Hidup ini satu perjuangan..Setiap rentetan dari perjalanannya memerlukan ketabahan dan kesabaran. Manakala setiap darinya mengundang satu pengorbanan. Dari alam rahim lagi kita telah bersua dengan keindahan tidak mengenal erti kepayahan. Ketika kita di lahirkan juga,pertarungan yang menggapai kesukaran dapat di atasi dengan satu impian..ya, kitalah yang akan meneroka setiap ruang kehidupan ini dengan penuh keazaman. Justeru itu, mengapa perlu kita berundur sebelum berakhirnya sebuah kehidupan?
Dalam meniti kehidupan ini, ujian dan dugaan adalah bagai lagu dan irama yang tidak dapat di pisahkan. Ia tidak mengejar, bahkan tidak perlu di kejar. Terimalah ia dengan sebuah keredhaan, kerana di situlah akan kita kecapi kemanisan iman..Setiap insan tanpa batas mengenal batas usia, berhak menikmati kegembiraan. Puncak tertinggi bagi setiap kegembiraan itu adalah apabila kita dapat merentasi segala dugaan. Berbahagialah dalam mengisi ruang legar hidup ini.
Aduhai insan yang budiman, janganlah alpa barang seketika..bahawa lukisan hidup ini hanya bagai di atas kertas cuma. Kita akan bisa luntur dan luluh di makan usia. Bagai menanti hujan teduh, sebelum awan mendung berarak pergi, bekalan diri perisai budi menjadi payung naungan. Ilmu adalah pelita hati. Tuntutlah ia bukan untuk satu jangka masa sahaja.Tanpa ilmu kita akan kesesatan dalam pencarian. Impian hanya akan tinggal anganan yang kekontangan. Langkah kita bisa sumbang dan pincang, hilang arah dan tujuan.
Maruah dan harga diri akan berkubur tanpa ilmu di dada. Oleh itu, jangan jemu mengorak langkah baru dengan sentiasa berlapang dada dan mengutip iltizam agar jati diri bertapak di hati. Sesungguhnya ilmu Allah ini amat luas dan masih banyak lagi yang tersembunyi. Maka janganlah cepat berputus asa dan menyerah kalah. Timbalah walau sebanyak mana kehebatannya..kerana insan berilmu akan mampu berfikir dan berubah dan tidak gentar pada sebarang kegoyahan.
Insan cemerlang sekalian, selagi kita masih bernafas maka selagi itulah perjuangan kita bermula tanpa ada akhirnya. Benarkan untuk diri kita menjadi yang terbaik dan sentiasalah perbaiki setiap apa yang sedang kita usahakan. Jemu atau bosan adalah sikap negatif yang tidak patut ada dalam diri kita. Sentiasalah mencari kekurangan diri dalam setiap tindakan kerana kita akan mengenali apakah erti perjuangan yang sebenarnya.
"Bukan mudah untuk senang..dan bukan senang untuk mudah", justeru itu kayuhlah permata akal di perairan kehidupan yang penuh ranjau dan kerikil ujian ini agar kita bisa berlabuh di pelabuhan kejayaan. Jangan sekali kau lemas dalam kealpaan dan keriuhan pesta kejahilan kelak dirimu bagai pelita yang tiada sumbu, umpama berkayuh menongkah arus..Ingatlah anda adalah seorang yang hebat..bak kata peribahasa "kemenyan sebesar lutut, jika tidak di bakar..tidak akan berbau".
Teruskan perjuangan anda semoga kejayaan tergenggam..
Salam sayang seindah senyuman, salam manis secangkir madu..
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan