Isnin, Ogos 03, 2009

MENGAPAKAH PERLU ADA KEGAGALAN?

Salam kejayaan, kerana kita masih boleh bernafas dan masih boleh berfikir..Dalam mengharungi kehidupan ini tidak boleh tidak kita pasti akan merasa apa itu kegagalan, bukan?. Kegagalan dalam peperiksaan, percintaan, perniagaan, rumahtangga adalah lumrah alam. Janganlah mati akal dan mati hati dek kerana menghadapi kegagalan. Sesungguhnya, hidup tidak akan berakhir..kerana selagi kita di beri kesempatan untuk hidup maka selagi itulah perjuangan belum berakhir.

Apa yang ingin Ummi cuba sampaikan adalah sekadar pemerhatian dan mungkin dari pengalaman sendiri. Sebenarnya kegagalan itu adalah permulaan suatu lembaran baru bagi menuju sebuah destinasi yang di luar kebiasaan kita. Sebagai insan yang punya pegangan, sudah pasti di kala inilah seluruh jiwa kita serahkan pada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, hanya kepadaNya kita berserah dan memohon. Kita akan dapat merasa betapa kita hanya seorang hamba yang yang kerdil. Kita haruslah muhasabah diri tanpa menyalahkan orang lain di atas kegagalan yang kita sedang hadapi dengan rasa rendah diri dan tawajuh. Oleh yang demikian, kita akan mendapat ketenangan dan kekuatan diri dari kebiasaan. Maka kekuatan dalaman akan menzahirkan satu semangat baru yang luarbiasa.

Kegagalan juga boleh merubah cara hidup kita, dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Sudah tentu kita boleh mencari altanatif lain yang dapat membantu kita mencapai kejayaan. Setiap dari kita mempunyai kelebihan dan kehebatan tersendiri, mungkin setelah menghadapi kegagalan barulah kita sedar. Dari itu janganlah kita memperlekehkan diri kita sendiri.

Ingatlah, Allah SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sentiasalah mendekatkan diri padaNya. Pada Ummi kita adalah orang-orang yang gagal andainya seluruh kehidupan tidak bersandarkan iman dan taqwa yang mana memungkinkan kita sebagai hambaNya yang rugi di akhirat kelak.

GAGAL itu sebenarnya hebat. Tanpa tersungkur mana mungkin kita sanggup berikhtiar dan berusaha untuk berjaya. Anak kecil yang baru bertatih misalnya takkan terus berjalan tanpa merangkak dan berdiri untuk berkali-kali mencuba melangkah ke hadapan. Ramai ahli perniagaan yang berjaya masa kini, pernah menghadapi kejatuhan tetapi berkat usaha dan tabah akhirnya mereka dapat menikmati kejayaan.

GAGAL itu juga adalah ubat. Walau pun ia begitu pahit untuk di telan, terlalu siksa untuk di sandang, namun ada hikmah yang bakal menjelang. Percayalah, setiap kedukaan yang datang adalah ujian..Teruskanlah perjuangan dengan penuh kesabaran. InsyaAllah setiap kepayahan akan di bayar dengan kemanisan kejayaan..

Sentiasalah bersikap positif dan optimis dalam merancang sebuah kejayaan. Kita perlu merangka strategi baru setelah dapat menelah kelemahan yang lalu. Bermunajatlah selalu kepada Allah agar mendapat petunjuk dan rahmat dalam setiap tindakan. Bersikap terbuka dengan sedia menerima teguran dan nasihat dari orang lain, mungkin anda boleh bertukar ke bidang yang lain, suasana yang baru yang boleh menjadikan diri anda lebih bersemangat dan ceria kembali. Berilah peluang pada diri sendiri untuk menikmati kebahagiaan dengan penuh keberkatan.. Jangan sesekali menzalimi diri sendiri dengan cuba bertindak atau berfikir secara negatif, kerana itu bukan cara hidup kita sebenarnya.

Anak-anak adalah hebat.. Hidup ini adalah indah dan menakjubkan andai kita mewarnainya dengan sentiasa berpegang dengan tali Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Keluarkanlah segala kebesaran dunia dan kebesaran makhluk dari dalam hati kita, kerana ia bukanlah jaminan kita ke syurga. Tetapi masukkanlah hanya kebesaran ALLAH swt dalam hati, kerana kita pasti akan mendapat kejayaan dunia, akhirat dan seisinya.

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya,
Kota Tinggi.

Tiada ulasan: