Selasa, Januari 20, 2009

Pencarian

Kehidupan ini adalah suatu pencarian, benarkah demikian? Kita masih lagi mencari apa itu kebahagiaan, kebenaran, kasih sayang, keharmonian, kejayaan, kekayaan dan banyak lagi intipati dalam realiti kehidupan. Kita akan mencari dan terus mencari sehingga apa yang kita perlukan dalam kehidupan ini tercapai. Sebagai seorang remaja yang tentunya mengharapkan segala pencarian akan terlaksana maka perlulah ada strategi yang baik dan sistematik agar keberkesanannya dapat di nikmati secara total.



Remaja sekelian, jika kita menyorot kembali apa hakikat kehidupan ini sebenarnya, dapatlah kita melihat betapa besarnya kekuasaan yang Maha Pencipta. Untuk apakah kita di cipta dan di hidupkan? Adakah kita hidup hanya untuk mencari kepuasan diri semata-mata? Adakah dunia ini di cipta untuk manusia berseronok dan menghabisksn usia dengan tiada matlamatnya?Atau apakah manusia itu di cipta untuk melihat kegelapan tanpa menembusi terang cahaya kebesaran ilahi...



Bukalah matamu, pandanglah menerusi matahatimu, akan betapa luasnya dunia ciptaan ilahi ini. Banyak lagi nikmat dariNya yang tak terjangkau dek akal kita untuk melihatnya. Jadilah insan yang tahu menilai harga diri sendiri . Maka dari itu, sentiasalah muhasabah diri dan carilah sesuatu yang berlandaskan keredhaan ilahi. Janganlah kalah dengan karenah hawa nafsu. Kelak ia akan menjerat diri dan merugikan diri anda sendiri.



Sekiranya anda inginkan kejayaan, maka binalah kekuatan diri dengan melakar apakah matlamat utama anda. Setiap target perlu ada jangkamasanya. Dalam setiap jangkawaktu itu mesti ada cara dan jalan penyelesaiannya. Anda perlu mengisi setiap ruang dengan sempurna agar tiada satupun yang tertinggal mahupun tertangguh. Berusahalah dengan penuh komitmen dan bertawaqal kerana segala sesuatu yang berlaku itu hanya Allah saja yang dapat menentukannya.



Remaja sekelian, ilmu itu pelita hidup. Tanpanya kita adalah manusia yang malang. Kita akan hidup dalam kegelapan dan tiada halatuju. Dari itu walau apapun pencarian kita, biarlah bertunjangkan ilmu dan berteraskan iman. Yakinlah akan kebenaran dan kebesaran Allah. Sesungguhnya Allah menyintai akan hambanya yang sentiasa bertawajjuh padaNya.



Begitu juga kiranya anda sedang mencari kebahagiaan dalam cinta. Janganlah anda buta hati dek kerana mengikut rasa semata. Cinta itu bukan untuk di lafaz tetapi ia untuk di nilai dan di rasa., kerana ia terletak di hati bukan di mata. Cinta itu memberi bukan menerima, kerana cinta sebenar adalah hakNya. Ingatlah bahawa cinta itu bukan untuk di cuba, kerana ia bukanlah suatu permainan belaka.



Remaja yang di kasehi, kekayaan yang abadi dan hakiki adalah bilamana kita telah berjaya menjadi insan yang cemerlang dalam akhlaknya, amalannya dan agamanya. Setiap detik yang berlalu pasti tidak akan berulang kembali. Pergunakanlah setiap ruang detik yang di beri dengan penuh taqwa dan bersyukur. Pastinya pencarian anda tidak akan sesia.



Pena secangkir budi seberkas hati mohon berhenti seketika, di lain bicara mungkin kita akan bersua lagi. Pencarian kita tak mungkin berhenti selagi kita bernafas ini. Dunia ini sementara cuma, entah kan esok atau lusa kita kan bertemu denganNya. Jadikan pencarian kita bagai roda-roda kehidupan menuju ke akhirnya, tempat yang abadi..



Salam manis seindah budi,

Salam mesra sepanjang kenangan...

Salam bahagia seharum kasturi,

Salam majujaya sepanjang pencarian...

Tiada ulasan: