Khamis, Ogos 20, 2009

RAMADHAN......

Ramadhan,
Kini kau datang lagi
Menghidupkan hati yang mati
Dengan seribu rahmat dari ilahi
Menyingkap tabir suci

Rindu,
Kian membara
Semarak kasih seorang hamba
Mengintai kamar syurga
Hamparan cinta dari Khaliqnya

Ya Rahman,
Bagaimana nafasku nanti
Amal kasih nan penuh dosa
Di ruang taubat yang terbuka
Sadaqah rahmat dari yang Esa

Ramadhan,
Kini cintaku berbunga
Dalam taman kasihMu
Sewangi tawajuh tiap sujudku
Lenaku di sejadah taufikMu
Ahlan wasahlan ya Ramadhan......


UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya
Kota Tinggi.




Rabu, Ogos 19, 2009

GADIS MANISKU


Gadis manis..
jangan mimpi sedih lagi..
bukan itu dunia hati
seorang serikandi.
Bila rebah pohon iman
akan layu bunga harapan
jadilah engkau sampah terbuang..

Gadis manis..
susunlah langkah terbilang
meniti pewaris zaman
menghulur kemenangan
menepis anganan

Gadis manis..
jangan terlena seloka orang
kelak diri terbang di awan
hilang dari taman larangan
tiada lagi jalan pulang.

Gadis manis..
kau permata di lembah kehidupan
tetap bercahaya di malam suram
menjadi penunjuk jalan
buat musafir kecundang.
Titiplah langkah para sahabiah
mujahadahlah di jalan Allah,
warnai ia penuh mawaddah
penanti setia di taman raudhah...


UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Selasa, Ogos 18, 2009

Perjuangan Belum Selesai

Hidup ini satu perjuangan..Setiap rentetan dari perjalanannya memerlukan ketabahan dan kesabaran. Manakala setiap darinya mengundang satu pengorbanan. Dari alam rahim lagi kita telah bersua dengan keindahan tidak mengenal erti kepayahan. Ketika kita di lahirkan juga,pertarungan yang menggapai kesukaran dapat di atasi dengan satu impian..ya, kitalah yang akan meneroka setiap ruang kehidupan ini dengan penuh keazaman. Justeru itu, mengapa perlu kita berundur sebelum berakhirnya sebuah kehidupan?
Dalam meniti kehidupan ini, ujian dan dugaan adalah bagai lagu dan irama yang tidak dapat di pisahkan. Ia tidak mengejar, bahkan tidak perlu di kejar. Terimalah ia dengan sebuah keredhaan, kerana di situlah akan kita kecapi kemanisan iman..Setiap insan tanpa batas mengenal batas usia, berhak menikmati kegembiraan. Puncak tertinggi bagi setiap kegembiraan itu adalah apabila kita dapat merentasi segala dugaan. Berbahagialah dalam mengisi ruang legar hidup ini.

Aduhai insan yang budiman, janganlah alpa barang seketika..bahawa lukisan hidup ini hanya bagai di atas kertas cuma. Kita akan bisa luntur dan luluh di makan usia. Bagai menanti hujan teduh, sebelum awan mendung berarak pergi, bekalan diri perisai budi menjadi payung naungan. Ilmu adalah pelita hati. Tuntutlah ia bukan untuk satu jangka masa sahaja.Tanpa ilmu kita akan kesesatan dalam pencarian. Impian hanya akan tinggal anganan yang kekontangan. Langkah kita bisa sumbang dan pincang, hilang arah dan tujuan.

Maruah dan harga diri akan berkubur tanpa ilmu di dada. Oleh itu, jangan jemu mengorak langkah baru dengan sentiasa berlapang dada dan mengutip iltizam agar jati diri bertapak di hati. Sesungguhnya ilmu Allah ini amat luas dan masih banyak lagi yang tersembunyi. Maka janganlah cepat berputus asa dan menyerah kalah. Timbalah walau sebanyak mana kehebatannya..kerana insan berilmu akan mampu berfikir dan berubah dan tidak gentar pada sebarang kegoyahan.
Insan cemerlang sekalian, selagi kita masih bernafas maka selagi itulah perjuangan kita bermula tanpa ada akhirnya. Benarkan untuk diri kita menjadi yang terbaik dan sentiasalah perbaiki setiap apa yang sedang kita usahakan. Jemu atau bosan adalah sikap negatif yang tidak patut ada dalam diri kita. Sentiasalah mencari kekurangan diri dalam setiap tindakan kerana kita akan mengenali apakah erti perjuangan yang sebenarnya.
"Bukan mudah untuk senang..dan bukan senang untuk mudah", justeru itu kayuhlah permata akal di perairan kehidupan yang penuh ranjau dan kerikil ujian ini agar kita bisa berlabuh di pelabuhan kejayaan. Jangan sekali kau lemas dalam kealpaan dan keriuhan pesta kejahilan kelak dirimu bagai pelita yang tiada sumbu, umpama berkayuh menongkah arus..Ingatlah anda adalah seorang yang hebat..bak kata peribahasa "kemenyan sebesar lutut, jika tidak di bakar..tidak akan berbau".
Teruskan perjuangan anda semoga kejayaan tergenggam..
Salam sayang seindah senyuman, salam manis secangkir madu..
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya

Khamis, Ogos 13, 2009

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak. Semoga kita dapat memanfaatkannya dengan penuh keazaman. Mudah-mudahan di bulan ini kita akan mendapat segala keberkatan dan dapat menjalaninya dengan penuh keinsafan. Bulan ini merupakan bulan kesabaran dan ganjarannya adalah syurga. Ia juga adalah bulan simpati, di mana di tambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Bulan ini adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat, pada pertengahannya mendapat keampunan dan di bahagian akhirnya pula mendapat pembebasan dari azab api neraka. Oleh itu semoga kita kita di jauhkan dari kalangan orang-orang yang rugi dari rahmat Allah.

Anak-anak sekalian,sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk memperbanyakkan 4 perkara dalam bulan ini. Pertamanya ialah kalimah syahadah. Di nyatakan dalam satu hadith bahawa apabila seseorang menyebut kalimah itu dengan ikhlas maka pintu-pintu langit akan segera terbuka untuknya dan ia akan sampai ke Arasy tanpa ada apa-apa bentuk halangan dengan syarat penyebut itu terjauh dari dosa-dosa besar. Keduanya hendaklah kita perbanyakkan istighfar. Dalam suatu hadith ada di riwayatkan bahawa barang siapa yang memperbanyakkan beristighfar maka Allah SWT akan membukakan untuknya jalan kelepasan dari kesempitan dan melepaskannya daripada kebimbangan dan Allah SWT mengurniakan rezeki kepadanya dari sumber yang tak di sangka-sangka. Ketiga, perbanyakkan memohon mendapatkan balasan syurga dan keempat perbanyakkanlah memohon semoga mendapat kelepasan dari azab api neraka.

Semoga di bulan ini kita dapat mendidik diri dari segala sifat keji dan dapat menghapuskan segala kekotoran yang telah bersarang di dalam hati. Sesungguhnya begitu besar nikmat dan ihsan Allah SWT untuk hambaNya di bulan ini. Hazrat Anas r.a berkata "Telah masuk bulan Ramadhan", lalu Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi." Marilah kita bersama memanfaatkan masa dan mempertingkatkan iman kita di bulan yang penuh keberkatan dengan sebenar-benar ihtisab semata-mata kerana mencari keredhaan dan keampunan dari Allah SWT.
Selamat menyambut bulan Ramadhan buat semua anak-anak Ummi sekelian. Di kesempatan ini Ummi menghulur tangan memohon ampun dan maaf andainya terdapat kesilapan dalam setiap bicara. Semoga kita semua mendapat rahmat dan keampunan dari Allah SWT hendaknya.
Salam Kasih Sayang dari;
UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya
Kota Tinggi.

Selasa, Ogos 11, 2009

PUISI MELAYU TRADISIONAL- SYAIR

Salam manis hamba sembahkan, buat anda yang budiman. Kini syair hamba titipkan, sebagai pengetahuan anda sekalian.

Syair merupakan bentuk puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh dari Arab dan Parsi. Perkataan syair berasal dari istilah Arab sy'ir yang bererti puisi dan sha'r yang bermaksud penyair.Istilah ini berkembang ke seluruh Nusantara dalam berbagai bahasa. Dalam puisi Melayu tradisional, bentuk syair telah di perkenalkan oleh Hamzah Fansuri melalui Syair Burung Pungguk dan Syair Perahu sekitar abad ke 16 dengan tujuan mengembangkan agama Islam.

Ciri-ciri syair;
a) Empat baris serangkap.
b) Jumlah perkataan dalam baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan. Jumlah suku kata bagi setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
c) Skema rima hujungnya sama aaaa.
d) Keempat-empat baris adalah satu kesatuan idea namun rangkap berkenaan tidak dapat berdiri sendiri.
e) Dalam satu baris terdapat satu hentian yang di tandai dengan jeda.
f) Isi syair umumnya merupakan penceritaan yang panjang seperti kisah percintaan, keagamaan, falsafah, pengajaran dan sebagainya.

Jenis Syair;
Pada umumnya, jenis syair adalah berdasarkan isi, tema, pemikiran, persoalan atau mesej yang hendak di sampaikan, contoh;
a) Syair cerita- Syair dandan Setia Intan Terpilih, Syair Badrul Zaman, Syair Yatim Nestapa.
b) Syair nasihat- Syair Pesanan Ibu, Syair Mungkir Janji
c) Syair semangat patriotik- Syair tenaga Pemuda
d) Syair alam sekitar- Syair Cintai Alam Sekitar
e) Syair kiasan- Syair Jong Pecah
f) Syair ilmu- Syair Kelebihan Ilmu


Contoh Syair;

Syair Dandan Setia dan Dandan Terpilih

Dendam Berahi namanya desa,
Mendam Perasat Raja Perkasa,
Rakyatnya banyak berketi laksa,
Bersuka-suka setiap masa.

Riuh-rendah nobat nafiri,
Semuanya konon berbunyi sendiri,
Hairan tercengang isi negeri,
Apakah ada demikian peri.

Air pasang penuh rata,
Melambak-lambak di kakinya kota,
Bunyi-bunyian gegak gempita,
Segala bunyi kembanglah rata.

Berbunyilah genta di Gunung Dendam,
Di tempat padang berbunyi meriam,
Bahananya gunung sangat menderam,
Isi negeri tercenganglah diam.

Adapun akan di dalam istana,
Permaisuri Lela Mengena,
Di dalam kecoh terlalu kena,
Iapun bersalin dengan sempurna.

Seorang laki-laki konon khabarnya,
Terlalu sekali baik parasnya,
Gilang gemilang nur wajahnya,
Tak sempat di sambut oleh bidannya.

Sumber: Antologi Anak Laut, hal 7
( Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional oleh DBP Wilayah Selatan, Panitia Bahasa Melayu Daerah Kota Tinggi dan PPD Kota Tinggi-23.5.09 di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor )

Semoga anak-anak dapat sedikit maklumat, di mana dapat membantu memperkayakan lagi dunia sastera kita di masa hadapan. Salam puisi dari Ummi.

Sabtu, Ogos 08, 2009

Bingkisan Buat Anak Muda

Apa yang kau cari..
dalam lohong berdebu ini,
penuh kotor dan mati
merosak hingga ke tangkai hati.
Kau masih hijau barangkali..
Kau masih mentah yang bisa patah
Langkahmu kerdil
Seuntai usiamu yang berdada merah,
Namun kau bisa gempur
hingga ke liang kubur
jika kau marah
Kenapa kau gali mimpimu
untuk kau tabur di jalanan..
Anak muda..
tolehlah engkau sebentar,
bisakah engkau menggegar
menghirup kedamaian malam
mengoyak keimanan.
Kealpaan satu keasyikkan.
merdekakanlah mimpimu itu
pulanglah ke riba pusaka
untuk kau dengar irama tasbih
keinsafan satu kemuliaan
dalam catatan silam

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Isnin, Ogos 03, 2009

MENGAPAKAH PERLU ADA KEGAGALAN?

Salam kejayaan, kerana kita masih boleh bernafas dan masih boleh berfikir..Dalam mengharungi kehidupan ini tidak boleh tidak kita pasti akan merasa apa itu kegagalan, bukan?. Kegagalan dalam peperiksaan, percintaan, perniagaan, rumahtangga adalah lumrah alam. Janganlah mati akal dan mati hati dek kerana menghadapi kegagalan. Sesungguhnya, hidup tidak akan berakhir..kerana selagi kita di beri kesempatan untuk hidup maka selagi itulah perjuangan belum berakhir.

Apa yang ingin Ummi cuba sampaikan adalah sekadar pemerhatian dan mungkin dari pengalaman sendiri. Sebenarnya kegagalan itu adalah permulaan suatu lembaran baru bagi menuju sebuah destinasi yang di luar kebiasaan kita. Sebagai insan yang punya pegangan, sudah pasti di kala inilah seluruh jiwa kita serahkan pada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, hanya kepadaNya kita berserah dan memohon. Kita akan dapat merasa betapa kita hanya seorang hamba yang yang kerdil. Kita haruslah muhasabah diri tanpa menyalahkan orang lain di atas kegagalan yang kita sedang hadapi dengan rasa rendah diri dan tawajuh. Oleh yang demikian, kita akan mendapat ketenangan dan kekuatan diri dari kebiasaan. Maka kekuatan dalaman akan menzahirkan satu semangat baru yang luarbiasa.

Kegagalan juga boleh merubah cara hidup kita, dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Sudah tentu kita boleh mencari altanatif lain yang dapat membantu kita mencapai kejayaan. Setiap dari kita mempunyai kelebihan dan kehebatan tersendiri, mungkin setelah menghadapi kegagalan barulah kita sedar. Dari itu janganlah kita memperlekehkan diri kita sendiri.

Ingatlah, Allah SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sentiasalah mendekatkan diri padaNya. Pada Ummi kita adalah orang-orang yang gagal andainya seluruh kehidupan tidak bersandarkan iman dan taqwa yang mana memungkinkan kita sebagai hambaNya yang rugi di akhirat kelak.

GAGAL itu sebenarnya hebat. Tanpa tersungkur mana mungkin kita sanggup berikhtiar dan berusaha untuk berjaya. Anak kecil yang baru bertatih misalnya takkan terus berjalan tanpa merangkak dan berdiri untuk berkali-kali mencuba melangkah ke hadapan. Ramai ahli perniagaan yang berjaya masa kini, pernah menghadapi kejatuhan tetapi berkat usaha dan tabah akhirnya mereka dapat menikmati kejayaan.

GAGAL itu juga adalah ubat. Walau pun ia begitu pahit untuk di telan, terlalu siksa untuk di sandang, namun ada hikmah yang bakal menjelang. Percayalah, setiap kedukaan yang datang adalah ujian..Teruskanlah perjuangan dengan penuh kesabaran. InsyaAllah setiap kepayahan akan di bayar dengan kemanisan kejayaan..

Sentiasalah bersikap positif dan optimis dalam merancang sebuah kejayaan. Kita perlu merangka strategi baru setelah dapat menelah kelemahan yang lalu. Bermunajatlah selalu kepada Allah agar mendapat petunjuk dan rahmat dalam setiap tindakan. Bersikap terbuka dengan sedia menerima teguran dan nasihat dari orang lain, mungkin anda boleh bertukar ke bidang yang lain, suasana yang baru yang boleh menjadikan diri anda lebih bersemangat dan ceria kembali. Berilah peluang pada diri sendiri untuk menikmati kebahagiaan dengan penuh keberkatan.. Jangan sesekali menzalimi diri sendiri dengan cuba bertindak atau berfikir secara negatif, kerana itu bukan cara hidup kita sebenarnya.

Anak-anak adalah hebat.. Hidup ini adalah indah dan menakjubkan andai kita mewarnainya dengan sentiasa berpegang dengan tali Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Keluarkanlah segala kebesaran dunia dan kebesaran makhluk dari dalam hati kita, kerana ia bukanlah jaminan kita ke syurga. Tetapi masukkanlah hanya kebesaran ALLAH swt dalam hati, kerana kita pasti akan mendapat kejayaan dunia, akhirat dan seisinya.

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya,
Kota Tinggi.

Iktibar Dari Semangat WONDERPETS


Suatu ketika, Ummi menonton siri animasi kanak-kanak iaitu Wonderpets, Ummi dapat merasakan bahawa banyak mesej yang boleh kita ambil sebagai pengajaran. Alangkah indah erti sebuah persahabatan yang terjalin walau bukan dari jenis yang sama. Mereka menonjolkan erti perpaduan dan kehidupan dalam satu bumbung.

Apa yang menarik perhatian Ummi, jarang sekali terdapat sebuah animasi yang menggunakan bahasa yang di alih suarakan dengan bahasa yang sopan walau pun ia di selang selikan dengan muzik. Tidak seperti kebanyakan kartun Malaysia yang sering menggunakan perkataan (aku, engkau,bodoh ) walau ia berjaya di filemkan. Ummi merasakan bahawa telah sampai masanya untuk semua pihak bekerjasama dalam menghasilkan sebuah animasi yang membawa mesej mendidik sahsiah anak-anak baik dari segi bahasa mahu pun perkembangan moral. Ummi amat sedih bila mendengar pelbagai perkataan yang kasar dan tidak sopan keluar dari bibir anak yang masih kecil lagi.

Sikap kerjasama dalam menyelesaikan sebarang masalah adalah sifat yang amat mulia untuk kita amalkan. Inilah semangat 'SATU MALAYSIA' yang kini menjadi pegangan kita sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Walau pun kita dari pelbagai bangsa dan agama, tetapi kita semua adalah makhluk Allah jua, yang hidup di bawah satu bendera. Mengapakah perlu ada persengketaan.?.Alangkah amannya negara yang kita cintai ini kiranya semua rakyat hidup dalam suasana yang harmoni, sentiasa bersikap bantu membantu, dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Apa akan jadi pada generasi akan datang andainya kita tidak bersatu padu dalam setiap tindakan dan keadaan..

Masihkah anda ingat akan kata-kata ini.." Kami tak besar, dan kami tak kuat,bila bekerjasama semua jadi mudah..!" dan " apa yang penting, kerjasama..!". Peribahasa kita juga ada mengatakan, "Berat sama di pikul, ringan sama di jinjing". Betapa indahnya bahasa kita, tapi mengapakah kita juga yang merosakkannya?. Kita juga telah di didik agar mengamalkan konsep pemuafakatan dalam membina satu kejayaan. Dari itu mengapakah kita sanggup berbalah sesama sendiri dek kerana lain ideologi, sedangkan apa yang kita genggam sekarang akan hancur kiranya kita bersikap pentingkan diri sendiri. Renungkanlah..

Dari itu marilah kita bersama mengambil iktibar walau sekadar hanya dari sebuah siri kartun cuma, moga kita akan menjadi' super hero' buat masa kini dan untuk generasi kita akan datang.
UKHUWAH, MUAFAKAT AKAN MEMBAWA BERKAT....


Peminat Wonderpets...
Ummi Adam..

12 Kumpulan Manusia Ketika Di bangkitkan Dari Kubur

Sesungguhnya Mu'az bin Jabal meriwayatkan dari Rasulullah Saw, bahawa baginda pernah bersabda; " Ketika terjadinya hari qiamat, iaitu hari kerugian dan penyesalan, maka Allah SWT mengumpulkan umatku dari kuburnya menjadi 12 kumpulan;

1) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan tidak memiliki tangan dan kaki. Lalu ada pemanggil dari hadapan DzAt Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang suka menyakiti hati tetangga, mereka mati sebelum bertaubat. Inilah pembalasan mereka, dan tempat kembali mereka adalah neraka. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh adalah teman sejawat." ( An Nisa' ayat 36)

2) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan bentuk binatang. Ada yang mengatakan binatang itu ialah khinzir. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang meremehkan solat, mereka mati sebelum bertaubat, inilah pembalasan atas mereka. Tempat mereka adalah di neraka. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Maka celaka akan menimpa pada orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya." (Al Maun ayat 4-5)

3) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan perutnya buncit seperti gunung, yang di penuhi ular dan kala jengking, rupa mereka seperti keldai. Ada yang memanggil mereka dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak mahu membayar zakat, dan mereka mati sebelum bertaubat. Inilah pembalasan mereka, dan tempatnya hanyalah di neraka, sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah pada mereka (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih. Pada hari di panaskan emas dan perak itu di dalam neraka jahanam"(At Taubah ayat 34-35)

4) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan mulutnya mengalir darah dan ususnya terjurai hingga ke bumi, serta api terkeluar dari mulutnya. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang , mereka ini adalah orang-orang yang menipu dalam jual beli, dan mereka mati sebelum bertaubat. Inilah pembalasan mereka dan nerakalah tempatnya. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit" (Al Imran ayat 77).

5) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan berbau busuk. Bau mereka lebih busuk daripada bangkai. Kemudian ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang menyembunyikan maksiat dari pengetahuan manusia dan mereka tidak takut pada pembalasan Allah dan mereka mati sebelum bertaubat. Maka nerakalah tempatnya. Seperti firman Allah SWT;
" Mereka tersembunyi dari (hadapan) manusia tetapi mereka tidak tersembunyi dari Allah" ( An Nisa' ayat 108)

6) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan terpotong tenggoroknya hingga ke tengkuk. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang terbuat dusta dalam kesaksiannya dan mereka mati sebelum bertaubat. Maka nereakalah jua tempatnya. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu." (Al Furqan ayat 72).

7) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan tidak mempunyai lidah, dari mulutnya mengalir darah dan nanah. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak mahu memberikan persaksian yang benar,dan mereka mati sebelum bertaubat. Nerakalah tempat meraka, sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan barangsiapa yang menyembunyikan, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya."( Al Baqarah ayat 283)

8) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dengan menundukkan kepalanya dari kaki berada di atas kepalanya, dan mengalir nanah bercampur darah dari farajnya. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah penzina dan mati sebelum bertaubat. Maka nerakalah jua tempatnya, sebagaimana firman Allah SWT;
" Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk," ( Al Isra' ayat 32)

9) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dengan wajah hitam, matanya melotot dan perutnya di penuhi dengan api. Lalu ada pemanggil dari Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang memakan harta dan menganiayakan anak-anak yatim. Maka nerakalah tempat mereka, sebagaimana firman Allah SWT;
" Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.". ( An Nisa' ayat 10).

10) Mereka di kumpulkan dari kuburnya dengan berpenyakit kusta dan belang. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang menderhakai kedua ibubapanya, dan mati sebelum bertaubat. Nerakalah tempat baginya. Sebagaimana firman Allah SWT;
" Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada ibubapamu" (An Nisa' ayat 36)

11) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dalam keadaan buta hatinya, gigi-giginya seperti tanduk sapi, bibirnya tertarik sampai ke dadanya, lidahnya panjang sampai ke perutnya, perutnya pula labuh sampai ke pehanya, manakala perutnya mengeluarkan kotoran. Lalu ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah yang suka meminum arak dan mati sebelum bertaubat. Maka nerakalah tempat baginya, sebagaimana firman Allah SWT;
" Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, menyembah berhala, menilik nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan". ( Al Maidah ayat 90)

12) Mereka yang di kumpulkan dari kuburnya dengan wajah bersinar seperti bulan purnama, mereka melewati sirat seperti kilat, dan ada pemanggil dari hadapan Dzat Allah Yang Maha Penyayang. Mereka ini adalah orang-orang yang beramal soleh dan menjauhi maksiat, menjaga solat lima waktu dengan berjemaah, mereka mati dalam keadaan bertaubat, maka inilah pembalasan mereka. Syurgalah tempat mereka kerana mereka redha dengan Allah, dan Allah pun redha kepada mereka, seperti firman Allah SWT;
" Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan) janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah dengan syurga yang telah di janjikan oleh Allah kepadamu."(Fushilat ayat 30)

Sumber;Peristiwa Besar dari Alam Kubur; Abu Mustaqim Al Qadli