Anak-anakku, alangkah indahnya hidup ini andai setiap detik yang kita lalui dapat di isi dengan penuh erti. Benar, anak-anakku..ia kan berlalu begitu pantas tanpa kau sedari. Apatah lagi jika saat ini kau di dalam kegembiraan..kau akan dapati masa itu terlalu singkat buatmu. Ia bagai air yang sedang mengalir di kali dan sukar untuk kau henti. Tetapi duhai anak-anakku, kiranya kamu di dalam kesedihan mahu pun kesakitan barulah masa itu di rasakan terlalu perlahan dan menyakitkan. Hakikatnya, masa yang Allah peruntukkan untuk kita nikmati adalah sama, tiada yang berbeza..
Telah tertulis sudah, setiap yang bernyawa itu pasti akan mati jua akhirnya. Apabila telah sampai masa kita meninggalkan dunia ini, barulah kita sedar bahawa masa itu amat berharga sekali. Anak-anakku, telah menjadi ketentuan bahawa masa yang berlalu itu pasti tidak akan kembali lagi. Detik-detik yang telah hilang tidak akan mungkin dapat kita ganti walau dengan segunung intan. Dengan itu, cita-cita akan tinggal hanya sebagai kenangan saja. Maka, apakah yang masih anak-anak cari lagi ..manfaatkanlah setiap waktu yang di beri dengan sebaiknya.
Dengarlah anak-anakku, masa itu adalah harta manusia yang paling berharga sekali. Masa itu juga adalah aset kita di akhir sana. Perbanyakkan amalan yang baik untuk menjadi bekalan kita di sana nanti. Ingatlah anak-anakku sayang..bahawa sesungguhnya setiap hari yang berlalu pergi maka hilanglah separuh dari usia kita. Orang yang tidak pandai menghargai masa ketika ini tentunya akan menyesal di akhirat nanti setelah dia menyedari betapa bernilainya masa andai dia berbuat kebaikan atasnya, tetapi apakan daya.. di kala itu telah terlewat untuknya mengembalikan masa-masa itu.
Oleh itu anak-anakku, kita berkewajipan untuk menjaga masa yang amat berharga ini. Ia juga merupakan tugas bagi setiap hamba Allah demi agama dan dunia. Masa itu adalah satu anugerah yang sangat menakjubkan demi kebajikan ummah dan makhluk seisinya. Sesungguhnya andai kita mendurhakai masa itu adalah ibarat kita menzalimi diri kita sendiri. Perbuatan membazirkan masa tanpa mentadbirnya dengan betul juga adalah satu sikap yang merugikan.Apa yang Allah kurniakan ini adalah suatu nikmat yang tidak ada tolok bandingannya.Nikmat kelapangan, haruslah di isi dengan penuh rasa bersyukur. Sewaktu kita sihat dan lapang ini , marilah kita manfaatkannya di jalan kebenaran. Andai telah tiba waktu sibuk dan sakit kita akan rasa ketinggalan malah kerugian.
Ingatilah selalu duhai anak-anakku sekalian, siang pasti akan bertukar malam.. muda pasti akan menjadi tua, umur yang panjang akan pasti mati akhirnya. Masa pasti akan berubah rupa, dan amalannya..tiada yang kekal di dunia ini. Semuanya akan kembali pada ilahi. Hormatilah masa kita, hargailah ia dan manfaatkanlah ia di jalanNya agar segalanya tidak sia-sia...
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan