Isnin, November 23, 2009

Indahnya Pengorbanan Itu.

Pagi ini saya bertandang ke ruang fikir yang tidak terbatas.Segalanya singgah di benak hati yang kudus ini dan terasa betapa kecilnya diri ini.Tidak pernah terjangkau dek kotak fikir bahawa setiap yang kita lalui ini penuh dengan pengorbanan.Walau sesuram mana dan seindah mana kehidupan kita ini sesungguhnya ia bersulamkan dengan jaringan pengorbanan yang bukan sedikit untuk di rungkai.


Sesegar di  rentetan hidup ini, kita mungkin telah lalui banyak duri ranjau yang tak berkesudahan.Apa yang menjadi kekuatan diri kita selama ini hanya sekelumit cahaya iman dan pegangan agama yang di bekalkan,begitu juga rasa syukur atas nikmatNya yang tak ternilai harganya.Saya merenung sejenak akan kejadian yang sedang berlaku di sekeliling,betapa hebatnya musibah yang telah Allah swt berikan pada hambaNya. MasyaAllah, gempa bumi,banjir,tanah runtuh dan penularan pelbagai penyakit yang menggerunkan..Ya, mungkin dunia kini telah menghampiri usia tuanya. Kita sedar tentang itu,namun gejolak memburu cinta dunia banyak menghakis ketebalan cinta pada akhirat.

Alangkah indah andai kita dapat melihat menerusi bicara mata..kerana mata tidak boleh menipu keadaan. Hati yang kotor seringkali tersimpuh di ruang tohor lagi berliku.Kita tidak mungkin dapat menilai tiap pengorbanan orang lain terhadap kita.Sebagai anak, pelajar,anggota masyarakat,rakyat, pemimpin atau walau sesiapa pun kita pengorbanan perasaan,harta benda, tenaga dan pemikiran menjadi wadah pemangkin budi kita.Itulah nilai keperibadian seseorang yang menjadi kayu pengukur sahsiah setiap insan. Saya terkesima sendirian mengenang bagaimana ketinggian cinta Nabi Ibrahim as terhadap Yang Maha Esa mengatasi segalanya. Perintah Allah swt supaya baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail as di laksanakan demi cintanya pada Allah swt. Kita dapat melihat juga betapa kuatnya pengorbanan Siti Hajar merelakan anaknya disembelih demi mentaati perintah Allah swt. Sesungguhnya pengorbanan itu memang indah.......

Saya juga merasa sangat terharu akan ketulusan hati insan-insan yang sanggup mendermakan sebahagian daripada organnya demi menyelamatkan nyawa insan lain. Alangkah indahnya jika saya dapat berbuat seperti mereka.Segala pengorbanan mereka membuat saya tersedar dari igauan semalam bahawa nikmat yang Allah kurnia ini sangat hebat dan patut di kongsi bersama pada yang memerlukan. Subhanallah...bila kita kekurangan dan sedang memerlukan barulah kita sedar akan kebesaran dan menghargai segala nikmat yang di beri.

Sempena menyambut hari kebesaran umat Islam iaitu Aidul Adha ini marilah kita mencari segala keindahan erti pengorbanan itu. Sebagai umat yang ingin mencapai kejayaan di dunia dan juga di akhirat, hayatilah semua perjuangan dan pengorbanan junjungan kita Rasulullah saw demi menegakkan syiar Islam keseluruh alam. Muhasabahlah setiap masa untuk mencari kelemahan diri agar segala langkah kita tidak sesia dan merugikan.Hargailah apa yang ada di samping kita menambah nilai dan memperkasakannya agar sentiasa ampuh dan utuh.Cabaran dan dugaan merupakan bumbu untuk kita mencapai kemenangan dan kejayaan yang manis dan bermakna dalam hidup ini. Saya ingin mengingati diri sendiri dan anda jua moga kita bisa jadi hamba yang sentiasa bersedia untuk berkorban demi maruah bangsa dan agama tercinta.Salam Aidul Adha dari saya buat semua...

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

Tiada ulasan: