Alhamdulillah kerana kita berada dalam sebuah negara yang aman damai dan makmur.Jika di luar sana banyak kedengaran pelbagai bentuk keganasan, kepincangan, kemusnahan, peperangan dan ketidakstabilan baik dari segi ekonomi, politik mahupun sosial. Kita harus merasa terlalu bersyukur kerana walaupun terdapat sedikit ketidaksefahaman dan keributan dalam sesetengah parti politik tapi ini semua hanya masalah dalaman yang tak mungkin menjadi nanah dalam daging. Ini adalah kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mana tak mungkin tidak kita mengutamakan amalan bermuzakarah. Muzakarah merupakan amalan yang di tuntut dalam agama Islam juga. Sementelah itu juga dengan sendirinya satu hati akan dapat dibina dengan sikap menghormati pemimpin.Ia merupakan satu landasan untuk mencapai gagasan Satu Malaysia.
Dari itu sebagai rakyat yang cintakan kedamaian, kita perlu memainkan peranan dengan lebih mengutamakan perpaduan dan persepakatan dalam semua aspek. Kita sebenarnya berada dalam satu negara yang kaya dengan pelbagai suku kaum, bahasa, agama dan budaya.Cinta negara bermakna kita sentiasa menjunjung tinggi segala amalan yang baik dan menghormatinya demi kedaulatan negara. Menerusi satu bahasa kebangsaan kita dapat menyemai semangat kekitaan, kerana bahasa itu adalah jambatan sirratulrahim. Sayangilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa jiwa bangsa..
Semaikanlah segala amalan yang baik dari kanak-kanak lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya..Di rumah para ibubapa haruslah mendidik anak-anak agar menjadi insanul kamil di masa hadapannya. Binalah akhlak yang baik dan mewujudkan suasana positif di rumah agar konsep Rumahku Syurgaku akan terlaksana. Manakala di sekolah pula semangat Ululalbab dapat menjana sahsiah anak-anak dalam konsep cintakan ilmu.Di sekolah anak-anak akan di dedahkan dengan pelbagai suasana pembelajaran dan perpaduan kaum.Oleh itu sebagai rakyat yang inginkan hidup dalam sebuah negara yang aman dan makmur maka menjadi tanggungjawab bersama menjaga keharmoniannya.
Kitalah warisan negara, yang akan membawa kemakmuran dan kemajuan dalam semua bidang.Maka tanamkan rasa cinta pada negara dan ingin memberi sumbangan yang terbaik pada negara ini. Janganlah di tanya apa yang negara beri pada kita tetapi sebaliknya tanyalah apakah sumbangan yang telah kita beri pada negara?
.
Cintailah bahasa. Satu bahasa satu matlamat. Satu hati SATU MALAYSIA.
Pencinta bahasa;
Ummi Adam