Selasa, Mei 26, 2009

Pendedahan dari seorang bekas Paderi

Buat julung-julung kalinya, semalam berlangsung satu majlis ceramah anjuran Jabatan Mufti Johor bertempat di perkarangan Sekolah Menengah Agama[Arab], Kota Tinggi. Majlis bermula pada pukul 8.00 malam dan di hadiri oleh Sohibussamahah YB Dato' Hj. Mohd Tahrir Bin Dato' Kiyai Hj. Samsuddin,Mufti Johor dan sebilangan besar pelajar serta ibu bapa di daerah Kota Tinggi.

Ceramah yang bertajuk 'Bahaya Gerakan Kristianisasi' telah di sampaikan oleh Saudara Nicholas Sylvester b. Abdullah yang merupakan seorang bekas Paderi Negeri. Menyingkap kembali secara ringkas beliau memulakan persekolahannya di High School,Batu Pahat,Johor dan merupakan lulusan ijazah dari University Of Arkansas, United State Of America.Sesungguhnya pendedahan beliau sangat menarik perhatian hadirin yang memenuhi keseluruhan ruang majlis. Majlis ini juga merupakan salah satu pendekatan pihak Jabatan Mufti dalam memperbaiki akidah umat Islam keseluruhannya.

Apa yang membuat saudara Nicholas begitu tertarik akan agama Islam sedangkan ketika itu beliau adalah seorang paderi ..Allah Maha Mengetahui akan segalanya, dan sesungguhnya taufik dan hidayah Allah tak mengenal sesiapa.Sepanjang bergelar paderi, beliau banyak mengkaji isi kandungan Bible yang menambah kusutkan lagi akan kesahihannya dan membuat beliau terpanggil untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi. Banyak persoalan yang bermain dalam fikirannya selama ini yang tidak dapat di jawab dalam agama yang di anutinya. Kepercayaan menyatakan bahawa Tuhan adalah 3 dalam 1, iaitu bapa di syurga, anak tuhan iaitu Jesus Christus dan Ruhul Qudus. Tuhan juga boleh di lukis mengikut imaginasi kita... benarkah ? Sedangkan orang Islam hanya menyembah Tuhan yang satu, yang tidak punya anak dan tidak pula di peranakkan. Beliau juga mendapati banyak kekeliruan dan perkara yang menyesatkan dalam Bible.

Beliau menjelaskan lagi kini kristian terbahagi kepada banyak denominasi di mana terdapat sekitar 4000 hingga 10000 sedang berkembang seperti cendawan tumbuh. Terdapat 400 jenis Bible sedang berada dalam pasaran sekarang..di mana dengan mudah untuk mereka membentuk kultus-kultus sendiri. Setakat ini telah terdapat 20000 denominasi dalam agama kristian. Mereka mempunyai organisasi yang sistematik dalam merangka penyebaran kristian di seluruh dunia. Mereka mula beroperasi di pedalaman yang mana kawasan ini begitu mudah di pengaruhi berdasarkan corak kehidupan..dan Malaysia tidak terkecuali dalam sasaran mereka. Apa yang membimbangkan mereka ini menggunakan kelemahan manusia iaitu kemewahan. Organisasi ini bergerak secara senyap dengan menyalurkan bantuan kewangan dan bantuan kemanusiaan. Mereka sanggup berkorban harta dan wang ringgit demi melihat misi dakyah mereka berjaya. Pelbagai cara di gunakan menerusi banyak saluran dan ini amat menakutkan kita.

Dari itu marilah kita bersama sentiasa berpegang teguh dengan Al Quran dan mengamalkan sunnah RasulullahSAW, perkuatkanlah akidah kita agar terhindar dari segala dakyah yang dapat memesongkan dari landasan sebenar.Sesungguhnya Islam itu benar.. Al Quran itu benar, dan sunnah Nabi itu benar. Sebagaimana firman Allah dalam surahAl Hasyr ayat 18 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah [tiap-tiap]orang memperhatikan apa yang di usahakan esok.[hari kiamat].Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan."

Aku anak pejuang

Redup mata tua ayah...
menyimpan seribu keperitan
perjuangan..
dalam kepayahan
menggapai kemerdekaan.
Dulu, bibir ayah mengulum pahit..
Perit getir di tabir rimba
memikul senjata
mengawal nusa
bibir ayah tak lekang zikrullah
meniti sempadan
penuh gagah.
Di pinggir konfrantasi merah
tak gentar melangkah
walau bermandi darah
Ayah pasrah..
Bibir ayah menguntum madu
Komunis Malaya menjadi seteru
telah gugur layu
satu persatu
Bagi ayah, satu peluru satu nyawa
pembantu Chin Peng jadi sasarannya.
walau tangan berbaur hanyir darah
Tapi hati berbunga sudah
Tanah Melayu di tangga merdeka!
Kini mata tua itu kembali hiba..
melihat bangsa tercemar dosa
tersandung derhaka.
berseteru saudara.
Aku intai di kelopak matanya..
Ada titis jernih luka
jatuh berbaris di pipi kedutnya.
Aku selam ke dasar lautan hatinya
Ada gelombang pedih..
yang memukul pantai sesalnya
Inikah balasan bakti mereka..
menggadai nyawa membela bangsa,
Anak muda leka
sahsiah diri tercela.
musnahlah bunga negara
Aku anak pejuang..
mengggenggam harapan
dalam impian
seribu kesyukuran.

Isnin, Mei 25, 2009

Pantun ilmu dan budi

Duduk bersimpuh si anak dara,
Berbaju kurung bersanggul dua.
Cantiknya rupa hanya sementara,
Ingatlah ia kan pudar jua.

Jamu selera di tepian kota,
Di buai bayu alangkah nyaman.
Ilmu itu adalah harta,
Kekal terukir sepanjang zaman.

Sopan santun pakaian diri,
Pemanis kata budi bicara.
Ilmu dan amal penambat seri,
Santapan rohani penimbang tara.

Pohon pauh di hujung titian,
Nampak dari desa Semantan.
Terpaut hamba dek budimu tuan,
Moga hidup di limpahi keberkatan.

Enak sungguh si buah nangka,
Jadi santapan Sang Perkasa.
Biarlah hidup bergalang duka,
Dari hidup bergelumang dosa.

Usah di kenang luka semalam,
Kelak merancu dalam fikiran.
Telah menjadi lumrahnya alam,
Harta dan rupa menjadi ukuran.

Sabtu, Mei 23, 2009

Selamat Bercuti

Selamat kembali ke pangkuan keluarga buat semua ..
Kini ramai di kalangan pelajar yang sedang bercuti,setelah tamatnya berjuang di medan peperiksaan.Sungguh lega di hati,bukan? Ummi doakan moga kalian mendapat kejayaan yang cemerlang. Alangkah terubatnya rindu di hati, kini anda telah bersama ayah,ibu dan keluarga yang di sayangi. Semoga percutian kali ini lebih bermanfaat dan membawa seribu satu kenangan manis buat anda sekeluarga. Inilah waktunya untuk anda lebih mendekati dan mengeratkan lagi ikatan kasih sayang sesama keluarga. Janganlah anda mensia-siakan detik-detik yang sangat berharga ini kerana sesungguhnya ia tidak akan berulang lagi untuk kesekian kalinya.

Tetapi, bagi pelajar di luarnegara..kini anda masih lagi berada dalam suasana peperiksaan...masih belum selesai,bukan? Sabar ya..Ummi yakin, anda terlalu rindukan keluarga yang telah anda tinggalkan buat beberapa musim..Ummi dapat merasakan betapa sedihnya bila terkenang ayah ibu dan sanak saudara bila berada di rantau orang. Apatah lagi ramai dari anda yang tak berkesempatan meraikan aidilfitri bersama mereka buat beberapa kali. Dari pengalaman sendiri, alangkah hiba bila hanya gambar mereka saja yang dapat di tatapi.Mudah-mudahan tahun ini anda akan berpeluang bersama keluarga untuk mengisi kerinduan di musim-musim yang lalu.. Doa Ummi moga kalian mendapat kejayaan dan di beri kesempatan untuk menzahirkan impian anda selama ini..

Di kesempatan ini jua Ummi ingin memohon maaf dari anda sekiranya ada di antara karya Ummi yang mengguris hati kalian..Diri ini hanyalah seorang insan yang kurang ilmu lagi tempang dek budibicaranya. Apa yang di sampaikan hanyalah gubahan naluri nan sentiasa tak lekang dari kesunyian rentak hidup kita. Ingatlah..bila mata mula berbicara, bila hati mula bersuara maka gunalah permata akal untuk bercerita...

Sesungguhnya hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan, tempuhilah ia dengan kekuatan dan ketabahan. Iman dan taqwa menjadi sandaran, kebahagiaan pastikan datang. Yakinlah, setiap keikhlasan itu akan di bayar dengan keberkatan dari ilahi. Salam takzim dari Ummi.

Rabu, Mei 20, 2009

Fikrah Seorang Lelaki

Melihat dari matahati...
Dunia mu seorang lelaki
kedudukan dan harga diri,
Itu yang kau cari.
Biarpun kau lelah..
namun kau tidak kalah.
Biarpun kau lemah..
namun kau tetap gagah.
Mata ku mulai mengerti...
Kau terlalu egois
Yang menang tiap bicara
Yang kalah pada airmata
Namun kau tetap alpa, tuan..
bila permata akal kau kuncikan,
tanpa menoleh lagi kebelakang
kau terus berjalan.
Mungkin sudah fikrah lelaki..
kau tetap menggenggam mimpi
pasrah ku tidak bertepi.
Pernahkah kau melihat sendiri..
cermin diri, cermin di hati.
antara impian dan mimpi
rambang di mata jua di hati
bicara mu adalah permata
bicara ku adalah luka.
Di mata ku ada cerita...
fikir mu mudah ku baca,
rintih mu mudah ku rasa
dalih mu mudah ku telah.
Emm....kau lelaki,
Biar sekeras mana hati mu ini..
Segagah mana kau berdiri
kan jatuh jua bila berlari..
Andai aku tiada di sisi


Benarkah ada cerita indah dari mu lelaki..Bisakah kau ubati luka mu sendiri? Apa mungkin kau betah berjalan sendirian tanpa teman.. Dapatkah kau memberi senyuman dalam kedukaan...Bersyukurlah oleh mu maka hargailah apa yang ada di tangan..!
Ikhlas dari ku;
Ummi Adam.

Kini Aku Menangis Lagi.

Kini, airmata ku tumpah.
lemas dalam kamar hiba
bibir lesu tanpa suara..
tiada lagi harga di mata
Apa bisa aku berdodoi lagi....
kerna anak-anakku lupa diri,
gersang hati.
Kau usir saudara mu..
Kau robek mimpi indah mu
Kau curah api di dada mu..
Di mana hilangnya tawa mu dulu?
Di mana perginya budi mu itu..
satu hati, satu suara
satu mimpi, satu rasa..
Apa bisa aku berdendang lagi...
menghimpun kembali waktu keramat itu,
dalam kerakusan tangan mu..
kau bunuh erti kasih sayangku..
Bangkitlah anak-anak ku...!
kembalikan detik itu
bersama keagungan Kalamullah
hidupkan sunnah Rasulullah.
Kita tak mungkin kecapi lagi
andai semua di renggut pergi
bila tiba kutukkan Ilahi
sedang kau leka mengadu domba
berfoya-foya mengatur suara
hingga saat itu..
tiada lagi saudara
tiada lagi airmata
tiada lagi cinta
hanya dosa mengkafani mu
hanya mimpi ngeri mengiringi mu
Dengarlah anak-anak ku...
sapukan airmata ku
berdamailah untuk ibu.


Cintailah tanah pusaka,sirami ia dengan kedamaian. Berbaktilah dan perjuangkanlah tanpa sengketa.Tanah ini milik kita..jangan kau biar ia tercemar dalam kehinaan akibat tangan kita yang menggenggam tohor kemunafikkan. Kasih Sayang dari Ummi Adam.

Jumaat, Mei 15, 2009

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum,
Bersempena dengan sambutan Hari Guru ini, terlebih dahulu Ummi ingin mengucapkan ribuan terimakasih yang tidak terhingga kepada semua bekas guru Ummi walau di mana mereka berada.Sungguh besar budi mereka, hingga tak terbalas oleh kata-kata mahu pun intan dan permata. Bicara kita sesungguhnya adalah perhiasan mereka. Ilmu yang di titipkan adalah harta warisan yang berharga..Kejayaan kita adalah berkat lukisan mereka jua. Dari itu marilah kita manfaatkan segala ilmu di dada agar mereka jua beroleh pahala atas bakti mulia mereka selama ini. Kita panjatkan doa dan restu pada ilahi moga mereka sentiasa di lindungi dan di berkati usia dalam menabur budi.

Dalam cermin kehidupan ini, kita tidak akan lari dari membuat sebarang kesilapan. Sesungguhnya, hidup ini tidak seindah yang kita mimpikan. Justeru itu, Ummi merakamkan ampun dan maaf andainya terdapat sebarang kepincangan dalam budibicara sepanjang menjadi anak didik kalian.. Semoga segala kekurangan akan menjadi noktah sempadan dan pengajaran dalam menterjemah satu kehidupan.

Ummi yakin, segala keikhlasan mereka akan mendapat balasan dan kebaikan. Tanpa mereka siapalah kita sekarang.. Semoga kita menjadi insan yang mulia akhlaknya dan meneruskan perjuangan mereka di medan kehidupan yang mencabar ini. Sentiasalah kita mencari ilmu kerana dengannya kita akan memperolehi kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Seperti sabda junjungan Rasulullah SAW tentang menuntut ilmu;
" Jadilah orang alim,atau pelajar,atau pendengar,atau pencinta.Jangan jadi yang kelima, iaitu pembenci. Maka kau akan binasa."

Sesungguhnya Hasan bin Ali ra pernah berkata," Siapa banyak menggauli ulama lepaslah ikatan lidahnya, terbuka tabir hati nuraninya serta menemukan tambahan dalam dirinya. Bahkan dia punya kemampuan terhadap apa yang di ketahuinya dan dapat pula memanfaatkan untuk terus belajar."

Maka, ukirlah iltizam di hati moga ilmu yang di beri di berkati, agar kita dapat menggenggam kejayaan yang hakiki. Jasa mu guru sepanjang hayat, bakti budi mu adalah nikmat, buat azimat dunia akhirat....SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU, buat semua guru, bekas guru dan bakal guru.


Teratak Ummi,
Taman Daiman Jaya.

Citra Mulia Seorang Guru [Buat semua insan bergelar guru khasnya Cikgu Johan]

Jangan biarkan...
anak didik mu jatuh,
rebah punah dek miskinnya ilmu.
Kasehani mereka...
yang kosong jiwa
lalu terjerat dek buruknya dunia.
Ingatlah sentiasa sabda baginda...
pemurah adalah taqwa,
mulia adalah tawadhuk,
yakin adalah kaya.
Jadilah seperti bintang berkerlipan...
meski di lihat di muka air,
kau tetap bercahaya jua.
Sampaikan ceritera bangsa...
hingga ke ujung usia,
kerna bakti mu adalah mulia.
Tanpa mu, siapalah kita kiranya..
Jangan sekali kau damba...
ganjaran atau kurnia,
kerna ,budi mu telah terukir di sana.
meski berlebihan yang kau hamparkan,
manfaatnya tersebar keseluruh alam.
Keringat mu bak mutiara jernih...
di celah lelah mu yang mengusung waktu,
buat titipan anak didik mu.
Citra mu mendamai kenangan...
dalam sutera kehidupan,
meski jasad mu telah pergi,
kau tetap abadi di hati.

Selamat Hari Guru!
Taman Daiman Jaya.

Khamis, Mei 07, 2009

DI AMBANG IMTIHAN INI..

Rembang malam berlalu sudah
tersimpul kini di ambang resah
perjuangan..
debaran...
Dalam imtihan ini,
benarkah..
atau mungkinkah..?
ada titik noktah
ada nikmat dalam gundah..
penuh ibadah.
Ibu,
Ayah..
restu di pinta.
Guru,
Teman...
pembakar jiwa..
Dalam imtihan ini,
ada mimpi ngeri
ada doa di hati..
Tawajjuh,
Tawaqal..
Sudah pasti.
Ya Rabbi..
Penentu hakiki...


Salam imtihan buat anak-anak Ummi sekelian,Semoga kalian di ambang ketenangan demi menyahut tuntutan ilmu.Ummi iringkan doa restu moga kalian di permudahkan segala urusan dan beroleh kejayaan demi masa depan.Kalian adalah bunga bangsa dalam meneruskan perjuangan Rasulullah.Pulanglah dengan senyuman ketaqwaan .sebarkan syiar ke pelusuk alam.menjadi teladan teman dan taulan.,dan merubah sahsiah bangsa demi agama tercinta..........
Kasih sayang dari Ummi.

Jadilah Insan Yang Penyayang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera teman pembaca sekelian.
Kemurungan adalah merupakan suatu penyakit yang sukar di rawat sendirian, kerana ia melibatkan perubahan emosi, fizikal dan minda. Kita mudah berasa sedih apabila terjadi sesuatu yang tidak kita ingini. Maka kemurungan akan berlaku dan ini menyebabkan daya tahan berkurangan yang mana ia sukar pulih dengan sendirinya.

Secara ringkasnya, mereka yang di landa masalah kemurungan akan berasa sedih yang berpanjangan sehingga hilang segala semangat, tidak boleh tidur, hilang selera makan, tidak dapat menumpukan seluruh perhatian terhadap aspek kehidupannya dan mudah mendapat penyakit seperti gastrik dan sakit kepala. Apa yang lebih membimbangkan masalah ini boleh mengundang beberapa penyakit kronik seperti darah tinggi dan jantung.

Apa yang pasti bantulah pada mereka yang sedang di landa kemurungan ini. Berilah mereka sokongan dan dorongan agar mereka merasa bahawa dirinya masih lagi di hargai dan di beri perhatian. Tutur bicara anda biarlah yang boleh membawa kebaikan pada mereka. Bawalah mereka kembali kepada asal dengan penuh hikmah, ingatlah insan ini mudah alpa pada dunia realiti kerana hati mereka telah di kongkong oleh perasaan terlalu merendah diri dan tidak peka lagi pada persekitaran dan diri sendiri.

Jadilah insan yang sentiasa membantu dengan ikhlas. Janganlah bebani mereka dengan pelbagai masalah atau tanggungjawab yang boleh menambahkan lagi fikiran. Ingatlah, membantu sahabat adalah suatu kewajipan yang besar pahalanya..Sayangi mereka kerana mereka benar-benar memerlukan bantuan kita. Sahabat juga umpama cermin diri kita. Oleh itu tunaikan hak mereka sebelum terlambat!
[sumber rujukan MPA]

Selasa, Mei 05, 2009

Assalamualaikum Cik gu...!

Dunia mu cik gu,
penuh realiti..
penuh inovatif.
Setiap langkah mu cik gu,
ada kualiti..
ada visi..
Bicara sakti mu cik gu,
kalam berilmu..
hikmah sekufu...
demi anak bangsa mu,
ikhlas dan jitu..
Budi mu cik gu,
hingga hayat mu..
tonggak cahaya insan yang bisu.
Salam kasih buat mu cik gu,
berdirinya aku berkat ilmu mu,
meniti masa bertitah..
dari tangan mu.
menggapai puncak nuansa..
dari gugah mu.
melilit selendang sutera..
menjunjung bakti mu.
Biar di letak di ujung tanah..
dikir mu tetap memburu..
merenggut pergi..
yang buta di mata,buta di kalbu..
mendaulat bahasa bangsa..
perisai dari seteru.
pembina sahsiah ummah..
menganjak paradigma baru.
Sejahteralah oleh mu cik gu..
Tuhan berserta dengan mu.
Sepanjang usia mu,
bersatu dalam mimpi mu.

Khas buat semua guru dan bakal guru,sekalung terimakasih ku ucapkan atas budi mu itu. Doa ku moga kalian sentiasa di berkati ilahi, jadilah dian nan sentiasa menerangi insan lain yang kegelapan ilmu. Payungi mereka yang di hujani kepincangan budi. Pimpinlah mereka yang buta hati. Suluhlah mereka dengan bestari.Sesungguhnya kalianlah pemangkin warisan lestari....
Salam kasih sayang buat mu guru ku, budibicara mu tersemat di kalbu, menjadi wadah lukisan hidup ku...TERIMAKASIH CIK GU!

AIRMATA DI PUSARA BONDA

Bonda...
Di sini aku merafak rindu
menitip suara mu
ingin ku bicara dengan mu..
tentang cita ku..
tentang cinta ku..
Ingin ku berkisah peri dengan mu..
tentang mimpi ku..
tentang sedar ku..
Bonda...
Di muara kasih ku
berlabuh sudah impian mu..
kian terlayar doa mu dulu..
Tapi tanpa mu bonda,
bisakah aku melewati pesisiran ini ?
tanpa mu bonda,
siapakah yang bisa merawatkan luka ku ..
dan menyapu airmata ku nanti..?
Hanya di pusara mu bonda..
teman bicara pilu ku,
Dengarlah aduhai bonda..
tanpa mu tiada tangan yang bisa memimpin ku,
mencari nur di lorong putih itu..
Di sini ...
Kau abadi bersama nur ilahi..
Di sini...
Aku menanti bersama rindu di hati.

Pinggiran pusara bonda,
Kg Makam Bendahara.

PERNAHKAH..............

Pernahkah kau melihat dalam dirimu........
Koreksi diri tika sendiri mu,
Tangisi dosa walau setitik cuma..
Syukuri nikmat apa yang kau terima.
Segala deria dan pancaindera,
Segala apa yang kau punya,
Hanya pinjaman semata..

Pernahkah kau ingat suatu hari nanti........
Ia akan kembali pada hakNya,
Ia akan luput dari hambaNya,
Ia akan lupus di telan masaNya..
Adakah kau masih tersenyum jua?

Pernahkah kau terlintas jua.................
Akan nikmat nafas mu percuma dariNya,
Andai terhenti dapatkah kau ganti?
Biar segunung intan yang kau beri,
Kelak hancur memamah sendiri,
Hanya amal mu bekalan diri..

Pernahkah kau melukis sendiri...........
Corakkanlah lukisan diri,
Catatlah apa yang telah kau beri,
Tanpa gah dan besar hati,
Cukupkah itu kurniaan mu jauhari,
Sebagai jaminan dan cagaran mu nanti..

Apa yang pasti kini...
Kau..,
Aku,
Dan mereka..
Akan kembali jua padaNya.

Tika itu tiada lagi.......
Kau..,
Aku,
Mahupun mereka..
Tapi hanya DIA abadi selamanya..

3.00 a.m Taman Daiman Jaya

Sabtu, Mei 02, 2009

LAWAK SANTAI

Kerat Ajelah...

Dalam kesesakkan jalanraya,kedengaran perbualan satu keluarga di dalam sebuah kereta..
Ayah : Hai...panjangnya kenderaan,macam ni bilalah nak sampai..!
Ibu :Itulah awak..! Dari tadi saya ajak keluar awal..tapi awak buat saja je....
Ayah :Menyesal saya tak dengar cakap awak...maaflah.
Anak :Ayah!...Ayah ada bawa parang tak..?
Ayah :Laa...nak buat apa..?
Anak :Kita kerat je kenderaan jadi pendek....nanti cepatlah sampai......!
Ayah dan Ibu berpandangan sesama sendiri lalu ketawa..kah,kah,kah..

Hadiah untuk Atok

Sebuah keluarga sedang sibuk meraikan hari ulangtahun datuk mereka yang ke 80 tahun. Setelah berakhir kelihatan mereka berbaris untuk menyampaikan hadiah masing-masing kepada datuk mereka.
Atok :Wah, banyaknya hadiah atok kali ni..! Hafiz..,apa hadiah Hafiz kali ini?
Hafiz :Saya belikan atok baju baru..
Atok :Cantiknya..terimakasih. Lina bagi apa pula..?
Lina :Lina hadiahkan atok sepasang kasut baru..
Atok :Alhamdulillah,terimakasih..!
Romi :Atok,Romi hadiahkan atok minyak wangi dan krim muka...biar atok berseri dan muda.
Atok :Hi,hi,hi baiknya cucu atok..Ha, adik Iwan bagi apa kat atok..?
Iwan :Adik bagi berus gigi automatik....!
Atok :Haa...! menarik,tapi atok kan tak ada gigi..........

Alahai Mawi

Kelihatan dua orang sahabat sedang membaca majalah hiburan di tepi tasik..
Syuhada :Wah..,Tomok juara OIAM laa..!
Husna :Alaa...tak hairanlah! Memang patut penyanyi macam dia yang menang..
Syuhada :Ye tak ye juga kan...
Husna :Eh, tengok tu..,kucing mak cik tu comelnya...siap reben lagi...!
Syuhada :[sambil termenung]..Eh..!teringat pula saya apa khabarnya Si Mawi tu...
Husna :Laa...apa awak ni, dia kan sihat..Hari tu nampak okay je...
Syuhada :Bukan apa,saya asyik terbayang dia saja...
Husna :Tak baik awak ni..kan dia dah kahwin,sekarang ni dia tentu lebih bahagia, tengok tu
mukanya pun nampak montel..Laa, yang awak sibuk-sibuk fasal Mawi ni kenapa..?
Syuhada :Mestilah saya sibuk...sebab dah lama saya tak belikan makanan kegemarannya.
Mak saya asyik berikan dia makan nasi dengan ikan sardin je...
Husna :HAA...! Apa yang awak cakapkan ni...!
Syuhada :Saya cakap fasal Si Mawi kucing siam saya tu lah.......!
Husna :[bengang...]

Senyum sokmo:Ummi Adam