Kawan, teman atau sahabat ini merupakan individu yang menjadi teman untuk berkomunikasi dan melakukan aktiviti seharian secara bersama. Adapun sahabat baik atau sejati pula merupakan individu yang sentiasa bersama kita baik dari segi aktiviti seharian, persamaan pendapat serta berkongsi perasaan.
Sahabat baik atau sejati ini tidak semestinya di ukur atau di nilai dari sudut jantina, rupa paras, taraf kedudukan sosio ekonomi ataupun penampilan seseorang itu. Sesungguhnya, sahabat sejati itu di lihat menerusi pertuturan atau cara berkomunikasi yang baik, sahsiah diri yang berkarisma dan berakhlak mulia serta mempunyai 'human sense' yang tinggi.
Dari segi komunikasi, sahabat yang baik akan sentiasa menjaga lidahnya agar tidak mengecilkan hati kita. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW;
" Tidak akan lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya "
Sesungguhnya kita memerlukan sahabat yang dapat berkomunikasi untuk;
- Menjalin hubungan dengan rasa kasih sayang, kekeluargaan dan kemasyarakatan.
- Memberi rangsangan secara fizikal seperti sentuhan dan belaian. Rangsangan emosi menerusi kemahiran bercakap secara positif, seperti bergurau, menghibur hati atau memuji kerana fitrah insan memerlukan kasih sayang dari insan yang lain. Adapun rangsangan mental pula, kita dapat menguasai kemahiran berfikir secara sihat seperti bertukar tukar pendapat.
- Memenuhi keperluan estim diri kerana insan itu memerlukan penghargaan dan kemuliaan dari insan yang lain. Melalui sahabat baik kita akan dapat merasa bahawa diri kita di hargai dan di perlukan.
- Berkongsi apa yang dimiliki, seperti perasaan suka dan duka. Setiap nikmat yang di perolehi akan sama-sama di kongsi,samada suka ataupun duka malah apabila salah seorang darinya berada dalam keadaan kesedihan atau di dalam penderitaan maka perasaan itu akan segera hilang atau berkurang kerana ada teman yang sedia berkongsi .
Sahabat sejati sedia mendengar dan tidak akan merasa bosan atau jemu. Mereka sentiasa setia mendengar rintihan dan bicara hati kita serta mengambil berat baik dari segi kesihatan, perasaan dan persekitaran kita. Sahabat sejati sentiasa memberi sokongan dan dorongan walaupun tatkala kita gagal atau jatuh kecundang. Mereka merasa kita ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka.
Mencari sahabat sejati tidaklah semudah yang kita sangka. Terkadang teman yang kita sangka permata sebenarnya adalah kaca belaka. Ada di antara mereka yang sanggup menikam kita dari belakang. Ada juga yang mengambil kesempatan dari kelemahan diri kita atau mengambil kira peluang dari kemurahan hati kita. Ramai di kalangan mereka juga yang bersikap hipokrit. Dari itu carilah sahabat yang jujur dan ikhlas yang boleh menerima kita seadanya.
Memang benar, kata cerdik pandai bahawa sahabat sejati umpama mutiara di dasar lautan yang dalam. Justeru itu insan yang berakhlak mulia saja yang berhak di labelkan sebagai sahabat sejati. Mereka sentiasa merendah diri, tidak sombong atau ujub, boleh di percayai, bertolak ansur dalam semua aspek, tidak lokek akan ilmunya, sementelah lagi dia merupakan sumber inspirasi kita. Sahabat sejati sanggup berkorban diri dan perasaan demi melihat kita gembira dan bahagia.
Sudahkah anda menemui dan memiliki sahabat sejati? Sekiranya ia, maka apakah peranan dan sumbangan anda pada mereka... Adakah anda seorang sahabat yang pasif iaitu hanya tahu menerima dan mengharap tanpa memberi sumbangan dan kerjasama terhadap teman anda . Indahkah persahabatan seperti ini? Pada hakikatnya nilai persahabatan yang mulia dan benar hanya apabila keduanya sentiasa mengambil kira tanggungjawab masing-masing secara ikhlas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan