Selasa, Mac 24, 2009

Dari pena Ummi...

Assalamualaikum,

Firman Allah SWT dari surrah Al Baqarah ayat 194 yang bermaksud;

" Bertaqwalah[patuhlahlah]kamu kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan. "

Remaja sekelian, sesungguhnya jiwa yang kaya dengan iman dan taqwa akan mendapat kemuliaan dari Allah SWT. Mereka akan sentiasa di pelihara dan di lindungi oleh Allah SWT dari sebarang kemungkaran.

Berbahagialah juga pada hamba yang bertqwa ini kerana Allah SWT mengurniakan nikmat agar dapat membezakan antara yang benar dan yang batil serta antara kekeliruan dan kemushkilan. Sifat taqwa ini juga akan menjadi kifarah bagi dosa mereka sebagaimana firman Allah dalam surrah An Anfal ayat 29 yang bermaksud;

" Hai orang-orang yang beriman! Kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya Dia[Allah] akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membezakan [antara yang benar dan yang salah] dan di hapuskannya kesalahan kamu serta mengampuni kamu dan Allah mempunyai kelebihan yang besar."

Remaja sekelian, sesungguhnya apabila jiwa kita kosong, maka amat mudahlah hati kita akan terpengaruh dengan pelbagai bentuk kemaksiatan samada melalui persekitaran mahu pun pergaulan dengan rakan sebaya. Gejala sosial di kalangan remaja menular dengan begitu hebat bagaikan suatu penyakit yang sukar di bendung.Apabila diri tidak di didik dengan nilai-nilai agama maka pembentukkan sahsiah diri tidak akan terlaksana . Mereka akan menjadikan kepincangan hidup umpama jalan pintas atau sebagai suatu survival yang mudah.Rumah merupakan sebuah institusi pendidikan yang tidak formal dan ia adalah wadah untuk melahirkan insan kamil.Di sini terletaknya peranan ibubapa yang sangat penting dalam menjana peribadi dan akhlak mulia pada anak-anak.

Oleh itu sentiasalah kita berpegang teguh dengan tali Allah, perbanyakkanlah berbuat baik dan jauhkan dari membuat dosa dan aniaya. Janganlah tertipu dengan hawa nafsu yang boleh melalaikan kita. Bergaul mesralah dengan orang-orang yang baik budi pekertinya dan jauhkan diri dari golongan yang boleh menyesatkan dan merosakkan iman kita. Berkata pula Jaafar As Shadiq kepada Sufyan Atsauri bahawa Rasulullah SAW telah mengajarmya TIGA perkara iaitu:

" Siapa yang menemani orang jahat, maka ia tidak akan selamat. Siapa yang masuk ke tempat keji, bererti dia tergolong di kalangan mereka. Dan siapa yang tidak pandai menguasai lidahnya tentu dia akan menyesal."

Remaja yang di rahmati Allah sekelian, lihatlah di sekitar anda...betapa ramainya dari kalangan rakan-rakan yang telah terjebak di dalam kancah kemungkaran..Semakin ramai yang hanyut dan alpa akan halatuju yang sebenarnya. Mereka lupa diri, keluarga. negara dan agamanya. Jiwa mereka begitu rapuh dan kekontangan hingga lupa bahawa mereka adalah pewaris yang berharga. Andai di hari ini anda lemas di dalam kerakusan alam khayalan yang tak bernoktah, maka apakah akan jadi pada kesinambungan kemanusiaan di masa hadapan? Di manakah letaknya kejayaan tanpa iman dan ilmu..

Justeru itu remaja, binalah sahsiah diri berpandukan Al Quraan dan Al Sunnah, nescaya hidup anda akan sentiasa di berkati dan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Jadilah pelajar yang bermaruah dan bertanggungjawab pada diri sendiri, agama dan bangsa. Sekolah merupakan wadah pemangkin warisan ilmu secara formal. Oleh itu hormatilah guru serta segala peraturan sekolah demi kejayaan dan keberkatan akan ilmunya.Ingatlah kehebatan seseorang insan itu bukanlah di nilai dari rupa paras, harta mahupun kedudukannya tetapi kerana iman dan taqwa seseorang hamba itu di sisi Tuhannya.Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

" Sesungguhnya Allah tiada melihat kepada rupa kamu dan amalan kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan niat kamu."

Akhir kata, sebelum kita berbicara atau ingin melakukan sesuatu perbuatan maka berfikirlah dahulu, kerana " berfikir sesaat adalah lebih baik daripada ibadat setahun ". Jelasnya iman dan taqwa itu adalah perisai akhlak kita. Bak kata seorang pakar motivasi bila kita ingin bertanya, janganlah di tanya pada Nabil...nanti di jawabnya, "lu fikirlah sendiri......" Juga jangan di tanya pada Aiman.....nanti di jawabnya, " Aiman tak kisah......." Oleh itu,tepuklah dada tanyalah IMAN, bukan begitu.......? Maka renungkanlah.......

Salam ukhuwah dari Ummi.

.

Khamis, Mac 19, 2009

DI TERATAK HATI.....

Indahnya Malam..

Malam yang penuh kegelapan, penuh suram dan kelam...
Malam jua adalah rahsia alam, rahsia Tuhan...
Andai malam hilang, maka hilanglah ketenangan.
Andai malam kecundang, maka hilanglah kedinginan.
Tika malam menjelang, bintang dan bulan keriangan...
Tika malam kesedihan, seluruh alam kebimbangan...
Di manakah akan kau cari, andai malam berganti siang..?
Di manakah akan kau ganti, andai malam tak kunjung datang..?
Malam adalah teman pengabdian pada yang Maha Esa.
Malam adalah nikmat bagi pendusta.
Tunaikanlah malammu dengan penuh taqwa.
Sesungguhnya malam jua adalah hakNya.
Jadikanlah malammu seharum kasturi,
Kian mewangi mewarnai taman jauhari..
Ada malam, adalah bulan yang menyinari maya,
Ada malam, adalah bintang yang berkerlipan di angkasa..
Andai kau renungi malam purnama nanti..
Insafi dirimu duhai hati..
Sesungguhnya tiada yang kekal di sini..
Hanya Dia zat yang abadi.
Betapa indahnya malam ini...
Buat hambamu terlupa akan janji di siang hari.
Berbisiklah pada malam andai kau gundah..
Bersujudlah dikau di ujung malam andai kau merinduiNya..
Senyumlah pada malam, memohon rahmat dariNya..
Lenalah dikau dalam pelukkan malam...
Mimpilah yang indah bersama belaiannya...
Hanya malam yang menggenggam rahsia kita..
Kerana hanya Kau, Aku dan Malam yang tahu.....

Tinta Kasih; Ummi Adam
Taman Daiman Jaya

Kenangan Yang Menyeramkan Di Aspuri...

Apa yang ku ceritakan ini bukanlah untuk menakutkan kalian,tetapi ianya hanya sekadar sebuah memori yang mungkin boleh di jadikan iktibar dan menambahkan keinsafan akan kebesaran Allah SWT.Ingatlah tiada kuasa lain selain dari Allah dan hanya kepadaNyalah sebaik-baik tempat permohonan. 'Mereka ' juga adalah makhluk Allah seperti kita yang tiada upaya, jadi janganlah terlalu taksub hingga terpesongnya akidah kita..Yakinlah,akan setiap yang baik itu datang dari Allah tetapi setiap yang buruk itu adalah dari kelemahan kita sendiri.

Kejadian pertama;

Ketika itu aku berada di dalam tingkatan empat di salah sebuah sekolah menengah di bandar KT. Aku menghuni di dorm 2 Aspuri yang terletak di tingkat atas dan ia bersebelahan dengan bilik air. Setiap tahun ada saja cerita misteri yang aku dengar yang berlaku di dorm 2 ini. Sebagai penghuni baru kami mula "di ganggu" sejak malam pertama hinggalah ke semuanya mendapat "bahagian" masing-masing. Ada yang beralih tempat tidur,ada yang kena geletek,ada juga yang sampai meracau-racau. Aku juga tidak ketinggalan,apabila di malam ketiga sedang aku nyenyak tidur tiba-tiba aku terjaga. Alangkah terkejutnya aku apabila ternampak pintu dorm terbuka dengan sendirinya. Aku lantas berselubung..tetapi kakiku di cuit,rambutku pula di tarik..Ya Allah..aku rasa bagai ingin menjerit tetapi suaraku tidak keluar! Lantas aku cuba membaca ayat-ayat Al Quraan..dan Alhamdulillah ia terus berhenti. Sejak itu aku mula ketakutan dan pastinya sebelum tidur aku akan membaca Surrah Yaasin terlebih dahulu.

Kejadian kedua;

Walaupun kami sering di ganggu, namun kami tetap tabah dan cekal. Setiap malam kami akan membaca Surrah Yaasin beramai-ramai. Lama kelamaan kami merasa sudah lali dengan segala kejadian aneh ini. Bayangkan..kami melihat sendiri kelibat dan bayang-bayang orang dewasa dan kanak-kanak sedang berjalan di balkoni, setiap malam bilik air akan kedengaran riuh rendah dengan pelbagai suara seolah-olah mereka sedang berpesta air. Suatu malam Jamaliah dan Rosnah sedang bergurau. Rosnah cuba menakut -nakutkan Jamaliah kerana cermin tingkap di belakang katilnya pecah...tetapi Jamaliah sedikitpun tidak kelihatan takut malahan berkata,"biarlah..mereka itu semuanya member aku,kejap lagi kalau datang tangan berbulu aku suruh dia pergi dekat engkau..kah,kah,kah..." Sedang kami lena tidur,tiba-tiba kami terkejut kerana mendengar suara jeritan dari Jamaliah. Ada di antara kami ternampak kelibat tangan berbulu di sebalik cermin..Subhanallah..,meremang bulu tengkuk melihatnya.

Kejadian ketiga;

Selang beberapa hari kemudian , aku demam..tapi ku gagahkan juga untuk pergi ke sekolah. Pada malam itu aku rasa tak terdaya untuk turun ke dewan makan , jadi aku minta tolong Yati untuk mengambilkan makan malam buatku.Sedang aku baring..aku terdengar seperti ada orang mengetuk cermin tingkap Hanim. Bila ku bangun untuk melihatnya, aku ternampak lembaga yang berselimut putih seperti pocong! AllahuAkbar..,aku menggeletar ketakutan. Aku lantas melaungkan azan sekuat hati,selepas itu aku lari bersembunyi ke dalam almari..Mungkin suaraku telah kedengaran hingga ke dewan makan kerana tidak lama kemudian aku mendengar suara kawan-kawan memanggil namaku....

Kejadian keempat;

Tidak lama selepas kejadian itu,kami kembali takut. Kami rapatkan semua katil-katil dan tidur beramai-ramai. Kira-kira jam 11.50 malam sedang kami hampir terlena terdengar pula suara pekikkan di bilik air. Oleh kerana terlalu takut kami segera berdiam diri,tetapi pintu dorm kami di ketuk berulang kali. Jelas kedengaran suara seorang pelajar dari dorm 1 meminta tolong. Norzila ketua dormku terus membuka pintu..dan kelihatan Kasminah dengan muka yang pucat lesi menceritakan di dalam bilik air ada lembaga besar dan berbulu sedang membuka paip air..!Seramnya......

Kejadian kelima;

Pelbagai kejadian aneh dan seram telah berlaku. Di sekolah, kami sering bercerita kepada pelajar-pelajar lelaki,yang kelihatan tidak mempercayainya, malahan kami pula di ejek oleh mereka. Kebetulan malam jumaat itu ramai pelajar senior yang tidur hingga lewat malam. Oleh kerana terlalu penat kami tidur dengan nyenyaknya. Tiba-tiba kami di kejutkan oleh suara yang riuh rendah di aspura. Kami bergegas keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku. Aku agak waktu itu kira-kira tepat jam 1.30 pagi, ada di antara kawan-kawan ku terlihat seperti seolah-olah selimut putih sedang melayang-layang di antara bilik study di tingkat atas dengan kawasan hutan di belakang aspura. Kami terus masuk ke dalam dengan perasaan ketakutan yang amat sangat hingga kami tidak dapat melelapkankan mata sampai ke pagi. Di sekolah, pelajar pelajar lelaki pula bercerita bahawa malam tadi mereka telah di datangi oleh pontianak! Benarkah...?

Kejadian keenam;

Ketika itu bulan Ramadhan yang penuh dengan nikmat dan menyeronokkan.Orang kata di bulan ini semua syaitan di rantai, maka tentulah tiada lagi kejadian aneh dan seram. Kami merasa amat lega, tetapi pada masa yang sama satu blok aspuri sedang di bina bersebelahan dengan blok kami. Kelihatan ramai buruh binaan dari Indonesia sedang bekerja di situ, dan mereka selalu mengganggu kami ketika pulang dari sekolah. Setelah menghabiskan segala kerja sekolah kami merasa terlalu mengantuk sekali. Kami dapat merasakan betapa lenanya sehingga tidak sedar loceng berdering panjang untuk mengejutkan kami untuk bersahur. Walaupun pintu dorm di ketuk kuat oleh pelajar lelaki kami masih tidak sedar..sehinggalah kedengaran beberapa orang pelajar lelaki melaungkan azan barulah kami terbangun. Dengan keadaan yang tergesa-gesa kami keluar, rupa-rupanya kami semua telah di pukau...! Alhamdulillah, kami semua selamat dan sejak dari malam itu pelajar-pelajar lelaki bergilir-gilir berjaga demi keselamatan kami.

Sebenarnya ini hanyalah sebahagian daripada beberapa kisah aneh yang berlaku sewaktu aku berada di aspuri. Kebanyakan kejadian seram berlaku di dalam bilik air. Ini adalah kerana ramai pelajar mengabaikan aspek kebersihan. Tidak lama kemudian bilik air itu terpaksa di tutup kerana banyak tandas yang tidak boleh di gunakan akibat tersumbat. Alangkah peritnya kerana kami terpaksa menumpang bilik air di tingkat bawah. Kini keadaan telah berubah, kawasan asrama telah di perluaskan dengan lanskapnya yang cantik dan tiada lagi hutan di belakang asrama kerana telah menjadi kawasan taman perumahan. Tetapi alangkah terkejutnya aku apabila mengetahui bahawa cerita aneh ini masih lagi meniti dari bibir ke bibir walaupun ia telah berlalu bertahun lamanya. Pernah juga aku berbual dengan salah seorang dari penghuni aspuri mengenai kejadian ini dan tanpa di ketahui dia telah menceritakan akan peristiwa seorang pelajar yang melihat pocong dan masuk ke dalam almari... aku hanya tersenyum kerana itulah aku....

Catatan kenangan: Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

Rabu, Mac 11, 2009

APA KATA ANDA?

Air Tuba Di balas Susu

Selalunya kita dengar susu di balas tuba, tapi kali ini kita akan dengar kisah tuba di balas susu pula.Anehkan? Kisah ini terjadi di zaman para sahabat dimana Abdullah bin Aun merupakan seorang yang sangat mulia hatinya sehinggakan barangsiapa yang berbuat atau berkata yang tidak elok padanya pasti di balasnya dengan kebaikan.Beliau juga terkenal dengan sifat tidak pernah marah walau sedikitpun.Oleh kerana tidak pernah melihat tuannya marah salah seorang hambanya cuba berbuat sesuatu untuk menguji dan membuat tuannya marah.. Dia lantas mencungkil mata unta yang telah di amanahkan kepadanya.
Hamba itu terus mengadap Abdullah dan berkata,"Wahai tuan,sesungguhnya saya telah berbuat sesuatu yang boleh buat tuan marah.."
"Apa itu?" tanya Abdullah.
"Saya telah mencungkil mata unta tuan!"
"Semoga Allah memberkati kamu" jawab Abdullah.
"Eh....saya telah mencungkil mata unta tuan, tapi tuan berkata "Semoga Allah memberkatimu?"
kata hamba tadi kehairanan.
"Dengarlah kini ku merdekakan kamu semata-mata kerana Allah."kata Abdullah pula.
Ternyata usaha hamba itu untuk membuat Abdullah marah tidak berhasil sama sekali malahan perbuatannya di balas dengan menerima kebebasan pula. Sesungguhnya Abdullah tidak pernah marah langsung malah setiap kali ada orang berbuat jahat padanya,dia akan membalasnya dengan berkata"semoga Allah memberkatimu".....

SENYUMLAH.......

Pemberian Si Bakhil

Dalam sebuah desa tinggal seorang hartawan yang bernama Hj Bakhil bin Kedekut...Beliau merupakan seorang yang terlalu sayangkan hartanya dari keluarganya sendiri.Hartanya tersangatlah banyak hingga tak habis kalau di belanjakan.Di pendekkan cerita, pada suatu hari sedang beliau berdiri di depan pintu rumahnya, datang seorang pengemis yang sangat daif lagi kotor.Hairannya Hj Bakhil langsung tak ambil peduli hanya berkata," Semoga Allah membukakan pintu rezeki ke atasmu...". Lalu berlalulah si pengemis tadi dengan hiba.
Setelah pengemis pertama tadi pergi,datang pula seorang pengemis lain..Hj Bakhil lantas berkata
"Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Pemberi rezeki dan Maha Kuasa atas segalanya".dengan perasaan kecewa pengemis kedua pergi. Tak lama kemudian datang seorang pengemis ketiga pula dan berdiri di hadapan Hj Bakhil dengan perasaan sedih. Akan tetapi dek kerana kedekut tangkai jeringnya itu langsung beliau tak memberikan apa-apa kecuali berkata
"Sesungguhnya Allah akan memberikan rezeki pada sesiapa yang di kehendakiNya". Tanpa di sedari anak perempuannya memerhatikan segala gelagat ayahnya dengan perasaan kecewa.
"wah, ramai betul pengemis di desa ini!" kata Hj Bakhil kepada anaknya.Anaknya hanya menjawab" Wahai ayahku,jika pemberian ayah hanya sekadar ucapan dan doa seperti itu,memanglah tak jadi masalah pada kita pun...walau berapa ramai pengemis di desa ini!"Hj Bakhil terdiam dengan sindiran anaknya itu...

Rabu, Mac 04, 2009

Bicara Hati [Buat Anakku]

Anak manis...
Bila mataku mula bebicara
Berhempas pulas antara rasa dan minda.
Bersama fikiran yang rancu dengan kebimbangan..
Menular ke perdu harapan.
Anak manis...
Cuma tinta pena penyambung bicara kita
Biarlah sekeras mana kerikil yang kau injak,
Biar seganas mana ombak di teratak...
Jangan kau gentar melawan onak.
Anak manis...
Desir angin mendamaikan rasa
Namun di langit kamar ada mendung menyerkup menungan.
Pasrahlah dikau..
Kerana di sini ada rahmat dan keberkatan,
Kerana di sini ada embun zuhud bertaburan.
Damailah dikau.
Anak manis...
Jiwamu takkan rapuh
Andai suluhmu kalam berilmu
Tatihmu takkan lumpuh
Andai jurusmu bersiram iman di kalbu.
Lurutlah ia di permata akalmu.
Anak manis...
Bicara ibarat sinar di malam kelam
Kerana bicara adalah pelukis setia untuk peristiwa semalam
Bicara jua pengubat rindu yang terhumban
Menerjah jauh ke pelusuk alam.
Pastikan ia singgah di laman ketenangan.

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

Semulus Bisikan Hati

Di tepian rongga hidup ini,
Ada rentak risau di hujung nafas..
Ada kerusuhan yang berbungkal di hati lepas..
Ada selapis tipis bayang suram menyerkup ganas..
Ada bahasa yang berbicara di mata memungkas..
Namun ia tetap berdikir lalu,
Walau awan berarak lesu,
Walau bayu bersilir perlahan dan bisu,
Walau ombak mengganas di pantai biru.
Aku cuba mengusir resah gundah,
Aku cuba meneroka setiap rona wajah,
Aku cuba menggamit menara impian,
Aku cuba menoleh kelmarin yang suram,
Namun sebenarnya aku tak punya waktu yang terluang..
Untuk melangut langit mencari sinar senyuman.
Mungkinkah aku bisa bersama?
Meniti pelangi nan indah..
Melarik amal sebuih lautan sudah..
Menguak intan semarak rindu syahadah.
Tirai senjaku pasti mendamba,
Walau abu melayang menyalut mangkuk malam,
Walau bulan berbisik muram,
Walau bintang cahayanya kusam.
Namun kudupan atmaku pasti mengambang.
Untuk menelah lautan kasih mendalam..
Di tirai pentas lantera ini,
Kian berlabuh mimpi dan janji,
Terukir sudah dalam azali,
Merafak terang dalam syurgawi..
Jangan kau lupa duhai hati..
Tulang belulang punya harga diri.
Akan terhimpun mimpi nan ngeri,
Bersemadi tersiksa di penjara abadi,
Bisiklah dengan kalimah hikmah,
Syukurlah dengan semulus qanaah.
Agar terdampar di pantai kamilah
Syumul mengintai di perdu sakinah.

Ummi Adam
Kota Tinggi.