Rabu, Julai 29, 2009

Puisi Melayu Tradisional

Di sini ingin Ummi berkongsi ilmu dengan anak-anak tentang beberapa bentuk puisi Melayu tradisional. Salah satunya ialah pantun. Pantun selalunya di gunakan untuk menyampaikan perasaan dan fikiran samada sedih, gembira, marah atau rindu dan sebagainya. ia diucap dengan perkataan yang teratur, indah dan tersusun.

Antara ciri-cirinya;
- Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri dengan sendiri sebagai satu kesatuan idea.
- Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya.
-Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.
- Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
- Skema rima di pangkal, di tengah dan/atau di hujung baris adalah berselang, abab.
- Struktur pantun terdiri daripada dua unit iaitu pembayang/sampiran (yang menjadi kiasan) dan maksud(yang menjadi inti persoalan). Pembayang ialah gambaran alam dan maksud gambaran sikap dan sifat manusia.
- Setiap rangkap mempunyai idea yang lengkap.
-Pemilihan perkataan merujuk lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
- Pantun yang baik mempunyai idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.


Jenis pantun-berdasarkan bentuk-contoh.

1) Pantun dua kerat;

Banyak udang banyak garam
Banyak orang banyak ragam

(Sumber-Antologi Sehijau Warna Daun, hal. 3)


2)Pantun empat kerat;

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa tahu.

(Sumber-Antologi Anak Laut, hal 3)


3) Pantun enem kerat;

Ular tedung jangan di permudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.

(Sumber- Antologi Kerusi, hal 3)


4) Pantun lapan kerat;

Bagus rupanya bunga melor,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan;
Cawan, cerek sudah teratur,
Pinggan, mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.

(Sumber; Antologi Kerusi, hal 4)

Maklumat di atas adalah dari kertas kerja yang telah di bentangkan dalam Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional (KOMSAS) Daerah Kota Tinggi anjuran bersama DBP Wilayah Selatan, Panitia Bahasa Melayu Daerah Kota Tinggi dan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi pada 23 Mei 2009 bertempat di SMK Tun Habab, Kota Tinggi.

InsyaAllah, di kesempatan yang lain, Ummi akan paparkan tentang bentuk-bentuk Puisi Melayu Tradisional yang lain seperti syair, gurindam, seloka dan nazam buat pengetahuan anak-anak sekalian.

Selasa, Julai 28, 2009

Nur Kasih Dari Ummi

Siapakah itu yang mengetuk pintu,
mengusik kalbu dengan nur kasih
mengusir lembayung senja nan pilu
menghulur azimat zikir kepada yang esa
Ingin ku buka pintu kamar ini
agar lorong sepi menjadi riuh
untuk ku lihat mentari nan jauh
Siapakah itu yang berkunjung,
melambai tangan dengan senyuman
melafaz ukhuwah penuh keikhlasan
menambah rindu ku pada Tuhan
Selamat datang ke daerah ini
membantu aku bernafas lagi
menghadiahkan aku cermin diri
untuk ku muhasabah tiap hari
Terimakasih buat segalanya
kini ku hampir menyapa wajahNya
bingkiskan doa selautan sayang
walau aku sekadar bayangan..

Doakan Ummi..
Taman Daiman Jaya

Isnin, Julai 27, 2009

PETUA BUAT ANAK-ANAKKU

7 Perkara yang dapat membantu menambahkan ketenangan;
-Melihat warna hijau [pada tumbuh-tumbuhan, pohon-pohon dsb]
-Melihat air yang mengalir [air terjun dan air sungai]
-Melihat wajah ibu dan ayah atau orang yang di sayangi seperti guru
-Mencium haruman bunga mawar, melor atau kenanga
-Melihat buah-buahan yang sedang masak ranum
-Melihat ikan peliharaan
-Melihat lukisan pemandangan


5Perkara yang dapat menambahkan seri wajah;
-Menjaga solat
-Menjaga maruah diri dan agama
-Menunaikan janji
-Murah hati,dengan rajin bersedekah
-Memelihara hati dari sikap marah, dengki, takabur atau dendam

Demikianlah juga anak-anak, untuk menjamin kesejahteraan diri maka perlulah menjaga pemakanan yang sihat. Makanlah makanan yang seimbang, berkualiti, berjadual dan yang pentingnya ia adalah HALAL dari segi hukum syarak.

sumber lain; Amalan dan Petua Ulama' silam.

Ahad, Julai 26, 2009

Asfour Oh Asfour !




Asfour Crystal yang terletak di Shoubra El Khema, Kaherah Mesir ini menjadi salah satu destinasi utama para penggemar kristal di seluruh dunia. Apa yang menarik perhatian Ummi mengenai kuasa membeli kristal ini bagaikan sudah menjadi satu kemestian bagi pelajar Malaysia di sini untuk membawa pulang sebagai ole-ole, walau pun harganya mahal. Ummi ingin merakamkan ucapan Selamat Kembali ke Malaysia pada semua anak-anak pelajar di luar negara khasnya dari Universiti Al Azhar, Mesir. Semoga percutian anak-anak bermanfaat dan di berkati.

Ummi jangkakan tahun ini tentulah berlipat ganda untung tuan punya gedung kristal tu. Anak Ummi sendiri terpaksa beli tanpa ada pilihan kerana kebanyakannya telah di beli oleh pelajar yang lain terlebih dahulu. Mungkin kerana di Mesir tiada ole-ole lain yang popular, tapi walau bagaimana pun Ummi berharap agar anak-anak di jauhkan dari sifat membazir. Nampaknya barangan asfour bukan saja menjadi buah tangan pelajar wanita tetapi juga menjadi pilihan pelajar lelaki..[sampaikan ada yang mengirim pula..]

Doa Ummi semoga anak-anak yang baru pulang bercuti sentiasa berada dalm kesihatan yang baik, maklumlah dunia sekarang sedang berada di dalam kebimbangan dengan penularan virus H1N1. Jagalah kesihatan anak-anak ya..


Rabu, Julai 22, 2009

TABIR MIMPI SEMALAM [Gadis dan Peniup Seruling]

Semalam 1
mimpi ku bertandang
dalam kemarau panjang.
Di situ aku di hidupkan
berjalan mencari kepastian.
Kiri kanan hanya kontang
sepi dan gersang.
Ku toleh belakang
tulang berselerakkan

Semalam 2
Ia datang lagi..
kini aku di tepian kali
sejuk terasa damai menghuni
Di balik batu
kau peniup seruling,
menari riang laksana peri
kecundang aku mengikut tari
indahnya sampai ke pagi..


Semalam 3
Kali ini aku di lorong malu
mengutip bunga-bunga rindu

kau masih di situ dengan seruling mu
Dalam suram malam
aku ingin cari jalan pulang
walau banyak halangan..
tentu ada hikmah di dalam..
Aku terjaga dalam tangisan.

Semalam 4
Kini aku di sebuah istana
yang punya segalanya..
ada sumur keyakinan
kembang-kembang kehidupan,
berselerakkan...
titis embun harapan,
menerjah kepiluan semalam..
irama seruling berlagu lagi
kali ini menyatukan hati..
membisikkan cinta ku pada ilahi.

Selasa, Julai 21, 2009

CINTA KU BERLABUH DI KOTA SUCI

Tika senyum ku terukir
tiada lagi mimpi di kotak fikir
kerana ini belum berakhir
kini aku hanya bersandar..
di perdu pohon harapan.
Cinta ku utuh di paksi
takkan luruh walau di uji
takkan rapuh biar ku mati
takkan di sentuh andai ku pergi
takkan gersang di padang pasir.
Kasih ku berlalu di Sungai Nile
biar terusir di mata air
deras mengalir hingga ke tubir
menjadi permata musafir
Cairo..
aku singgah di dada mu
dalam kesungguhan waktu
menanti musim berlalu
menatap sebuah pentas boneka
namun inilah hadiah untuk ku
mimpi yang telah terjaga
Akhirnya aku di sini
di dua kota suci
mencari cinta abadi
dalam perjalanan yang jauh ini
pernah ku terlena indah
mengusik ruang kontras
sepi terasing
Kini, aku mengusung rindu
di depan Baitullah Mu
terimalah diri ku di dalam Ar Rahman Mu
abadikan jasad ku bersama syuhada Mu.

RACUN DAN PENAWAR

  • Dunia adalah ibarat racun pembunuh , dan zuhud itu adalah penawarnya
  • Harta adalah racun tetapi zakat adalah penawarnya
  • Berbicara kosong adalah racun yang boleh membunuh dan zikir itu adalah penawarnya
  • Umur yang sia-sia adalah pembunuh sedangkan taat akan perintah Allah adalah penawarnya
  • Seluruh tahun itu juga adalah racun dan pembunuh sedangkan Ramadhan adalah penawarnya

PESAN UMMI- Hargailah masa kita..

Anak-anakku, alangkah indahnya hidup ini andai setiap detik yang kita lalui dapat di isi dengan penuh erti. Benar, anak-anakku..ia kan berlalu begitu pantas tanpa kau sedari. Apatah lagi jika saat ini kau di dalam kegembiraan..kau akan dapati masa itu terlalu singkat buatmu. Ia bagai air yang sedang mengalir di kali dan sukar untuk kau henti. Tetapi duhai anak-anakku, kiranya kamu di dalam kesedihan mahu pun kesakitan barulah masa itu di rasakan terlalu perlahan dan menyakitkan. Hakikatnya, masa yang Allah peruntukkan untuk kita nikmati adalah sama, tiada yang berbeza..

Telah tertulis sudah, setiap yang bernyawa itu pasti akan mati jua akhirnya. Apabila telah sampai masa kita meninggalkan dunia ini, barulah kita sedar bahawa masa itu amat berharga sekali. Anak-anakku, telah menjadi ketentuan bahawa masa yang berlalu itu pasti tidak akan kembali lagi. Detik-detik yang telah hilang tidak akan mungkin dapat kita ganti walau dengan segunung intan. Dengan itu, cita-cita akan tinggal hanya sebagai kenangan saja. Maka, apakah yang masih anak-anak cari lagi ..manfaatkanlah setiap waktu yang di beri dengan sebaiknya.

Dengarlah anak-anakku, masa itu adalah harta manusia yang paling berharga sekali. Masa itu juga adalah aset kita di akhir sana. Perbanyakkan amalan yang baik untuk menjadi bekalan kita di sana nanti. Ingatlah anak-anakku sayang..bahawa sesungguhnya setiap hari yang berlalu pergi maka hilanglah separuh dari usia kita. Orang yang tidak pandai menghargai masa ketika ini tentunya akan menyesal di akhirat nanti setelah dia menyedari betapa bernilainya masa andai dia berbuat kebaikan atasnya, tetapi apakan daya.. di kala itu telah terlewat untuknya mengembalikan masa-masa itu.

Oleh itu anak-anakku, kita berkewajipan untuk menjaga masa yang amat berharga ini. Ia juga merupakan tugas bagi setiap hamba Allah demi agama dan dunia. Masa itu adalah satu anugerah yang sangat menakjubkan demi kebajikan ummah dan makhluk seisinya. Sesungguhnya andai kita mendurhakai masa itu adalah ibarat kita menzalimi diri kita sendiri. Perbuatan membazirkan masa tanpa mentadbirnya dengan betul juga adalah satu sikap yang merugikan.Apa yang Allah kurniakan ini adalah suatu nikmat yang tidak ada tolok bandingannya.Nikmat kelapangan, haruslah di isi dengan penuh rasa bersyukur. Sewaktu kita sihat dan lapang ini , marilah kita manfaatkannya di jalan kebenaran. Andai telah tiba waktu sibuk dan sakit kita akan rasa ketinggalan malah kerugian.

Ingatilah selalu duhai anak-anakku sekalian, siang pasti akan bertukar malam.. muda pasti akan menjadi tua, umur yang panjang akan pasti mati akhirnya. Masa pasti akan berubah rupa, dan amalannya..tiada yang kekal di dunia ini. Semuanya akan kembali pada ilahi. Hormatilah masa kita, hargailah ia dan manfaatkanlah ia di jalanNya agar segalanya tidak sia-sia...


Ummi Adam
Taman Daiman Jaya

Ahad, Julai 12, 2009

Di Luar Kamar Ijtimak Ini.

Saat itu barulah aku tahu..
betapa luasnya lautan lelaki,
yang selama ini meniti hari
maka lahirlah seorang da'i
dalam barisan makhmumul qalbi..
Wahai sekalian Al 'Amiruna bil-Ma'ruf
jangan dihenti walau seketika
mencanai ilmu sejuk di mata
memimpin tangan yang berdosa
Maka...
berjalanlah dengan muraqabatullah,
agar diri tidak tercela
dari godaan syaitan laknatullah.
Aku di luar ruang ijtimak ini..
dapat merasa Nur Ilahi
bergetar jantung di tabir syahadah
mendengar laungan bayan hidayah.
airmata jelas tertumpah
Subhanallah, MasyaAllah..
tersungkur aku di hijab waktu
tika cuba mengusung detik berlalu.
Ya Allah Rabbul 'Izzati
peliharalah hati ini agar tidak mati.
untukku kejar naungan mujahid
menjunjung sama risalah tauhid
dalam bahtera Al-Khaufu Min Allah
Allahuakbar. Allahuakbar.InsyaAllah.


Sekitar Ijtimak Sedunia,
KLIA, 12.07.09

Ahad, Julai 05, 2009

Di Balik Hijabmu ......ada nurhikmah

Anakku...
berlabuh sudah resah di kalbu
rindu tersua di kelopak matamu
mimpi terlerai di hujung alismu
terbayang nyata di balik hijabmu..
Mama tahu,
engkau pun tahu..
perjalanan ini ada akhirnya
mungkin esok atau lusa
bibir ini kan terhenti bicara
Anakku,
walau ombak memecah lautan
pasir pantai tak kan hilang..
biar riuh angin di gunung
takkan patah ranting di cerun
Mama tahu..
Tuhan lagi tahu..
gelodak jiwa di hujung nafasmu,
alur derita di sudut benakmu
yang kau tutup dari hijabmu.
Anakku,
andai bibirnya bersulam madu,
manis lepas cuma di perhentian
jangan kau walang
tetaplah kau di situ..
Kerana Tuhan lebih tahu untung nasibmu
Pinta mama..
kekal dirimu seperti ini
akar budi tetap di hati
Kerana Tuhan lebih mengerti..


Tetap di hati;
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

















Khamis, Julai 02, 2009

Belasungkawa buat diri ku.

Aku kira usia dalam bisu waktu.
Keranjang sepi bertebar di lorong samar..
Cering dan kontang di lubuk akal
Ah...pusing !
Kepingin aku berseloka
Sambil memintal awan yang bersenandung,
Menguak pergi gerimis luka
Alangkah indah..!
Tapi...
Aku lemas rimas,
Terkunci di tabir usang..
Menanti cahaya di luar waktu
Mengunjung kamar sepi ini
Pedihnya..!
Fatamorgana..
Hadirlah dalam diri ini.
Walau hanya sekali
Kerna detik kian hampiri
Membisik balasungkawa buat diri
Abadi di sini.
Akan ku bina kota mimpi
Meniti pelangi cintamani
Menjadi azimat penawar
Di puncak sumurung,
Kan mewangi di pusaraku
Kasturi kasihMu
Mawar putih kesukaan ku


Hadirlah kebahagiaan sebelum terlewat...
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.