Di sini ingin Ummi berkongsi ilmu dengan anak-anak tentang beberapa bentuk puisi Melayu tradisional. Salah satunya ialah pantun. Pantun selalunya di gunakan untuk menyampaikan perasaan dan fikiran samada sedih, gembira, marah atau rindu dan sebagainya. ia diucap dengan perkataan yang teratur, indah dan tersusun.
Antara ciri-cirinya;
- Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri dengan sendiri sebagai satu kesatuan idea.
- Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya.
-Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.
- Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
- Skema rima di pangkal, di tengah dan/atau di hujung baris adalah berselang, abab.
- Struktur pantun terdiri daripada dua unit iaitu pembayang/sampiran (yang menjadi kiasan) dan maksud(yang menjadi inti persoalan). Pembayang ialah gambaran alam dan maksud gambaran sikap dan sifat manusia.
- Setiap rangkap mempunyai idea yang lengkap.
-Pemilihan perkataan merujuk lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
- Pantun yang baik mempunyai idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.
Jenis pantun-berdasarkan bentuk-contoh.
1) Pantun dua kerat;
Banyak udang banyak garam
Banyak orang banyak ragam
(Sumber-Antologi Sehijau Warna Daun, hal. 3)
2)Pantun empat kerat;
Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa tahu.
(Sumber-Antologi Anak Laut, hal 3)
3) Pantun enem kerat;
Ular tedung jangan di permudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.
(Sumber- Antologi Kerusi, hal 3)
4) Pantun lapan kerat;
Bagus rupanya bunga melor,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan;
Cawan, cerek sudah teratur,
Pinggan, mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.
(Sumber; Antologi Kerusi, hal 4)
Maklumat di atas adalah dari kertas kerja yang telah di bentangkan dalam Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional (KOMSAS) Daerah Kota Tinggi anjuran bersama DBP Wilayah Selatan, Panitia Bahasa Melayu Daerah Kota Tinggi dan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi pada 23 Mei 2009 bertempat di SMK Tun Habab, Kota Tinggi.
InsyaAllah, di kesempatan yang lain, Ummi akan paparkan tentang bentuk-bentuk Puisi Melayu Tradisional yang lain seperti syair, gurindam, seloka dan nazam buat pengetahuan anak-anak sekalian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan