Sabtu, Januari 10, 2009

Kebahagiaan yang abadi...

Setiap dari kita mendambakan kegembiraan dan kebahagiaan. Naluri insan sering menobatkan bahawa kejayaan sebenar dapat di lihat dari sinar nur yang terpancar di wajahnya. Hasilnya kita dapat merasai akan ketenangan jiwa dan segala urusan dapat di lakukan dengan mudah. Jiwa yang tenang sentiasa bersyukur atas nikmatNya, melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.


Adapun tanda kebahagiaan itu ada sebelas perkara;


-Tidak kasih akan dunia [zuhud] dan cinta kepada akhirat.


-Sentiasa beribadat dan membaca Al Quran.


-Kurang bercakap akan perkara yang tidak perlu.


-Memelihara solat lima waktu.


-Menjaga akan yang haram dan syubahat dalam semua perkara.


-Bergaul dengan orang-orang yang soleh.


-Bersikap tawadhuk dan tidak sombong.


-Dermawan dan murah hati.


-Menyayangi sesama insan.


-Menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain.


-Banyak megingati maut.


Sekilas pandang seraut kasihNya, kebahagiaan itu terletak di hati kita, yang pasti. Hati yang bersih melahirkan ruh dan jasad yang tulus lagi suci. Dari itu jagalah hati agar terjauh dari segala penyakit yang boleh merosakkan iman. Sesungguhnya hati itu adalah gudang permata kita. Pertamanya permata akal yang menjadi kekuatan untuk beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Keduanya ia adalah mata hati yang merupakan permata makrifat bagi mendapatkan kemuliaan di sisi Allah SWT. Setulus hati yang ikhlas dalam mengerjakan segala suruhanNya, ilmu dan hikmah sebagai sandarannya serta akhlak terpuji maka akan tercapailah maksud rahsia hati yang tenang dan bahagia.


Sebagaimana sabda Rasulullah SAW;


" Sesungguhnya Allah tidak hanya melihat pada rupa dan kulitmu saja, tetapi melihat sampai kepada hatimu pula. "


Justeru itu, wajiblah kita memelihara hati agar tidak terkena sebarang penyakit dan kotoran yang mana boleh menjejaskan iman dan taqwa kita kepada Allah SWT . Hindarkan diri dari berangan kosong kerana ia boleh mengurangkan amalan. Perasaan hasad dengki terhadap saudara kita akan lebih menjauhkan kita dari rahmat Allah di mana bila ia telah bersarang dalam hati, maka hati kita akan mati. Mati untuk beramal, dan mati untuk melawan hawa nafsu. Bila hati telah rosak, takabur dan ujub menjadi temannya. Hati yang penuh dengan kemaksiatan akan menumbuhkan pohon-pohon kedurjanaan yang mana ia menjadikan kita lupa akan kebesaran Allah SWT. Moga kita di jauhkan dari sifat-sifat keji ini. Ingatlah bahawa Thulul amal itu akan melupakan kita pada akhirat dan dari segala kebenaran.



Oleh itu hendaklah kita yakin akan kemanisan dan kebahagiaan yang hakiki hanya boleh kita perolehi melalui hati yang bersih.



Sebagaimana kata Abi Dzar Gifari;

" Dunia ini hanya tiga saat saja; Satu saat telah kita lawati, satu saat ialah apa yang engkau alami sekarang dan satu saat lagi yang engkau tak kan pasti akan dapat nikmatinya atau tidak. Oleh kerana itu sebenarnya yang engkau miliki hanyalah satu saat saja, dan ingatlah bahawa maut itu akan tiba dari saat ke saat "



Sesungguhnya mengingati maut dapat mengubat hati yang mati kerana terlalu leka akan dunia. Sifat jujur dan ikhlas juga mendekatkan diri kepada kebenaran dan kebesaran ilahi. Insan yang yang tidak bongkak dan sombong terhadap dirinya mahupun orang lain dalam mencari keredhaan Allah adalah berada di dalam kebahagiaan. Marilah kita sentiasa bermuhasabah diri semata-mata untuk menikmati kebahagiaan di dunia dan di akhirat.



Remaja yang di kasehi sekelian , hidup kita di dunia ini sementara cuma. Ia hanyalah buat persinggahan yang tidak kekal sehingga nafas terakhir..kita akan kembali ke negeri yang kekal abadi. Sentiasalah bersyukur atas nikmatnya. Selagi kita bernafas maka selagi itulah hati kita akan bergoyah. Kayakanlah hati dengan sifat-sifat terpuji, mementingkan urusan hati dan menjaga agama, dan Allah sajalah yang memberi taufik dan hidayahNya.Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi dan di masukkan ke dalam api neraka. Hakikatnya, apa yang kita kerjakan di dunia ini pasti akan di hitung di akhirat kelak. Perlu juga di ingat bahawa tanpa dunia kita tidak dapat melakukan ibadah dan amalan kebaikan kerana "Dunia ini ladangnya akhirat. "



Rasulullah SAW bersabda,;

" Ingatlah wahai manusia, berhati-hatilah dalam mencari dunia, sesungguhnya seseorangtidak akan dapat melainkan apa yang telah di catat untuknya dan tidak akan mati melainkan sebelum mendapatkan bahagian yang telah di tentukan untuknya "



Sesungguhnya beruntunglah orng-orang yang bahagia dan sentasa di dalam keadaan gembira..Mereka berselimutkan ketenangan, bercahayakan sinaran iman dan taqwa. Moga kita akan tergolong di dalamnya...Amin.



Tiada ulasan: