Jumaat, Mei 15, 2009

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum,
Bersempena dengan sambutan Hari Guru ini, terlebih dahulu Ummi ingin mengucapkan ribuan terimakasih yang tidak terhingga kepada semua bekas guru Ummi walau di mana mereka berada.Sungguh besar budi mereka, hingga tak terbalas oleh kata-kata mahu pun intan dan permata. Bicara kita sesungguhnya adalah perhiasan mereka. Ilmu yang di titipkan adalah harta warisan yang berharga..Kejayaan kita adalah berkat lukisan mereka jua. Dari itu marilah kita manfaatkan segala ilmu di dada agar mereka jua beroleh pahala atas bakti mulia mereka selama ini. Kita panjatkan doa dan restu pada ilahi moga mereka sentiasa di lindungi dan di berkati usia dalam menabur budi.

Dalam cermin kehidupan ini, kita tidak akan lari dari membuat sebarang kesilapan. Sesungguhnya, hidup ini tidak seindah yang kita mimpikan. Justeru itu, Ummi merakamkan ampun dan maaf andainya terdapat sebarang kepincangan dalam budibicara sepanjang menjadi anak didik kalian.. Semoga segala kekurangan akan menjadi noktah sempadan dan pengajaran dalam menterjemah satu kehidupan.

Ummi yakin, segala keikhlasan mereka akan mendapat balasan dan kebaikan. Tanpa mereka siapalah kita sekarang.. Semoga kita menjadi insan yang mulia akhlaknya dan meneruskan perjuangan mereka di medan kehidupan yang mencabar ini. Sentiasalah kita mencari ilmu kerana dengannya kita akan memperolehi kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Seperti sabda junjungan Rasulullah SAW tentang menuntut ilmu;
" Jadilah orang alim,atau pelajar,atau pendengar,atau pencinta.Jangan jadi yang kelima, iaitu pembenci. Maka kau akan binasa."

Sesungguhnya Hasan bin Ali ra pernah berkata," Siapa banyak menggauli ulama lepaslah ikatan lidahnya, terbuka tabir hati nuraninya serta menemukan tambahan dalam dirinya. Bahkan dia punya kemampuan terhadap apa yang di ketahuinya dan dapat pula memanfaatkan untuk terus belajar."

Maka, ukirlah iltizam di hati moga ilmu yang di beri di berkati, agar kita dapat menggenggam kejayaan yang hakiki. Jasa mu guru sepanjang hayat, bakti budi mu adalah nikmat, buat azimat dunia akhirat....SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU, buat semua guru, bekas guru dan bakal guru.


Teratak Ummi,
Taman Daiman Jaya.

Tiada ulasan: