langkah berhemat menuju puncak matlamat.

Selamat menjayakan hala tuju anda dan binalah kehidupan secara sistematik kerana apa yang anda akan nikmati di masa hadapan adalah bermula dari apa yang anda semai dari sekarang.Semoga anda adalah dari kalangan orang-orang yang berjaya dan hebat di masa akan datang.

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya.

Isnin, November 23, 2009

Di tabir usia ini ada lorong-lorong yang bisa tersenyum dan menangis..
Kita bukan petualang masa..yang bisa merobek dan menderhaka.
Kita hanya pengutip cinta.
Cinta pada Tuhan
Cinta pada PesuruhNya
Cinta pada kalammullah
Cinta MalaikatNya
Cinta qadha dan qadarNya.....
Genggamlah cahaya makrifat
Dalam rindu berdaulat yang telah tersurat
Hulurkan tangan budimu menjejak musim-musim yang tertawa
Menyentuh sukma dan jiwa
Menghangatkan malam yang terlupa menyapa purnama
Gugahlah mimpi yang terlena dari bersuara
Persinggahan ini seketika cuma
Hanya segumpal zikir nan tak kan mungkir
Bertasbih pada Khaliqnya
Bersama menjadi penghuni syurgaNya..

Kota Tinggi

Indahnya Pengorbanan Itu.

Pagi ini saya bertandang ke ruang fikir yang tidak terbatas.Segalanya singgah di benak hati yang kudus ini dan terasa betapa kecilnya diri ini.Tidak pernah terjangkau dek kotak fikir bahawa setiap yang kita lalui ini penuh dengan pengorbanan.Walau sesuram mana dan seindah mana kehidupan kita ini sesungguhnya ia bersulamkan dengan jaringan pengorbanan yang bukan sedikit untuk di rungkai.


Sesegar di  rentetan hidup ini, kita mungkin telah lalui banyak duri ranjau yang tak berkesudahan.Apa yang menjadi kekuatan diri kita selama ini hanya sekelumit cahaya iman dan pegangan agama yang di bekalkan,begitu juga rasa syukur atas nikmatNya yang tak ternilai harganya.Saya merenung sejenak akan kejadian yang sedang berlaku di sekeliling,betapa hebatnya musibah yang telah Allah swt berikan pada hambaNya. MasyaAllah, gempa bumi,banjir,tanah runtuh dan penularan pelbagai penyakit yang menggerunkan..Ya, mungkin dunia kini telah menghampiri usia tuanya. Kita sedar tentang itu,namun gejolak memburu cinta dunia banyak menghakis ketebalan cinta pada akhirat.

Alangkah indah andai kita dapat melihat menerusi bicara mata..kerana mata tidak boleh menipu keadaan. Hati yang kotor seringkali tersimpuh di ruang tohor lagi berliku.Kita tidak mungkin dapat menilai tiap pengorbanan orang lain terhadap kita.Sebagai anak, pelajar,anggota masyarakat,rakyat, pemimpin atau walau sesiapa pun kita pengorbanan perasaan,harta benda, tenaga dan pemikiran menjadi wadah pemangkin budi kita.Itulah nilai keperibadian seseorang yang menjadi kayu pengukur sahsiah setiap insan. Saya terkesima sendirian mengenang bagaimana ketinggian cinta Nabi Ibrahim as terhadap Yang Maha Esa mengatasi segalanya. Perintah Allah swt supaya baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail as di laksanakan demi cintanya pada Allah swt. Kita dapat melihat juga betapa kuatnya pengorbanan Siti Hajar merelakan anaknya disembelih demi mentaati perintah Allah swt. Sesungguhnya pengorbanan itu memang indah.......

Saya juga merasa sangat terharu akan ketulusan hati insan-insan yang sanggup mendermakan sebahagian daripada organnya demi menyelamatkan nyawa insan lain. Alangkah indahnya jika saya dapat berbuat seperti mereka.Segala pengorbanan mereka membuat saya tersedar dari igauan semalam bahawa nikmat yang Allah kurnia ini sangat hebat dan patut di kongsi bersama pada yang memerlukan. Subhanallah...bila kita kekurangan dan sedang memerlukan barulah kita sedar akan kebesaran dan menghargai segala nikmat yang di beri.

Sempena menyambut hari kebesaran umat Islam iaitu Aidul Adha ini marilah kita mencari segala keindahan erti pengorbanan itu. Sebagai umat yang ingin mencapai kejayaan di dunia dan juga di akhirat, hayatilah semua perjuangan dan pengorbanan junjungan kita Rasulullah saw demi menegakkan syiar Islam keseluruh alam. Muhasabahlah setiap masa untuk mencari kelemahan diri agar segala langkah kita tidak sesia dan merugikan.Hargailah apa yang ada di samping kita menambah nilai dan memperkasakannya agar sentiasa ampuh dan utuh.Cabaran dan dugaan merupakan bumbu untuk kita mencapai kemenangan dan kejayaan yang manis dan bermakna dalam hidup ini. Saya ingin mengingati diri sendiri dan anda jua moga kita bisa jadi hamba yang sentiasa bersedia untuk berkorban demi maruah bangsa dan agama tercinta.Salam Aidul Adha dari saya buat semua...

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

Jumaat, November 13, 2009

Seindah Budi


Indah nian nyanyian hati,
Terukir jadi lukisan diri,
Indah sungguh budi pekerti,
Jelas terpancar wajah berseri.


Paduka Raja merafak sembah,
Sembah di iring Paduka Menteri,
Seri hidup manakan berubah,
Andai malas menyelimuti diri.


Mahligai gemilang indah berkerlipan,
Saujana memandang dari menaranya,
Badai dan dugaan perencah kehidupan,
Teruskan perjuangan hingga ke akhirnya.


Seri muka santapan di raja,
Lemak manis bersari pandan,
Andai terluka biarkan saja,
Itu cuma mainan di badan.

Cinta Khadijah

Khadijah,
Aku kepingin  menyusuri jejakmu
menyapa lambaian tasbih
mentalqin cinta dunia
buat seorang kekasih..
bisakah aku temui tiap langkahmu.
dalam kelam yang bersilang
nafasku dikekang cengkam
hingga aku lelah berdiri
mencari diri sendiri
Kini rinduku tersingkap 
di balik tabir kasihnya
memberi ruang senyum di hati
mencari nur ilahi
Aku ingin sepertimu Khadijah
menjadi belahan jiwa kekasih
setia di sisi menggenggam pedih
nyawa dan harta bukan saudara
rela berjuang demi syiarnya
Aku rindu nur kasihmu Khadijah
cinta ilahi menjadi saksi
sebagai serikandi berbudi.
sampai akhir nanti..


Kota Tinggi



Isnin, November 09, 2009

Bejana Emas

Aduhai bejana emas
wadah tersimpan pawitera sakti
meski di pinggir dek dewa dan dewi
menolak tepi rayuan peri
Bejana bertahta intan permata
dulu di junjung di panca persada
kini melutut sayu nan hiba
kerna alam porak peranda
Bejana kini menangis sepi
tersiksa oleh canda rang muda
berpesta menongkah langit dunia
tak kenal siapa saudara
Entah kenapa geringnya diri
lima tiang seri kan rebah ke bumi
Bejana emas pawitera sakti
menanti tasdik bicara hati
sebelum tiba utusan mati.



.

Ahad, November 08, 2009

Misteri Dusun Tua (Siri 1)

Aku harap kalian terhibur dengan beberapa kisah misteri yang akan aku bingkiskan buat tatapan kalian. Aku hanya ingin mencungkil salah satu dari kejadian yang membuktikan betapa hebatnya kebesaran Tuhan..Janganlah di salah ertikan kisahku ini hanya sekadar coretan pengalaman diri.

Petang itu..aku, Hasnah dan Atikah berbasikal seperti kebiasaan kami menuju ke hujung kem.Kami merupakan anak-anak jurulatih kawad di kem ini. Kami seusia malah di kelas yang sama di SK Hulu Langat.Keakraban kami baik di sekolah mahu pun di kem menggamit banyak memori indah dan menakjubkan.Lokasi kami sepanjang lewat petang hanyalah di bawah sepohon manggis bersebelahan dengan sebuah kubu peninggalan Perang Dunia Kedua. Ia terletak di hujung kem bersebelahan dengan padang bola.

Aku hairan kerana mak dan abah sering menegah aku dan teman-teman pergi ke sana.'Tempat tu keras.. jangan pergi main-main kat sana,"begitulah pesan mak pada kami..Kami hanya menganggukkan kepala.Bila dah berbasikal Atikah selalunya memberi cadangan agar ke tempat biasa."Alah mana ada hantu siang-siang macam ni..jangan takutlah,kan kita ni nak jadi macam Hardy's Boy..jomlah!". Dan tanpa melengahkan masa kami terus bergegas ke sana. Setibanya kami ke tempat itu, aku merasa agak berlainan dari biasa.Aneh! Aku terasa seperti ada seseorang yang sedang memerhatikan kami..Sepantas itu juga bulu tengkuk terasa meremang.Tapi bila melihat gelagat Atikah dan Hasnah sedang bermain batu seremban, hatiku mulai terleka sedikit.Tiba-tiba begitu menyengat bangar seperti air longkang.Terasa nak muntah pun ada di kala itu..Aku kembali merasa seram..Aku mencari-cari dengan hujung mata..dan sekilas itu juga aku melihat sesusuk tubuh di celah-celah banir bersebelahan kubu.Sepasang mata yang merah menyala sedang merenungku.Aku lantas mengajak teman-teman pulang,lagi pun petang tak lama lagi akan berlabuh.Malam pula akan menyusul.

Malam itu aku tak boleh pejamkan mata.Entah mengapa mata ini asyik terpandang sepasang mata merah tadi.
Ia bagai ada di mana-mana dalam kamar tidurku. Aku cuba membaca beberapa ayat suci dari Al Quran. Tak lama kemudian aku merasa panas bak air yang sedang mendidih di simbah ke badanku.Aku menjerit meminta tolong.Aku melihat mata itu benar-benar berada di sebelahku.Aku meronta-ronta hendak lari jauh-jauh dari mata merah itu,tetapi tubuhku di pegang dengan erat sekali oleh lembaga-lembaga yang sangat menakutkan. Akhirnya aku tewas..Bila aku buka mata kulihat mak,abah,kakak dan seorang tua sedang memerhatikanku dengan kegusaran yang bersarang di hati.."Lain kali jangan pergi lagi tempat tu!"pesan atok padaku dengan keras.Sejak hari itu aku tak berani ke tempat itu lagi.

Semoga segala yang di paparkan menjadi iktibar kepada kita agar lebih berhati-hati,sebenarnya karya ini saya tulis semasa usia saya13 tahun dan pernah di siarkan di majalah sekolah. Pada waktu itu saya gemar menulis cerita berdasarkan pengalaman sendiri.Insyaallah di lain ketika saya akan siarkan kembali beberapa karya kecil saya untuk tatapan anda..


UMMI  ADAM
Kota Tinggi

Selasa, November 03, 2009

SEKADAR KUDAPAN HATI

Indah sungguh istana sakti
Tempat beradu Sukma Abadi
Madah bersuluh menjadi bakti
Hebat di mata di ambang budi.

Dengarlah ini hamba berperi
Sematkan ia di dalam hati
Jadikan ia pedoman diri
Jadi azimat hingga ke mati.


Hamba hanya menitipsuka
Mencari gelanggang bicara permata
Di anjung kalam kita berseloka
Tari tersusun langkah sekata.


Hidup berilmu itulah tujuan
Berjaya di dunia di akhirat jua
Hamparkan kasih sesama insan
Taburkan budi sepanjang usia.


Budi pekerti cermin diri
Cantik di pandang menusuk ke hati
Limpahan bakti kasih di beri
Segugus rahmat menjadi titi.

Ummi Adam

Andai Kau Adalah Aku..

Aku pasrah..
dalam suram nan indah
mungkin bukan untung di kotak fikir
walau segelintir,
Andai aku di himpit waktu
bimbang
walang
atau malang..
mungkin itu ketentuan
Aku di buai mimpi
atau ia realiti..
memang tak pasti
doa
harapan
impian
kini terhampar seludang keyakinan
Atau mungkin hanya terhenti di sini..
untuk menyimpul simpati
dalam merisik hari
mata gusar
hati tersasar
perjalanan ini sangat menyesakkan
debuan nafas dalam gelodak kepayahan
membuak seribu permintaan
Andai inilah takdir terukir
Aku kian terpinggir
walau tidak di usir
kembalilah aku menyapu mimpi
bersama gerhana di hati...

Ummi Adam.

Sejenak Di serambi Akal

ILMU ITU MUDAH
AMAL ITU INDAH
IMAN ITU TERARAH

SADAQAH ITU MENAMBAHKAN REZEKI DAN BUKAN MENGURANGKAN REZEKI...

SENYUMAN YANG IKHLAS MEMBAWA KEBERKATAN
SENYUMAN MAKRIFAT MEMBAWA KECELAKAAN

SALAM ITU DOA
SALAM ITU IBADAH
SALAM ITU UKHUWAH

MATA HATI ADALAH PERMATA AKAL , MATA DUITAN TIDAK AKAN KEKAL..

MEMANG BENAR, PENGALAMAN MENDEWASAKAN KITA
TETAPI KEDEWASAAN TIDAK BERERTI BANYAK PENGALAMAN..

Khamis, Oktober 22, 2009

SATU BAHASA SATU MALAYSIA

Alhamdulillah kerana kita berada dalam sebuah negara yang aman damai dan makmur.Jika di luar sana banyak kedengaran pelbagai bentuk keganasan, kepincangan, kemusnahan, peperangan dan ketidakstabilan baik dari segi ekonomi, politik mahupun sosial. Kita harus merasa terlalu bersyukur kerana walaupun terdapat sedikit ketidaksefahaman dan keributan dalam sesetengah parti politik tapi ini semua hanya masalah dalaman yang tak mungkin menjadi nanah dalam daging. Ini adalah kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mana tak mungkin tidak kita mengutamakan amalan bermuzakarah. Muzakarah merupakan amalan yang di tuntut dalam agama Islam juga. Sementelah itu juga dengan sendirinya satu hati akan dapat dibina dengan sikap menghormati pemimpin.Ia merupakan satu landasan untuk mencapai gagasan Satu Malaysia.

Dari itu sebagai rakyat yang cintakan kedamaian, kita perlu memainkan peranan dengan lebih mengutamakan perpaduan dan persepakatan dalam semua aspek. Kita sebenarnya berada dalam satu negara yang kaya dengan pelbagai suku kaum, bahasa, agama dan budaya.Cinta negara bermakna kita sentiasa menjunjung tinggi segala amalan yang baik dan menghormatinya demi kedaulatan negara. Menerusi satu bahasa kebangsaan kita dapat menyemai semangat kekitaan, kerana bahasa itu adalah jambatan sirratulrahim. Sayangilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa jiwa bangsa..

Semaikanlah segala amalan yang baik dari kanak-kanak lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya..Di rumah para ibubapa haruslah mendidik anak-anak agar menjadi insanul kamil di masa hadapannya. Binalah akhlak yang baik dan mewujudkan suasana positif di rumah agar konsep Rumahku Syurgaku akan terlaksana. Manakala di sekolah pula semangat Ululalbab dapat menjana sahsiah anak-anak dalam konsep cintakan ilmu.Di sekolah anak-anak akan di dedahkan dengan pelbagai suasana pembelajaran dan perpaduan kaum.Oleh itu sebagai rakyat yang inginkan hidup dalam sebuah negara yang aman dan makmur maka menjadi tanggungjawab bersama menjaga keharmoniannya.
 

Kitalah warisan negara, yang akan membawa kemakmuran dan kemajuan dalam semua bidang.Maka tanamkan rasa cinta pada negara dan ingin memberi sumbangan yang terbaik pada negara ini. Janganlah di tanya apa yang negara beri pada kita tetapi sebaliknya tanyalah apakah sumbangan yang telah kita beri pada negara?

.
Cintailah bahasa. Satu bahasa satu matlamat. Satu hati SATU MALAYSIA.


Pencinta bahasa;
Ummi Adam

Rabu, Oktober 21, 2009

NAZAM

Jaringan Hati

Awal Bismillah pembuka kata manisan jiwa
Moga terpahat di hati biarpun dalam tawa

Hidup ini penuh rintangan dan dugaan
Justeru itu tetapkan iman tahan ujian


Setiap langkah hendaklah kita waspada
Lintasan leka dan rugi sentiasa ada


Betapa berat hati ini mengira mainan dunia
Moga langkah ini tidaklah sesia


Jalinan hati penambat luka dan merana
Dalam sisipan seberkas rasa ia menjana


Intan baiduri bukanlah tujuan diri di cipta
Sekadar hiasan cuma dan bahagia di mata


PadaMu Tuhan hambaMu berserah diri
Jauhkan kami dari kerugian dan onar berduri


Himpunkan kami Ya Allah di syurgaMu nanti
Seharum kasturi sewangi syuhada menanti

Hati kami adalah milik Yang Esa jua
Terangkum sama memintal bahagia sepanjang usia


Bingkiskan kami Ya Allah Taufik dan Hidayah
Berkati jalan kami walau senang dan payah

Titipkan kami tiap madah dan langkah
Agar menang di hujung dan tidak menongkah


Nukilan 
UMMI ADAM
Tmn Daiman Jaya

Puisi Melayu Tradisional- SELOKA

Istilah seloka berasal daripada perkataan Sanskrit ' shloka '.Dalam bahasa Melayu, seloka bererti berseloroh, jenaka atau menyindir. Seloka di percayai datang ke Tanah Melayu bersama-sama perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara.


Sebagai puisi tradisional karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran. Walaupun seloka merupakan puisi yang bercorak senda gurau namun isinya mengandungi sindiran yang menjadi pengajaran dan teladan kepada pembaca.Kebanyakan seloka Melayu di tulis dalam bentuk terikat yakni empat baris serangkap dengan memakai bentuk pantun atau syair.Selain itu seloka juga di tulis dalam bentuk bebas iaitu setiap barisnya menjadi puisi berkenaan.


Antara Ciri Seloka;
a) Karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.
b) Terbahagi kepada unit pembayang(induk kalimat)dan unit maksud(anak kalimat).
c) Perkataan sindiran atau ejekan di sampaikan dalam bentuk berangkap.
d) Mengandungi unsur jenaka atau gurau senda.
e) Digunakan untuk menyindir sambil mengajar.


Jenis Seloka
Seloka berbentuk bebas.


Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh berlabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk
Sumber; Antologi Anak Laut, hal 9


Seloka berbentuk Bebas


Pandai! Pandai! Pandai! Pak Pandir
Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa di dengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan
Sumber; Antologi Kerusi, hal 9

Khamis, Oktober 01, 2009

Mungkinkah si dia berbohong???

Bagaimanakah kita dapat mengesan bahawa si dia sedang berbohong..Cubalah beberapa tip ini untuk anda mengenal pasti pasangan anda sedang berbohong atau tidak;

Nada suaranya;
Biasanya dari intonasi vokalnya, anda akan tahu apakah perkataannya benar atau tidak. Sebagai sahabat atau pasangan, anda mungkin sudah mengenali bagaimana karakter seseorang itu melalui suaranya ketika memberi penjelasan.

Enggan berjumpa;
Apabila anda mengajaknya keluar pasti dia akan memberi banyak alasan. Dengan tiba-tiba tingkah lakunya berubah tanpa di duga. Mungkin kerana merasa bersalah, pembohong tidak suka mendekati orang yang di bohonginya.

Menyentuh hidung;
Apabila seseorang itu berbohong,tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ia membesar. Fenomena ini juga di kenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila sidia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang sedang di selindungkannya.

Menutup mulut;
Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindakbalas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi, kita sudah di ajar untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, maka tangan cuba untuk menghalangnya.

Pergerakkan mata;
Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu, sekiranya kerlipan mata berkurangan daripada kadar biasa, itu mungkin tanda berbohong.Ada juga keadaan yang mana sekiranya mata seseorang itu tiba-tiba mengerdip dengan banyak, itu merupakan tanda-tanda kemungkinan bahawa dia sedang berbohong. Kerlipan mata yang normal tidak melambangkan dirinya berbohong.

Gagap;
Apabila sseorang yang sedang bercakap lancar tiba-tiba menjadi gagap, itu merupakan tanda-tanda sedang mengalami tekanan emosi. Tetapi jika ternyata dia tiada sebarang gangguan emosi maka itu tandanya dia sedang berbohong.

Melengah-lengahkan jawapan;
Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk merekacipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama , dan kemudian berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda orang tersebut adalah berdusta.

Resah;
Orang yang berdusta kerp gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang sahaja tiba-tiba menjadi resah dan tidak senang duduk tatkala berhadapan dengan satu soalan, kemungkinan itu dia sedang berbohong.

Sumber; intim-kosmo 2hb okt 2009.

Cinta Melankolik

Sebuah cinta yang tulus..
lalu terdampar ke daerah sepi
jauh menerobos lelangit biru
melankolik..nan di intai rindu
Sepasang hati bertemu..
mencari makna cinta itu
lalu mencipta satu sejarah
tertulis nan tidak bernoktah..
Daerah sepi menyendiri lagi
telah sekian di ulit mimpi ngeri
ingin melakar bagai sang puteri
bersimpul mati bersama janji.
Segumpal hati bertaut satu
terkunci kini di kamar kasih
di selimuti dengan sutera harapan
damba bahagia walaupun pedih
Beginilah wajah cinta ini
melankolik di ubun rasa
kan seiring bersama masa
hingga ke akhirnya........


Tetap setia;
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.


Assalamualaikum buat anak-anak Ummi yang di kasihi sekalian. Alhamdulillah kita telah selesai menjalankan ibadah puasa, dan kini kita masih berada di dalam bulan syawal yang mulia. Moga tidak terlambat untuk Ummi mengucapkan salam aidilfitri buat anak-anak semua. Seiring dengan ini juga ingin Ummi menyusun jari sepuluh memohon maaf andainya terdapat sebarang kesilapan dalam setiap bicara Ummi. Di kesempatan ini juga Ummi ingin mengajak anak-anak untuk sama-sama teruskan perjuangan kita dengan berbekalkan ketabahan, kesabaran dan semua sifat mulia yang telah dapat kita kutip semasa di bulan ramadhan.

Ummi merasa terlalu rindu untuk menulis lagi setelah sebulan cuba untuk memanfaatkan sebaik mungkin akan mencari keberkatan bulan ramadhan kali ini.Alhamdulillah, sesungguhnya ramadhan telah banyak mengajar kita untuk meneruskan langkah walau pun langkah itu pendek cuma. Apa pun keadaan kita janganlah sesekali kita abaikan harapan mak dan ayah. Tradisi bersalaman di pagi raya haruslah di ambil iktibarnya kerana insyaAllah segala khilaf akan terhapus dengan memohon maaf secara ikhlas dan rendah diri.Oleh itu budaya ini harus di kekalkan malah di setiap waktu perjalanan hidup ringan-ringankanlah mulut untuk sering memohon maaf.

Kepada anak-anak yang akan mengambil peperiksaan bermula dengan PMR minggu depan, di ikuti dengan SPM dan STPM/STAM bersama ini Ummi iringi doa semoga anak-anak di beri segala kemudahan dan ketenangan.InsyaAllah anak-anak akan mendapat kejayaan yang cemerlang. Kepada anak-anak pelajar di IPT yang baru memulakan sessi pembelajaran semoga anak-anak sentiasa berusaha demi masadepan. Selamat kembali belajar...! Begitu juga pada anak-anak pelajar universiti luarnegara yang kini masih lagi bercuti , jangan persiakan masa yang amat berharga ini.Manfaatkanlah bersama keluarga tercinta anda..

Semoga kehangatan aidifitri kali ini akan membawa seribu satu kemanisan dan kebahagiaan kepada kita semua. Salam Satu Malaysia..

Satu hati,Satu rasa,
UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya.

Rabu, September 02, 2009

PUISI MELAYU TRADISIONAL-GURINDAM

Mula di perkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui ' Gurindam Dua Belas' yang dikarang pada tahun 1846. Bentuk gurindam adalah terikat yakni terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dengan skema rima a;a. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea. Bahasanya bernas dan serius. Isinya mengandungi nasihat, pengajaran, kebesaran serta pernyataan perasaan cinta.

Antara ciri gurindam;
a) Dua baris serangkap.
b) Empat hingga enam patah perkataan/8-12 suku kata sebaris.
c) Jumlah rangkap dalam seuntai gurindam tidak ditentukan.
d) Skima rima hujung bercorak serima iaitu a;a.
e) Ada kalanya wujud unsur asonani dan aliterasi pada perkataan dalam baris.
f) Rangkapnya terbahagi kepada unit syarat atau induk kalimat(baris pertama) dan jawab atau anak kalimat(baris kedua).
g) Umumnya mengandungi pernyataan yang serius terutama untuk memberi pengajaran atau menyatakan perasaan cinta.

Contoh;

Gurindam 12 Fasal ketujuh
Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah tanda hampir duka,

Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan akan sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang. (sumber; Puisi Melayu Tradisi, hal 179)


Gurindam dahulu kala, menerusi Hikayat Malim Deman, hal 2;

Awak tua banda terbuka,
Emas habis, dagangan mudah,
Kerbau kambing sesak di padang,
Itik angsa tenang di kuala,
Merpayi lindungan langit,
Rengkian tujuh sejanjar,
Taman dengan sekerat kota,
Emas perak penuh di rumah,
Tangga rumah emas bertuang,
Ibu tangga emas bertitik,
Batuan sawa mengulur,
Penuh sesak hamba sahaya,
Ada yang empat senama,
Ada yang lima senama,
Di laung di rumah ditanah menyaut
Di laung di tanah di rumah menyaut

Ceramah dan bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional oleh DBP Wilayah Selatan, Panitia Bahasa Melayu Kota Tinggi dan PPD Kota Tinggi di SMK Tun Habab, Kota Tinggi.

Khamis, Ogos 20, 2009

RAMADHAN......

Ramadhan,
Kini kau datang lagi
Menghidupkan hati yang mati
Dengan seribu rahmat dari ilahi
Menyingkap tabir suci

Rindu,
Kian membara
Semarak kasih seorang hamba
Mengintai kamar syurga
Hamparan cinta dari Khaliqnya

Ya Rahman,
Bagaimana nafasku nanti
Amal kasih nan penuh dosa
Di ruang taubat yang terbuka
Sadaqah rahmat dari yang Esa

Ramadhan,
Kini cintaku berbunga
Dalam taman kasihMu
Sewangi tawajuh tiap sujudku
Lenaku di sejadah taufikMu
Ahlan wasahlan ya Ramadhan......


UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya
Kota Tinggi.




Rabu, Ogos 19, 2009

GADIS MANISKU


Gadis manis..
jangan mimpi sedih lagi..
bukan itu dunia hati
seorang serikandi.
Bila rebah pohon iman
akan layu bunga harapan
jadilah engkau sampah terbuang..

Gadis manis..
susunlah langkah terbilang
meniti pewaris zaman
menghulur kemenangan
menepis anganan

Gadis manis..
jangan terlena seloka orang
kelak diri terbang di awan
hilang dari taman larangan
tiada lagi jalan pulang.

Gadis manis..
kau permata di lembah kehidupan
tetap bercahaya di malam suram
menjadi penunjuk jalan
buat musafir kecundang.
Titiplah langkah para sahabiah
mujahadahlah di jalan Allah,
warnai ia penuh mawaddah
penanti setia di taman raudhah...


UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Selasa, Ogos 18, 2009

Perjuangan Belum Selesai

Hidup ini satu perjuangan..Setiap rentetan dari perjalanannya memerlukan ketabahan dan kesabaran. Manakala setiap darinya mengundang satu pengorbanan. Dari alam rahim lagi kita telah bersua dengan keindahan tidak mengenal erti kepayahan. Ketika kita di lahirkan juga,pertarungan yang menggapai kesukaran dapat di atasi dengan satu impian..ya, kitalah yang akan meneroka setiap ruang kehidupan ini dengan penuh keazaman. Justeru itu, mengapa perlu kita berundur sebelum berakhirnya sebuah kehidupan?
Dalam meniti kehidupan ini, ujian dan dugaan adalah bagai lagu dan irama yang tidak dapat di pisahkan. Ia tidak mengejar, bahkan tidak perlu di kejar. Terimalah ia dengan sebuah keredhaan, kerana di situlah akan kita kecapi kemanisan iman..Setiap insan tanpa batas mengenal batas usia, berhak menikmati kegembiraan. Puncak tertinggi bagi setiap kegembiraan itu adalah apabila kita dapat merentasi segala dugaan. Berbahagialah dalam mengisi ruang legar hidup ini.

Aduhai insan yang budiman, janganlah alpa barang seketika..bahawa lukisan hidup ini hanya bagai di atas kertas cuma. Kita akan bisa luntur dan luluh di makan usia. Bagai menanti hujan teduh, sebelum awan mendung berarak pergi, bekalan diri perisai budi menjadi payung naungan. Ilmu adalah pelita hati. Tuntutlah ia bukan untuk satu jangka masa sahaja.Tanpa ilmu kita akan kesesatan dalam pencarian. Impian hanya akan tinggal anganan yang kekontangan. Langkah kita bisa sumbang dan pincang, hilang arah dan tujuan.

Maruah dan harga diri akan berkubur tanpa ilmu di dada. Oleh itu, jangan jemu mengorak langkah baru dengan sentiasa berlapang dada dan mengutip iltizam agar jati diri bertapak di hati. Sesungguhnya ilmu Allah ini amat luas dan masih banyak lagi yang tersembunyi. Maka janganlah cepat berputus asa dan menyerah kalah. Timbalah walau sebanyak mana kehebatannya..kerana insan berilmu akan mampu berfikir dan berubah dan tidak gentar pada sebarang kegoyahan.
Insan cemerlang sekalian, selagi kita masih bernafas maka selagi itulah perjuangan kita bermula tanpa ada akhirnya. Benarkan untuk diri kita menjadi yang terbaik dan sentiasalah perbaiki setiap apa yang sedang kita usahakan. Jemu atau bosan adalah sikap negatif yang tidak patut ada dalam diri kita. Sentiasalah mencari kekurangan diri dalam setiap tindakan kerana kita akan mengenali apakah erti perjuangan yang sebenarnya.
"Bukan mudah untuk senang..dan bukan senang untuk mudah", justeru itu kayuhlah permata akal di perairan kehidupan yang penuh ranjau dan kerikil ujian ini agar kita bisa berlabuh di pelabuhan kejayaan. Jangan sekali kau lemas dalam kealpaan dan keriuhan pesta kejahilan kelak dirimu bagai pelita yang tiada sumbu, umpama berkayuh menongkah arus..Ingatlah anda adalah seorang yang hebat..bak kata peribahasa "kemenyan sebesar lutut, jika tidak di bakar..tidak akan berbau".
Teruskan perjuangan anda semoga kejayaan tergenggam..
Salam sayang seindah senyuman, salam manis secangkir madu..
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya

Khamis, Ogos 13, 2009

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak. Semoga kita dapat memanfaatkannya dengan penuh keazaman. Mudah-mudahan di bulan ini kita akan mendapat segala keberkatan dan dapat menjalaninya dengan penuh keinsafan. Bulan ini merupakan bulan kesabaran dan ganjarannya adalah syurga. Ia juga adalah bulan simpati, di mana di tambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Bulan ini adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat, pada pertengahannya mendapat keampunan dan di bahagian akhirnya pula mendapat pembebasan dari azab api neraka. Oleh itu semoga kita kita di jauhkan dari kalangan orang-orang yang rugi dari rahmat Allah.

Anak-anak sekalian,sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk memperbanyakkan 4 perkara dalam bulan ini. Pertamanya ialah kalimah syahadah. Di nyatakan dalam satu hadith bahawa apabila seseorang menyebut kalimah itu dengan ikhlas maka pintu-pintu langit akan segera terbuka untuknya dan ia akan sampai ke Arasy tanpa ada apa-apa bentuk halangan dengan syarat penyebut itu terjauh dari dosa-dosa besar. Keduanya hendaklah kita perbanyakkan istighfar. Dalam suatu hadith ada di riwayatkan bahawa barang siapa yang memperbanyakkan beristighfar maka Allah SWT akan membukakan untuknya jalan kelepasan dari kesempitan dan melepaskannya daripada kebimbangan dan Allah SWT mengurniakan rezeki kepadanya dari sumber yang tak di sangka-sangka. Ketiga, perbanyakkan memohon mendapatkan balasan syurga dan keempat perbanyakkanlah memohon semoga mendapat kelepasan dari azab api neraka.

Semoga di bulan ini kita dapat mendidik diri dari segala sifat keji dan dapat menghapuskan segala kekotoran yang telah bersarang di dalam hati. Sesungguhnya begitu besar nikmat dan ihsan Allah SWT untuk hambaNya di bulan ini. Hazrat Anas r.a berkata "Telah masuk bulan Ramadhan", lalu Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi." Marilah kita bersama memanfaatkan masa dan mempertingkatkan iman kita di bulan yang penuh keberkatan dengan sebenar-benar ihtisab semata-mata kerana mencari keredhaan dan keampunan dari Allah SWT.
Selamat menyambut bulan Ramadhan buat semua anak-anak Ummi sekelian. Di kesempatan ini Ummi menghulur tangan memohon ampun dan maaf andainya terdapat kesilapan dalam setiap bicara. Semoga kita semua mendapat rahmat dan keampunan dari Allah SWT hendaknya.
Salam Kasih Sayang dari;
UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya
Kota Tinggi.

Selasa, Ogos 11, 2009

PUISI MELAYU TRADISIONAL- SYAIR

Salam manis hamba sembahkan, buat anda yang budiman. Kini syair hamba titipkan, sebagai pengetahuan anda sekalian.

Syair merupakan bentuk puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh dari Arab dan Parsi. Perkataan syair berasal dari istilah Arab sy'ir yang bererti puisi dan sha'r yang bermaksud penyair.Istilah ini berkembang ke seluruh Nusantara dalam berbagai bahasa. Dalam puisi Melayu tradisional, bentuk syair telah di perkenalkan oleh Hamzah Fansuri melalui Syair Burung Pungguk dan Syair Perahu sekitar abad ke 16 dengan tujuan mengembangkan agama Islam.

Ciri-ciri syair;
a) Empat baris serangkap.
b) Jumlah perkataan dalam baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan. Jumlah suku kata bagi setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
c) Skema rima hujungnya sama aaaa.
d) Keempat-empat baris adalah satu kesatuan idea namun rangkap berkenaan tidak dapat berdiri sendiri.
e) Dalam satu baris terdapat satu hentian yang di tandai dengan jeda.
f) Isi syair umumnya merupakan penceritaan yang panjang seperti kisah percintaan, keagamaan, falsafah, pengajaran dan sebagainya.

Jenis Syair;
Pada umumnya, jenis syair adalah berdasarkan isi, tema, pemikiran, persoalan atau mesej yang hendak di sampaikan, contoh;
a) Syair cerita- Syair dandan Setia Intan Terpilih, Syair Badrul Zaman, Syair Yatim Nestapa.
b) Syair nasihat- Syair Pesanan Ibu, Syair Mungkir Janji
c) Syair semangat patriotik- Syair tenaga Pemuda
d) Syair alam sekitar- Syair Cintai Alam Sekitar
e) Syair kiasan- Syair Jong Pecah
f) Syair ilmu- Syair Kelebihan Ilmu


Contoh Syair;

Syair Dandan Setia dan Dandan Terpilih

Dendam Berahi namanya desa,
Mendam Perasat Raja Perkasa,
Rakyatnya banyak berketi laksa,
Bersuka-suka setiap masa.

Riuh-rendah nobat nafiri,
Semuanya konon berbunyi sendiri,
Hairan tercengang isi negeri,
Apakah ada demikian peri.

Air pasang penuh rata,
Melambak-lambak di kakinya kota,
Bunyi-bunyian gegak gempita,
Segala bunyi kembanglah rata.

Berbunyilah genta di Gunung Dendam,
Di tempat padang berbunyi meriam,
Bahananya gunung sangat menderam,
Isi negeri tercenganglah diam.

Adapun akan di dalam istana,
Permaisuri Lela Mengena,
Di dalam kecoh terlalu kena,
Iapun bersalin dengan sempurna.

Seorang laki-laki konon khabarnya,
Terlalu sekali baik parasnya,
Gilang gemilang nur wajahnya,
Tak sempat di sambut oleh bidannya.

Sumber: Antologi Anak Laut, hal 7
( Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional oleh DBP Wilayah Selatan, Panitia Bahasa Melayu Daerah Kota Tinggi dan PPD Kota Tinggi-23.5.09 di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor )

Semoga anak-anak dapat sedikit maklumat, di mana dapat membantu memperkayakan lagi dunia sastera kita di masa hadapan. Salam puisi dari Ummi.

Sabtu, Ogos 08, 2009

Bingkisan Buat Anak Muda

Apa yang kau cari..
dalam lohong berdebu ini,
penuh kotor dan mati
merosak hingga ke tangkai hati.
Kau masih hijau barangkali..
Kau masih mentah yang bisa patah
Langkahmu kerdil
Seuntai usiamu yang berdada merah,
Namun kau bisa gempur
hingga ke liang kubur
jika kau marah
Kenapa kau gali mimpimu
untuk kau tabur di jalanan..
Anak muda..
tolehlah engkau sebentar,
bisakah engkau menggegar
menghirup kedamaian malam
mengoyak keimanan.
Kealpaan satu keasyikkan.
merdekakanlah mimpimu itu
pulanglah ke riba pusaka
untuk kau dengar irama tasbih
keinsafan satu kemuliaan
dalam catatan silam

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Isnin, Ogos 03, 2009

MENGAPAKAH PERLU ADA KEGAGALAN?

Salam kejayaan, kerana kita masih boleh bernafas dan masih boleh berfikir..Dalam mengharungi kehidupan ini tidak boleh tidak kita pasti akan merasa apa itu kegagalan, bukan?. Kegagalan dalam peperiksaan, percintaan, perniagaan, rumahtangga adalah lumrah alam. Janganlah mati akal dan mati hati dek kerana menghadapi kegagalan. Sesungguhnya, hidup tidak akan berakhir..kerana selagi kita di beri kesempatan untuk hidup maka selagi itulah perjuangan belum berakhir.

Apa yang ingin Ummi cuba sampaikan adalah sekadar pemerhatian dan mungkin dari pengalaman sendiri. Sebenarnya kegagalan itu adalah permulaan suatu lembaran baru bagi menuju sebuah destinasi yang di luar kebiasaan kita. Sebagai insan yang punya pegangan, sudah pasti di kala inilah seluruh jiwa kita serahkan pada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, hanya kepadaNya kita berserah dan memohon. Kita akan dapat merasa betapa kita hanya seorang hamba yang yang kerdil. Kita haruslah muhasabah diri tanpa menyalahkan orang lain di atas kegagalan yang kita sedang hadapi dengan rasa rendah diri dan tawajuh. Oleh yang demikian, kita akan mendapat ketenangan dan kekuatan diri dari kebiasaan. Maka kekuatan dalaman akan menzahirkan satu semangat baru yang luarbiasa.

Kegagalan juga boleh merubah cara hidup kita, dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Sudah tentu kita boleh mencari altanatif lain yang dapat membantu kita mencapai kejayaan. Setiap dari kita mempunyai kelebihan dan kehebatan tersendiri, mungkin setelah menghadapi kegagalan barulah kita sedar. Dari itu janganlah kita memperlekehkan diri kita sendiri.

Ingatlah, Allah SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sentiasalah mendekatkan diri padaNya. Pada Ummi kita adalah orang-orang yang gagal andainya seluruh kehidupan tidak bersandarkan iman dan taqwa yang mana memungkinkan kita sebagai hambaNya yang rugi di akhirat kelak.

GAGAL itu sebenarnya hebat. Tanpa tersungkur mana mungkin kita sanggup berikhtiar dan berusaha untuk berjaya. Anak kecil yang baru bertatih misalnya takkan terus berjalan tanpa merangkak dan berdiri untuk berkali-kali mencuba melangkah ke hadapan. Ramai ahli perniagaan yang berjaya masa kini, pernah menghadapi kejatuhan tetapi berkat usaha dan tabah akhirnya mereka dapat menikmati kejayaan.

GAGAL itu juga adalah ubat. Walau pun ia begitu pahit untuk di telan, terlalu siksa untuk di sandang, namun ada hikmah yang bakal menjelang. Percayalah, setiap kedukaan yang datang adalah ujian..Teruskanlah perjuangan dengan penuh kesabaran. InsyaAllah setiap kepayahan akan di bayar dengan kemanisan kejayaan..

Sentiasalah bersikap positif dan optimis dalam merancang sebuah kejayaan. Kita perlu merangka strategi baru setelah dapat menelah kelemahan yang lalu. Bermunajatlah selalu kepada Allah agar mendapat petunjuk dan rahmat dalam setiap tindakan. Bersikap terbuka dengan sedia menerima teguran dan nasihat dari orang lain, mungkin anda boleh bertukar ke bidang yang lain, suasana yang baru yang boleh menjadikan diri anda lebih bersemangat dan ceria kembali. Berilah peluang pada diri sendiri untuk menikmati kebahagiaan dengan penuh keberkatan.. Jangan sesekali menzalimi diri sendiri dengan cuba bertindak atau berfikir secara negatif, kerana itu bukan cara hidup kita sebenarnya.

Anak-anak adalah hebat.. Hidup ini adalah indah dan menakjubkan andai kita mewarnainya dengan sentiasa berpegang dengan tali Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Keluarkanlah segala kebesaran dunia dan kebesaran makhluk dari dalam hati kita, kerana ia bukanlah jaminan kita ke syurga. Tetapi masukkanlah hanya kebesaran ALLAH swt dalam hati, kerana kita pasti akan mendapat kejayaan dunia, akhirat dan seisinya.

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya,
Kota Tinggi.

Iktibar Dari Semangat WONDERPETS


Suatu ketika, Ummi menonton siri animasi kanak-kanak iaitu Wonderpets, Ummi dapat merasakan bahawa banyak mesej yang boleh kita ambil sebagai pengajaran. Alangkah indah erti sebuah persahabatan yang terjalin walau bukan dari jenis yang sama. Mereka menonjolkan erti perpaduan dan kehidupan dalam satu bumbung.

Apa yang menarik perhatian Ummi, jarang sekali terdapat sebuah animasi yang menggunakan bahasa yang di alih suarakan dengan bahasa yang sopan walau pun ia di selang selikan dengan muzik. Tidak seperti kebanyakan kartun Malaysia yang sering menggunakan perkataan (aku, engkau,bodoh ) walau ia berjaya di filemkan. Ummi merasakan bahawa telah sampai masanya untuk semua pihak bekerjasama dalam menghasilkan sebuah animasi yang membawa mesej mendidik sahsiah anak-anak baik dari segi bahasa mahu pun perkembangan moral. Ummi amat sedih bila mendengar pelbagai perkataan yang kasar dan tidak sopan keluar dari bibir anak yang masih kecil lagi.

Sikap kerjasama dalam menyelesaikan sebarang masalah adalah sifat yang amat mulia untuk kita amalkan. Inilah semangat 'SATU MALAYSIA' yang kini menjadi pegangan kita sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Walau pun kita dari pelbagai bangsa dan agama, tetapi kita semua adalah makhluk Allah jua, yang hidup di bawah satu bendera. Mengapakah perlu ada persengketaan.?.Alangkah amannya negara yang kita cintai ini kiranya semua rakyat hidup dalam suasana yang harmoni, sentiasa bersikap bantu membantu, dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Apa akan jadi pada generasi akan datang andainya kita tidak bersatu padu dalam setiap tindakan dan keadaan..

Masihkah anda ingat akan kata-kata ini.." Kami tak besar, dan kami tak kuat,bila bekerjasama semua jadi mudah..!" dan " apa yang penting, kerjasama..!". Peribahasa kita juga ada mengatakan, "Berat sama di pikul, ringan sama di jinjing". Betapa indahnya bahasa kita, tapi mengapakah kita juga yang merosakkannya?. Kita juga telah di didik agar mengamalkan konsep pemuafakatan dalam membina satu kejayaan. Dari itu mengapakah kita sanggup berbalah sesama sendiri dek kerana lain ideologi, sedangkan apa yang kita genggam sekarang akan hancur kiranya kita bersikap pentingkan diri sendiri. Renungkanlah..

Dari itu marilah kita bersama mengambil iktibar walau sekadar hanya dari sebuah siri kartun cuma, moga kita akan menjadi' super hero' buat masa kini dan untuk generasi kita akan datang.
UKHUWAH, MUAFAKAT AKAN MEMBAWA BERKAT....


Peminat Wonderpets...
Ummi Adam..

12 Kumpulan Manusia Ketika Di bangkitkan Dari Kubur

Sesungguhnya Mu'az bin Jabal meriwayatkan dari Rasulullah Saw, bahawa baginda pernah bersabda; " Ketika terjadinya hari qiamat, iaitu hari kerugian dan penyesalan, maka Allah SWT mengumpulkan umatku dari kuburnya menjadi 12 kumpulan;

1) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan tidak memiliki tangan dan kaki. Lalu ada pemanggil dari hadapan DzAt Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang suka menyakiti hati tetangga, mereka mati sebelum bertaubat. Inilah pembalasan mereka, dan tempat kembali mereka adalah neraka. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh adalah teman sejawat." ( An Nisa' ayat 36)

2) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan bentuk binatang. Ada yang mengatakan binatang itu ialah khinzir. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang meremehkan solat, mereka mati sebelum bertaubat, inilah pembalasan atas mereka. Tempat mereka adalah di neraka. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Maka celaka akan menimpa pada orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya." (Al Maun ayat 4-5)

3) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan perutnya buncit seperti gunung, yang di penuhi ular dan kala jengking, rupa mereka seperti keldai. Ada yang memanggil mereka dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak mahu membayar zakat, dan mereka mati sebelum bertaubat. Inilah pembalasan mereka, dan tempatnya hanyalah di neraka, sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah pada mereka (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih. Pada hari di panaskan emas dan perak itu di dalam neraka jahanam"(At Taubah ayat 34-35)

4) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan mulutnya mengalir darah dan ususnya terjurai hingga ke bumi, serta api terkeluar dari mulutnya. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang , mereka ini adalah orang-orang yang menipu dalam jual beli, dan mereka mati sebelum bertaubat. Inilah pembalasan mereka dan nerakalah tempatnya. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit" (Al Imran ayat 77).

5) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan berbau busuk. Bau mereka lebih busuk daripada bangkai. Kemudian ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang menyembunyikan maksiat dari pengetahuan manusia dan mereka tidak takut pada pembalasan Allah dan mereka mati sebelum bertaubat. Maka nerakalah tempatnya. Seperti firman Allah SWT;
" Mereka tersembunyi dari (hadapan) manusia tetapi mereka tidak tersembunyi dari Allah" ( An Nisa' ayat 108)

6) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan terpotong tenggoroknya hingga ke tengkuk. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang terbuat dusta dalam kesaksiannya dan mereka mati sebelum bertaubat. Maka nereakalah jua tempatnya. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu." (Al Furqan ayat 72).

7) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan tidak mempunyai lidah, dari mulutnya mengalir darah dan nanah. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak mahu memberikan persaksian yang benar,dan mereka mati sebelum bertaubat. Nerakalah tempat meraka, sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan barangsiapa yang menyembunyikan, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya."( Al Baqarah ayat 283)

8) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dengan menundukkan kepalanya dari kaki berada di atas kepalanya, dan mengalir nanah bercampur darah dari farajnya. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah penzina dan mati sebelum bertaubat. Maka nerakalah jua tempatnya, sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk," ( Al Isra' ayat 32)

9) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dengan wajah hitam, matanya melotot dan perutnya di penuhi dengan api. Lalu ada pemanggil dari Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang memakan harta dan menganiayakan anak-anak yatim. Maka nerakalah tempat mereka, sebagaimana firman Allah SWT;
" Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.". ( An Nisa' ayat 10).

10) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan berpenyakit kusta dan belang. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang menderhakai kedua ibubapanya, dan mati sebelum bertaubat. Nerakalah tempat baginya. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada ibubapamu" (An Nisa' ayat 36)

11) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan buta hatinya, gigi-giginya seperti tanduk sapi, bibirnya tertarik sampai ke dadanya, lidahnya panjang sampai ke perutnya, perutnya pula labuh sampai ke pehanya, manakala perutnya mengeluarkan kotoran. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah yang suka meminum arak dan mati sebelum bertaubat. Maka nerakalah tempat baginya, sebagaimana firman Allah SWT;
" Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, menyembah berhala, menilik nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan". ( Al Maidah ayat 90)

12) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dengan wajah bersinar seperti bulan purnama, mereka melewati sirat seperti kilat, dan ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang beramal soleh dan menjauhi maksiat, menjaga solat lima waktu dengan berjemaah, mereka mati dalam keadaan bertaubat, maka inilah pembalasan mereka. Syurgalah tempat mereka kerana mereka redha dengan Allah, dan Allah pun redha kepada mereka, seperti firman Allah SWT;
" Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan) janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah dengan syurga yang telah di janjikan oleh Allah kepadamu."(Fushilat ayat 30)

Sumber;Peristiwa Besar dari Alam Kubur; Abu Mustaqim Al Qadli

Rabu, Julai 29, 2009

Puisi Melayu Tradisional

Di sini ingin Ummi berkongsi ilmu dengan anak-anak tentang beberapa bentuk puisi Melayu tradisional. Salah satunya ialah pantun. Pantun selalunya di gunakan untuk menyampaikan perasaan dan fikiran samada sedih, gembira, marah atau rindu dan sebagainya. ia diucap dengan perkataan yang teratur, indah dan tersusun.

Antara ciri-cirinya;
- Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri dengan sendiri sebagai satu kesatuan idea.
- Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya.
-Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.
- Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
- Skema rima di pangkal, di tengah dan/atau di hujung baris adalah berselang, abab.
- Struktur pantun terdiri daripada dua unit iaitu pembayang/sampiran (yang menjadi kiasan) dan maksud(yang menjadi inti persoalan). Pembayang ialah gambaran alam dan maksud gambaran sikap dan sifat manusia.
- Setiap rangkap mempunyai idea yang lengkap.
-Pemilihan perkataan merujuk lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
- Pantun yang baik mempunyai idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.


Jenis pantun-berdasarkan bentuk-contoh.

1) Pantun dua kerat;

Banyak udang banyak garam
Banyak orang banyak ragam

(Sumber-Antologi Sehijau Warna Daun, hal. 3)


2)Pantun empat kerat;

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa tahu.

(Sumber-Antologi Anak Laut, hal 3)


3) Pantun enem kerat;

Ular tedung jangan di permudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.

(Sumber- Antologi Kerusi, hal 3)


4) Pantun lapan kerat;

Bagus rupanya bunga melor,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan;
Cawan, cerek sudah teratur,
Pinggan, mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.

(Sumber; Antologi Kerusi, hal 4)

Maklumat di atas adalah dari kertas kerja yang telah di bentangkan dalam Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional (KOMSAS) Daerah Kota Tinggi anjuran bersama DBP Wilayah Selatan, Panitia Bahasa Melayu Daerah Kota Tinggi dan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi pada 23 Mei 2009 bertempat di SMK Tun Habab, Kota Tinggi.

InsyaAllah, di kesempatan yang lain, Ummi akan paparkan tentang bentuk-bentuk Puisi Melayu Tradisional yang lain seperti syair, gurindam, seloka dan nazam buat pengetahuan anak-anak sekalian.