Isnin, Januari 26, 2009

Khasiat Bunga Mawar

Tahukah anda akan khasiat buat mawar? Sebenarnya ratu bunga ini banyak khasiatnya dan ianya menjadi lambang cinta, di gunakan dalam penyediaan makanan dan bahan dalam pewangi.
  • Mencium bau bunga mawar dapat menguatkan daya ingatan pada yang mudah lupa.
  • Meredakan kebimbangan dan kemurungan.
  • Menenangkan ketegangan saraf dan emosi.
  • Membantu merawat ulser perut.
  • Merangsang penghasilan hempedu oleh pundi hempedu.
  • Sebagai entiseptik dan merawat kulit yang luka, ruam dan ekzema.
  • Membantu merawat jangkitan mata.
  • Membantu meredakan sakit tekak.
  • Membantu merawat infeksi pundi kencing.
  • Memberi kesan penyejukan pada badan, merawat demam dan selsema.
  • Merangsang pertumbuhan tisu dan penghasilan kolagen.
  • Membuka penutupan pada paru-paru.
  • Membantu proses penghadaman.
  • Mengekalkan kesihatan usus.
  • Mengandungi bahan anti-oksida dan anti penyakit kardiovaskular.
  • Mengurangkan keradangan dan kesakitan sendi seperti pesakit ostioartritis.
  • Melancarkan kitaran haid dan masalah rahim.
  • Mengandungi vitamin A,B3,C,D dan E
  • Merawat cirit birit
  • Menghilangkan keletihan.
  • Menghilangkan sakit kepala dan pening.

Selasa, Januari 20, 2009

Pencarian

Kehidupan ini adalah suatu pencarian, benarkah demikian? Kita masih lagi mencari apa itu kebahagiaan, kebenaran, kasih sayang, keharmonian, kejayaan, kekayaan dan banyak lagi intipati dalam realiti kehidupan. Kita akan mencari dan terus mencari sehingga apa yang kita perlukan dalam kehidupan ini tercapai. Sebagai seorang remaja yang tentunya mengharapkan segala pencarian akan terlaksana maka perlulah ada strategi yang baik dan sistematik agar keberkesanannya dapat di nikmati secara total.



Remaja sekelian, jika kita menyorot kembali apa hakikat kehidupan ini sebenarnya, dapatlah kita melihat betapa besarnya kekuasaan yang Maha Pencipta. Untuk apakah kita di cipta dan di hidupkan? Adakah kita hidup hanya untuk mencari kepuasan diri semata-mata? Adakah dunia ini di cipta untuk manusia berseronok dan menghabisksn usia dengan tiada matlamatnya?Atau apakah manusia itu di cipta untuk melihat kegelapan tanpa menembusi terang cahaya kebesaran ilahi...



Bukalah matamu, pandanglah menerusi matahatimu, akan betapa luasnya dunia ciptaan ilahi ini. Banyak lagi nikmat dariNya yang tak terjangkau dek akal kita untuk melihatnya. Jadilah insan yang tahu menilai harga diri sendiri . Maka dari itu, sentiasalah muhasabah diri dan carilah sesuatu yang berlandaskan keredhaan ilahi. Janganlah kalah dengan karenah hawa nafsu. Kelak ia akan menjerat diri dan merugikan diri anda sendiri.



Sekiranya anda inginkan kejayaan, maka binalah kekuatan diri dengan melakar apakah matlamat utama anda. Setiap target perlu ada jangkamasanya. Dalam setiap jangkawaktu itu mesti ada cara dan jalan penyelesaiannya. Anda perlu mengisi setiap ruang dengan sempurna agar tiada satupun yang tertinggal mahupun tertangguh. Berusahalah dengan penuh komitmen dan bertawaqal kerana segala sesuatu yang berlaku itu hanya Allah saja yang dapat menentukannya.



Remaja sekelian, ilmu itu pelita hidup. Tanpanya kita adalah manusia yang malang. Kita akan hidup dalam kegelapan dan tiada halatuju. Dari itu walau apapun pencarian kita, biarlah bertunjangkan ilmu dan berteraskan iman. Yakinlah akan kebenaran dan kebesaran Allah. Sesungguhnya Allah menyintai akan hambanya yang sentiasa bertawajjuh padaNya.



Begitu juga kiranya anda sedang mencari kebahagiaan dalam cinta. Janganlah anda buta hati dek kerana mengikut rasa semata. Cinta itu bukan untuk di lafaz tetapi ia untuk di nilai dan di rasa., kerana ia terletak di hati bukan di mata. Cinta itu memberi bukan menerima, kerana cinta sebenar adalah hakNya. Ingatlah bahawa cinta itu bukan untuk di cuba, kerana ia bukanlah suatu permainan belaka.



Remaja yang di kasehi, kekayaan yang abadi dan hakiki adalah bilamana kita telah berjaya menjadi insan yang cemerlang dalam akhlaknya, amalannya dan agamanya. Setiap detik yang berlalu pasti tidak akan berulang kembali. Pergunakanlah setiap ruang detik yang di beri dengan penuh taqwa dan bersyukur. Pastinya pencarian anda tidak akan sesia.



Pena secangkir budi seberkas hati mohon berhenti seketika, di lain bicara mungkin kita akan bersua lagi. Pencarian kita tak mungkin berhenti selagi kita bernafas ini. Dunia ini sementara cuma, entah kan esok atau lusa kita kan bertemu denganNya. Jadikan pencarian kita bagai roda-roda kehidupan menuju ke akhirnya, tempat yang abadi..



Salam manis seindah budi,

Salam mesra sepanjang kenangan...

Salam bahagia seharum kasturi,

Salam majujaya sepanjang pencarian...

Rabu, Januari 14, 2009

Salam Imtihan Buat Anak-anakku

Jendela imtihan menggamit mesra..
Kini debaran bermula...
Tinggal dulu rindu dan cinta,
Lenalah dikau terkunci siksa.
Untuk menyambut lambaian cita..

Berarak kini kemelut doa,
Teriring bersama sendu harapan..
Buat pengusung waktu.
Terjalin sudah dalam hajatmu.
Dinihari sujudlah selalu.
Terhidang sudah santapan restu..
Mencari hidayah petunjuk nan satu.

Salam imtihan buatmu,
Jangan kau gundah akan kepalang,
Teruskan akan langkahmu itu...
Agar tertebus mimpi semalam.
Bangunlah dan teruslah berjalan..
Bara bintang pasti kau genggam.
Lunaskan impian.

Anak-anakku sayang,
Jadikan semalam hanya bayangan..
Yang pasti pergi dan tenggelam.
Dalam kabut senja luka.
Sayang..
Jangan kau biar ia beronar,
Kelak dirimu jauh tersasar.

Dengarlah anak-anakku sayang..
Di kejauhan ini..,
Ku himpunkan setulus doa restu buatmu.
Merentas benua ,
Bersama hembusan bayu..
Mungkin ada ruang di ufuk sana
Untuk mendengar doa ibu,

Salam imtihan buatmu anak-anakku,

Sabtu, Januari 10, 2009

Kebahagiaan yang abadi...

Setiap dari kita mendambakan kegembiraan dan kebahagiaan. Naluri insan sering menobatkan bahawa kejayaan sebenar dapat di lihat dari sinar nur yang terpancar di wajahnya. Hasilnya kita dapat merasai akan ketenangan jiwa dan segala urusan dapat di lakukan dengan mudah. Jiwa yang tenang sentiasa bersyukur atas nikmatNya, melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.


Adapun tanda kebahagiaan itu ada sebelas perkara;


-Tidak kasih akan dunia [zuhud] dan cinta kepada akhirat.


-Sentiasa beribadat dan membaca Al Quran.


-Kurang bercakap akan perkara yang tidak perlu.


-Memelihara solat lima waktu.


-Menjaga akan yang haram dan syubahat dalam semua perkara.


-Bergaul dengan orang-orang yang soleh.


-Bersikap tawadhuk dan tidak sombong.


-Dermawan dan murah hati.


-Menyayangi sesama insan.


-Menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain.


-Banyak megingati maut.


Sekilas pandang seraut kasihNya, kebahagiaan itu terletak di hati kita, yang pasti. Hati yang bersih melahirkan ruh dan jasad yang tulus lagi suci. Dari itu jagalah hati agar terjauh dari segala penyakit yang boleh merosakkan iman. Sesungguhnya hati itu adalah gudang permata kita. Pertamanya permata akal yang menjadi kekuatan untuk beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Keduanya ia adalah mata hati yang merupakan permata makrifat bagi mendapatkan kemuliaan di sisi Allah SWT. Setulus hati yang ikhlas dalam mengerjakan segala suruhanNya, ilmu dan hikmah sebagai sandarannya serta akhlak terpuji maka akan tercapailah maksud rahsia hati yang tenang dan bahagia.


Sebagaimana sabda Rasulullah SAW;


" Sesungguhnya Allah tidak hanya melihat pada rupa dan kulitmu saja, tetapi melihat sampai kepada hatimu pula. "


Justeru itu, wajiblah kita memelihara hati agar tidak terkena sebarang penyakit dan kotoran yang mana boleh menjejaskan iman dan taqwa kita kepada Allah SWT . Hindarkan diri dari berangan kosong kerana ia boleh mengurangkan amalan. Perasaan hasad dengki terhadap saudara kita akan lebih menjauhkan kita dari rahmat Allah di mana bila ia telah bersarang dalam hati, maka hati kita akan mati. Mati untuk beramal, dan mati untuk melawan hawa nafsu. Bila hati telah rosak, takabur dan ujub menjadi temannya. Hati yang penuh dengan kemaksiatan akan menumbuhkan pohon-pohon kedurjanaan yang mana ia menjadikan kita lupa akan kebesaran Allah SWT. Moga kita di jauhkan dari sifat-sifat keji ini. Ingatlah bahawa Thulul amal itu akan melupakan kita pada akhirat dan dari segala kebenaran.



Oleh itu hendaklah kita yakin akan kemanisan dan kebahagiaan yang hakiki hanya boleh kita perolehi melalui hati yang bersih.



Sebagaimana kata Abi Dzar Gifari;

" Dunia ini hanya tiga saat saja; Satu saat telah kita lawati, satu saat ialah apa yang engkau alami sekarang dan satu saat lagi yang engkau tak kan pasti akan dapat nikmatinya atau tidak. Oleh kerana itu sebenarnya yang engkau miliki hanyalah satu saat saja, dan ingatlah bahawa maut itu akan tiba dari saat ke saat "



Sesungguhnya mengingati maut dapat mengubat hati yang mati kerana terlalu leka akan dunia. Sifat jujur dan ikhlas juga mendekatkan diri kepada kebenaran dan kebesaran ilahi. Insan yang yang tidak bongkak dan sombong terhadap dirinya mahupun orang lain dalam mencari keredhaan Allah adalah berada di dalam kebahagiaan. Marilah kita sentiasa bermuhasabah diri semata-mata untuk menikmati kebahagiaan di dunia dan di akhirat.



Remaja yang di kasehi sekelian , hidup kita di dunia ini sementara cuma. Ia hanyalah buat persinggahan yang tidak kekal sehingga nafas terakhir..kita akan kembali ke negeri yang kekal abadi. Sentiasalah bersyukur atas nikmatnya. Selagi kita bernafas maka selagi itulah hati kita akan bergoyah. Kayakanlah hati dengan sifat-sifat terpuji, mementingkan urusan hati dan menjaga agama, dan Allah sajalah yang memberi taufik dan hidayahNya.Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi dan di masukkan ke dalam api neraka. Hakikatnya, apa yang kita kerjakan di dunia ini pasti akan di hitung di akhirat kelak. Perlu juga di ingat bahawa tanpa dunia kita tidak dapat melakukan ibadah dan amalan kebaikan kerana "Dunia ini ladangnya akhirat. "



Rasulullah SAW bersabda,;

" Ingatlah wahai manusia, berhati-hatilah dalam mencari dunia, sesungguhnya seseorangtidak akan dapat melainkan apa yang telah di catat untuknya dan tidak akan mati melainkan sebelum mendapatkan bahagian yang telah di tentukan untuknya "



Sesungguhnya beruntunglah orng-orang yang bahagia dan sentasa di dalam keadaan gembira..Mereka berselimutkan ketenangan, bercahayakan sinaran iman dan taqwa. Moga kita akan tergolong di dalamnya...Amin.



Isnin, Januari 05, 2009

Masihkah Kau Sahabatku?

" Berkawan biar seribu, berkasih biarlah satu ". Itulah perumpamaan yang begitu sinonim dengan kita. Betapapun demikian, " kawan ketawa mudah di cari, tetapi kawan menangis sukar di temui." Teman, kawan atau sahabat mungkin adalah sama maksudnya, di manakah mereka dan siapakah yang boleh di kategorikan sebagai sahabat baik atau sejati ini.. Sudahkah anda menemuinya?.

Kawan, teman atau sahabat ini merupakan individu yang menjadi teman untuk berkomunikasi dan melakukan aktiviti seharian secara bersama. Adapun sahabat baik atau sejati pula merupakan individu yang sentiasa bersama kita baik dari segi aktiviti seharian, persamaan pendapat serta berkongsi perasaan.

Sahabat baik atau sejati ini tidak semestinya di ukur atau di nilai dari sudut jantina, rupa paras, taraf kedudukan sosio ekonomi ataupun penampilan seseorang itu. Sesungguhnya, sahabat sejati itu di lihat menerusi pertuturan atau cara berkomunikasi yang baik, sahsiah diri yang berkarisma dan berakhlak mulia serta mempunyai 'human sense' yang tinggi.

Dari segi komunikasi, sahabat yang baik akan sentiasa menjaga lidahnya agar tidak mengecilkan hati kita. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

" Tidak akan lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya "


Sesungguhnya kita memerlukan sahabat yang dapat berkomunikasi untuk;

  • Menjalin hubungan dengan rasa kasih sayang, kekeluargaan dan kemasyarakatan.

  • Memberi rangsangan secara fizikal seperti sentuhan dan belaian. Rangsangan emosi menerusi kemahiran bercakap secara positif, seperti bergurau, menghibur hati atau memuji kerana fitrah insan memerlukan kasih sayang dari insan yang lain. Adapun rangsangan mental pula, kita dapat menguasai kemahiran berfikir secara sihat seperti bertukar tukar pendapat.

  • Memenuhi keperluan estim diri kerana insan itu memerlukan penghargaan dan kemuliaan dari insan yang lain. Melalui sahabat baik kita akan dapat merasa bahawa diri kita di hargai dan di perlukan.

  • Berkongsi apa yang dimiliki, seperti perasaan suka dan duka. Setiap nikmat yang di perolehi akan sama-sama di kongsi,samada suka ataupun duka malah apabila salah seorang darinya berada dalam keadaan kesedihan atau di dalam penderitaan maka perasaan itu akan segera hilang atau berkurang kerana ada teman yang sedia berkongsi .

Sahabat sejati sedia mendengar dan tidak akan merasa bosan atau jemu. Mereka sentiasa setia mendengar rintihan dan bicara hati kita serta mengambil berat baik dari segi kesihatan, perasaan dan persekitaran kita. Sahabat sejati sentiasa memberi sokongan dan dorongan walaupun tatkala kita gagal atau jatuh kecundang. Mereka merasa kita ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka.

Mencari sahabat sejati tidaklah semudah yang kita sangka. Terkadang teman yang kita sangka permata sebenarnya adalah kaca belaka. Ada di antara mereka yang sanggup menikam kita dari belakang. Ada juga yang mengambil kesempatan dari kelemahan diri kita atau mengambil kira peluang dari kemurahan hati kita. Ramai di kalangan mereka juga yang bersikap hipokrit. Dari itu carilah sahabat yang jujur dan ikhlas yang boleh menerima kita seadanya.

Memang benar, kata cerdik pandai bahawa sahabat sejati umpama mutiara di dasar lautan yang dalam. Justeru itu insan yang berakhlak mulia saja yang berhak di labelkan sebagai sahabat sejati. Mereka sentiasa merendah diri, tidak sombong atau ujub, boleh di percayai, bertolak ansur dalam semua aspek, tidak lokek akan ilmunya, sementelah lagi dia merupakan sumber inspirasi kita. Sahabat sejati sanggup berkorban diri dan perasaan demi melihat kita gembira dan bahagia.

Sudahkah anda menemui dan memiliki sahabat sejati? Sekiranya ia, maka apakah peranan dan sumbangan anda pada mereka... Adakah anda seorang sahabat yang pasif iaitu hanya tahu menerima dan mengharap tanpa memberi sumbangan dan kerjasama terhadap teman anda . Indahkah persahabatan seperti ini? Pada hakikatnya nilai persahabatan yang mulia dan benar hanya apabila keduanya sentiasa mengambil kira tanggungjawab masing-masing secara ikhlas.

Sabtu, Januari 03, 2009

Ilmu dan Harta

Rasulullah SAW bersabda, " Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim,"
Menurut Sayyidina Ali r.a, katanya ;


  • Ilmu adalah warisan para Nabi, sedangkan harta adalah warisan Qarun, Syidad dan Firaun
  • Jika Ilmu di berikan kepada orang lain ia akan bertambah, tetapi jika harta di berikan kepada orang lain nescaya ia makin berkurang.
  • Ilmu tidak akan di telan zaman, sedangkan harta akan luput mengikut masa.

  • Orang berIlmu adalah hamba kepada Tuhannya, tetapi orang berharta mengaku dia adalah tuhan kepada hartanya.


Menurut Imam Mahdawi, ilmu yang bermanafaat adalah;

  • Ilmu yang mengetahui akan hak-hak waktu.
    Ilmu untuk mendekatkan diri kepada syurga.

  • Ilmu untuk menjauhkan diri dari neraka

  • Ilmu untuk meningkatkan rasa takut kepada Allah.

  • Ilmu untuk mengharapkan Allah SWT.

  • Ilmu untuk mengetahui akibat dari hawa nafsu
  • Ilmu untuk membersihkan hawa nafsu.

Keutamaan menuntut ilmu

  • Diangkat darjatnya
    Dijamin rezekinya
    Dimasukkan kedalam syurga dengan mudah.

Luqman Al-hakim pernah berkata kepada anak-anaknya;


"Wahai anakku sayang! kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kau dewasa kelak (hari tua) kamu akan memetik buahnya dan akan menikmatinya."

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW berkenaan dengan ilmu dan harta . Antaranya:



  • " Jika Allah menghendaki kebaikan pada hambaNya, maka Dia memahaminya pada agama dan mengilhamkannya pada petunjukNya. '

  • " Gila harta dan kedudukan, kedua-duanya menumbuhkan kemunafikan dalam hati bagaikan air menumbuhkan sayuran "

  • " Orang berilmu tidak akan kenyang dengan ilmunya sebelum sampai ke syurga. "

  • " Kebinasaan ummahku terletak pada dua hal iaitu meninggalkan ilmu dan mengumpul harta. "

Bahawasanya Imam Asy Syafie mengatakan:


"Sesiapa belajar Al Quran besarlah harganya. Siapa belajar Fekah agung wawasannya. Atau siapa belajar Hadith kuatlah hujahnya. Siapa belajar matematik cerahlah otaknya. Siapa mempelajari yang pelik, maka lembutlah wataknya. Dan siapa tidak menahan nafsunya, akan tidak bermanfaat ilmunya."

Dari itu, jelaslah bahawa kewajipan menuntut ilmu adalah satu fitrah, kerana tanpa ilmu, iman dan amal nescaya hidup kita umpama layang-layang yang putus talinya. Pada hakikatnya , ilmu itu adalah harta yang sebenarnya yang wajib kita penuhi dan kita jaga sepanjang hayat. Apa yang pasti, tanpa ilmu kita mungkin miskin harta. Tanpa ilmu juga kita tidak dapat mengurus dan mentadbir hidup dengan lebih sempurna. Tanpa ilmu juga kita tidak dapat membezakan antara hukum manusia dan haiwan. Sesungguhnya ilmu itu milik Allah SWT, justeru itu jadikanlah Al Quran itu sebagai sumber ilmu yang tepat dan benar. Ia tidak dapat di hitung, di ukur mahupun di timbang dan tiada had atau sempadannya.

Sebagai penuntut ilmu Allah yang Maha Kaya ini marilah kita berusaha untuk mempertingkatkan ilmu dan membudayakannya demi menjamin kecemerlangan ummah. Bak kata pantun ,

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar
Bagaikan bunga kembang tak jadi.



Khamis, Januari 01, 2009

SI MAWAR MERAH [ Khas Buat Ct ]

Selamat ulangtahun sayang..
Setiap langkahmu jadikan panduan
Kini kau telah dewasa,
bagai sepohon mawar nan mekar
sentiasa lindungi dirimu dari onar.
Walau mekarmu mengharum kami,
Abadi diri muslimah sejati.
Moga harummu tambah seri.

Mawar merahku..
dengarlah olehmu dari hati,
jangan kau biar menyalutimu,
dengan warna-warna palsu.
dunia ini bukan mainanmu.
Mewahkan hati dengan kudrahNya
tiada yang pasti di sini,
hanya di sana kekal abadi.

Mawar merah manisku..
jangan kau bantah, ,
lemparkan jauh mimpi sesia.
jangan kau menongkah langit dunia,
kelak jatuh tersungkur hiba


Mawar merah kesayanganku..
hadirkan jiwamu itu,
Hanya pada yang satu.
taburkan kami sekilas harummu,
Seharum Masyitah, sekudus cinta ummul mukminin,
sehebat para sahabiah,setenang kasih di dada solihin.