Selasa, Jun 30, 2009

Mawar Kasih dari Ummi

Salam bicara buat remaja sekalian. Telah lama rasanya Ummi pendamkan hasrat hati ini. Semoga tidak menjadi kesalahan bila seorang ibu ingin membicarakan soal cinta buat renungan anak-anak semua. Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak remaja, Ummi sering memikirkan kerana segala kerisauan dan kesedihan telah mula bertapak di dalam hati. Sesungguhnya cinta,kasih dan sayang itu adalah ibarat manisan dalam rutin hidup kita. Semua insan adalah lahir dari perasaan cinta. Tidak boleh tidak ia pasti akan hadir dalam hidup kita.

Ummi pasti, di kala ini ramai anak-anak yang sedang mengalami masalah dalam soal ini,terutama para pelajar di IPT. Apakah yang sepatutnya anak-anak lakukan dalam mengharungi pelbagai dugaan dan rintangan..Seikhlasnya, Ummi ingin jelaskan bahawa sebagai seorang anak yang baik, remaja haruslah mengetahui batas-batas tertentu yang perlu di pelihara. Tahukah anak-anak bahawa ibu dan ayah amat menghargai andainya kami di beritahu akan situasi sebenarnya. Sebagai orang tua, kami perlu memantau perkembangan agar tiada berlaku sebarang masalah..apa lagi pada anak gadis. Tidak terlintas sedikit pun di hati untuk mencampuri urusan peribadi anak-anak, tetapi sekadar mengambil berat. Anak-anak masih di dalam tanggungjawab kami, oleh itu sejujurnya kami tak sanggup melihat kesedihan di hati anak-anak.

Hidup sebagai seorang pelajar amatlah kompleks, justeru itu kehadiran cinta sedikit sebanyak akan mencuri ruang pembelajaran. Perlukah kita mengabaikannya? Dari pengalaman sendiri, Ummi menjadikan ibu sebagai tempat rujukan. Kepercayaan pada ibu membuat diri ini merasa selesa. Walau apa pun, pelajaran itu adalah lebih penting, kita tidak boleh mengundang sebarang masalah yang dapat menjejaskan pelajaran. Janganlah leka walau seketika, perjuangan anak-anak masih belum selesai lagi. Dalam hal ini, adalah terlebih baik anak-anak mengambil sikap suka berterus terang pada keluarga atau orang yang di percayai untuk sebarang nasihat.

Kepada remaja lelaki ,Ummi ingin berpesan janganlah menjadikan soal ini ibarat permainan atau sebagai bahan ujikaji, kelak anak-anak akan menghadapi masalah yang besar. Sesungguhnya, ibu bapa tidak dapat menghalang atau mencegah anak-anak dari bercinta. Sebagai insan yang sedang meniti ke alam dewasa, anak-anak berhak mengecapinya tetapi biarlah secara sihat dan berlandaskan keimanan. Di sinilah anak-anak perlu menggunakan permata akal yang mana setiap tindakan kita mestilah mempunyai ilmu. Akal yang hebat boleh mengatur masa dan mengisinya dengan manfaat. Kedua,adalah hati. Ia merupakan kerajaan diri yang boleh mengganggu gugat perjalanan kehidupan seterusnya, Untuk itu, kita perlu mempunyai kekuatan diri dan iman yang teguh. Akhirnya, kita harus pandai mengawal nafsu,kerana ia adalah permainan syaitan. Janganlah sesekali nafsu menguasai diri kerana kita akan terjerat dan terjerumus ke dalam masalah yang boleh merugikan.Kita sedia maklum bahawa nafsu tidak bisa di buang,tetapi perlu di didik,di proses dengan tarbiah.

Anak-anak yang di kasihi ALLAH sekalian, semoga luahan rasa Ummi ini mendapat tempat di hati kalian. Semoga ALLAH sentiasa memberi taufik dan hidayahNya pada kita. Ummi juga berdoa agar ALLAH memberi kekuatan untuk Ummi hadapi segala persoalan dan kesedihan ketika ini. Sesungguhnya kepercayaan dari Ummi adalah satu penghargaan buat anak-anak...semoga tidak di persiakan hendaknya.

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

Rabu, Jun 24, 2009

Cintailah Bahasa Kita..

Salam sayang buat semua anak pelajar sekelian khasnya di SMKTH. Menurut Kamus Dewan, pengertian bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang di pakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia [antara seorang individu kepada individu yang lain]. Dalam kata lain, bahasa merupakan alat perantaraan yang penting dalam komunikasi antara manusia.

Justeru itu, kita memerlukan bahasa untuk ;
-Menyatukan antara satu kelompok dengan kelompok yang lain agar ia menjadi satu lambang perpaduan antara kaum.
-Kita memerlukan satu bahasa bagi pemudah bicara dalam sistem pentadbiran, bermula dari satu organisasi kecil seperti di rumah hinggalah ke sebuah negara besar.
-Bahasa juga di gunakan dalam persuratan seperti bidang penulisan dan karya sastera.
-Bahasa adalah alat komunikasi yang mudah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan secara terus.
-Dalam semua sektor ekonomi, bahasa di gunakan sebagai alat rasmi menyampaikan maklumat dan data-data.
Begitulah antara peranan bahasa kepada kita.

Setiap kelompok di dunia ini mempunyai sistem bahasanya sendiri dan bahasa ibunda menjadi tonggak budaya dalam sesebuah negara. Tanpa bahasa kita tidak akan menjadi sebuah negara yang bertamadun. Maka kita perlulah mengguna pakai dan menyintai bahasa kita sendiri demi menjaga maruah bangsa.

Sejajar dengan itu, anak-anak yang di kasihi sekelian haruslah sentiasa menyemai semangat cintakan bahasa kita dengan pelbagai cara. Bertuturlah dengan menggunakan bahasa yang betul tanpa mencampur- adukkannya dengan bahasa lain. Dalam pertuturan seharian elakkan dari mengimport perkataan yang tidak sihat atau bahasa pasar. Perbanyakkan membaca, seperti novel, antologi cerpen atau puisi dan bahan bacaan lain yang lebih bermanfaat. Sertailah aktiviti yang di anjurkan di sekolah anak-anak [bulan bahasa]. Menyintai bahasa bermakna kita harus menghormati kedaulatannya. Pupuklah dari sekarang, kerana jika kita tidak memeliharanya, nescaya ia akan pupus di telan zaman.

Demikianlah anak-anak, Ummi bukanlah arif dan bukan pejuang bahasa atau pakar bahasa. Ummi sekadar seorang pencinta bahasa ibunda. Sewaktu Ummi menuntut di Kuala Lumpur dulu, seringkali berkesempatan bersembang dengan Allahyarham Pak Sako di sebuah warung[Jalan Raja Alang]. Kata Allahyarham," orang yang menyintai bangsanya adalah orang yang menyintai bahasanya. "Kata-kata itu sentiasa tersemat di hati Ummi hingga kini.

Bak kata Laksamana Hang Tuah,"tidak melayu hilang di dunia".Bersama kita memartabatkan bahasa agar ia sentiasa "tak lekang dek panas dan tak lapok dek hujan".

Pencinta Bahasa;
Ummi Adam.

Selasa, Jun 23, 2009

Kisah Pondok Sepi Di kaki Gunung.

Nun..,di kaki gunung itu,
Ada gubuk usang,
Dari rotan bersilang.
Kelihatan di tangga buluh,
Seorang tua merenung masa,
Terselit di jari,rokok daunnya.
Tiada lagi api bernyala.
Tiada jua teman bicara.
Untuk berkongsi cerita..
Dia hanya seorang tua,
Yang tidak lagi punya cita..
Nasib di tinggal anak seorang,
Mengumpul harta segantang,
Demikian derita si ayah tua.
Walau daya menjadi penghalang,
Hidup perlu di teruskan,
Walau sesuap nasi cuma,
Dan seteguk air di huma.
Seorang tua di pinggir senja..
Menarik nafas lega.
Walau hanya sedawa,
Setongkol ubi kayu rebus..
Hanya terucap syukur ...Ya Allah,
Pada Mu hamba berserah..
Sambil mengesat airmata di tubir,
Dengan bergetar di bibir,
Mengusai di malam dingin,
Mengintai esok mungkinkah berakhir..

Ummi Adam,
Taman Daiman.

Di Langit Kota [Nota Duka Di Kota Tinggi]

1979..
Di ruang yang terang ini,
Aku menyusuri dada mu,
Menyeberangi alur Sungai Johor..
Beratapkan langit biru ungu,
Sunyi sepi,
Damai menyendiri.
Camar bernyanyi..
Sayup muluk si burung kedidi
Unggas bersilir,
Bertitir di lowongan berdesir.
Kembang berserakkan di tepian..
Senyum berbaris bersaksikan awan.
Pepohon hijau mencuci alam,
Nyaman sampai ke malam.

2009...
Aku tetap di sini,
Sambil mencari,
Rindu meratapi..
Tiada lagi langit terang,
Hanya awan makin suram.
Camar menyorok muram..
Unggas kelaparan,
Kembang layu di taman.
Sungai mu penuh londar nan dalam,
Di atap mu penuh berterbangan..
Kini Sang Walet bermaharajalela..
Membuat pusaka dunia.
Kini Kota tercela
Manusia terdera,
Noda yang bila terbela....


Penghuni Kota;
Ummi Adam

Panggilan dari alam kubur.....

Dari Anas bin Malik ra berkata; Bahawa bumi setiap hari memanggil manusia dengan sepuluh kalimat;
  • Wahai anak Adam,sesungguhnya engkau berjalan di atas ku,ketahuilah oleh mu bahawa kau akan kembali kepada ku.
  • Wahai anak Adam,engkau gembira dan ketawa di atas ku tetapi kau akan menangis di perut ku akhirnya.
  • Wahai anak Adam,engkau berjalan dengan riak dan sombong di atas ku.maka kau akan terhina di perut ku.
  • Wahai anak Adam,engkau mengumpulkan harta haram di atas ku maka kau akan hancur dalam perut ku jua.
  • Wahai anak Adam,engkau melakukan maksiat di atas ku maka kau akan di seksa di perut ku jua akhirnya.
  • Wahai anak Adam,engkau bersuka suka di atas ku tetapi kau akan bersedih dalam perut ku.
  • Wahai anak Adam,engkau berjalan beriringan dengan kawan di atas ku tapi kau akan sendirian di perut ku nanti.
  • Wahai anak Adam, engkau bersenang-senang di atas ku tetapi kau akan bersusah payah di dalam perut ku.
  • Wahai anak Adam, engkau hidup di bawah sinar cahaya di atas ku tetapi kau akan bergelap di perut ku akhirnya.

Sabtu, Jun 20, 2009

KASIH AYAH..

Semalam ,kita telah menyambut Hari Bapa.Ummi tak dapat bayangkan apakah perasaan mereka yang tak punya bapa dan yang telah kehilangan bapa..Mungkin mereka selalu merindukan akan kehadiran insan yang bergelar ayah, atau mungkin bagi mereka yang telah kehilangan ayah, sering terkenang saat-saat manis bersama ayah..Apakah ertinya seorang ayah pada kita?. Pernahkah kita melihat ke dalam hatinya dan menyelami akan keluh kesahnya selama ini..Ummi yakin,apa yang kita tahu ayah telah banyak berkorban apa saja untuk membesarkan kita. Sudah menjadi tanggungjawab ayah mencari rezeki demi melihat anak-anaknya gembira dan mendapat segala keperluan hidup.Tapi bagaimana cara untuk kita menzahirkan betapa kita amat berterima kasih pada ayah. Cukupkah hanya sekali dalam setahun kita merayakannya...

Anak-anak sekelian, sebagai seorang ibu, tiada yang lebih berharga di dunia ini melainkan mendapat anak-anak yang boleh menyenangkan hati ibu dan ayah. Bila hati ibu terguris kita mudah mengetahuinya, kerana telah fitrah manusia" airmata dan ibu" tidak dapat di pisahkan. Tetapi bila hati ayah terguris, kita sukar untuk melihatnya,mengapakah demikian?Sebenarnya.. ayah sering menyembunyikan airmatanya bila merasa sedih.Seorang ayah tidak mahu melihat isteri dan anak-anaknya bersedih lebih dari dirinya. Beliau lebih rela menanggung derita di dalam hati demi melihat kita gembira. Itulah yang Ummi nampak dalam diri ayah Ummi sendiri.

Kasihnya ibu membawa ke syurga dan kasih ayah berkorban jiwa...Walau siapa pun ayah kita,dia tetap satu dan tidak pula dua..Andai kita tidak sanggup melihat kesedihannya,janganlah sesekali menyakiti hatinya. Tanpanya,siapalah kita di dunia ini.Janganlah hanya di Hari Bapa baru kita melafazkan kasih sayang kita padanya. Ingatlah, suatu ketika nanti anak-anak pasti akan menjadi seorang ayah..maka barulah anak-anak sedar betapa pengorbanan seorang ayah itu tiada tolok bandingannya. Oleh itu, hargailah kasih ayah sebelum terlambat..

Anak abah;
Ummi Adam.
22hb jun 2009

Selasa, Jun 16, 2009

Pantun Dua Kerat [Sekadar renungan]

Rosak belanga kerana berkarat,
Rosak hati kerana maksiat.

Petir berdentum hujan tak jadi,
Kikir menguntum rosaklah diri.

Bibir mengulum senyuman tersirat,
Mengundang kata dari tersurat.

Indah rupa dari kata
Indah ilmu dari harta.

Hidup ini hanya pinjaman,
Oleh itu tingkatkan iman.

Perut kosong terus memulas
Kocek kosong kerana malas.

Jangan suka pandang belakang,
Takut nanti jatuh longkang.

Senda gurau penghibur duka
Usah risau,cuma berseloka.

Pantun spontan dari;
Ummi Adam.

SYAIR - Harapan Bonda

Dengarlah ini bonda berperi,
Buat anakanda permata hati,
Sematkan ia di sanubari,
Menjadi panduan mukmin sejati.

Sembilan bulan dalam kandungan,
Sakit dan lelah bonda menahan
Demi anakanda anugerah junjungan,
Kasih bonda jadi taruhan.

Lahirnya anakanda penyuluh hari,
Penyeri hidup penambat rezeki.
Kuntuman jiwa seharum kasturi,
Memandang wajahmu damai di hati

Aduhai anakanda penawar sukma,
Besarlah anakanda sebagai hambaNya,
Jadi teladan menjunjung agama,
Taat yang Esa jauhi laranganNya.

Lenalah anakanda dalam buaian,
Tersimpul rahmat dalam impian,
Timbunan harta bukan tujuan,
Ilmu dan taqwa jadi pakaian.

Musim berlalu cepat di rasa,
Kini anakanda telah remaja,
Kasihnya bonda rindu di jiwa,
Kerana anakanda jauh di mata.

Dalam mengejar ilmu di dada,
Ikhlas berbudi sesama saudara,
Cekal di hati dugaan melanda,
Hanya iman mengusung bahagia.

Pandailah anakanda membawa diri,
Di bumi orang anakanda berdiri,
Segala pesan moga di ingati,
Jadilah anakanda seorang wara'i.

Pulanglah anakanda membawa cahaya,
Penyuluh malam yang gelap gelita,
Mendaulat kasihNya insan mulia,
Memimpin ummah yang kini luka.

Buat semua anak-anak Ummi yang sudi merasa keluhan dan harapan Ummi ini, sesungguhnya perjuangan anak-anak telah bermula. Kembalikan kegemilangan bangsa yang telah jauh halanya..Hidup kita sesingkat cuma, kelak di hisab di akhir nyata.Jangan sesekali mengundang kerugian dalam setiap detik yang berlalu. Corakkanlah hidup ini dengan tuntutan agama. Mungkin harapan Ummi ini adalah harapan semua ibu yang merindui kedamaian dan kebahagiaan dari anak-anak sekelian..Salam kasih sayang dari Ummi.

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya
Kota Tinggi.

Isnin, Jun 15, 2009

Timang tinggi-tinggi


Timang tinggi-tinggi
sampai cucur atap
belum tumbuh gigi
pandai baca kitab.

Timang tinggi-tinggi
sampai kau tertawa
jangan sombong diri
lupa ibu dan ayah.

Itulah antara beberapa senikata lagu nyanyian Allahyarhamah biduanita Datin Rafeah Buang yang masih terngiang-ngiang dalam kotak fikiran Ummi. Dulu anak-anak sentiasa berada di dalam dakapan ibu,di belai mesra dan mendapat sentuhan rohani secara terus dari ibu tanpa batas masa. Mungkin kerana itukah anak-anak di zaman dulu begitu akrab dengan ibu dan ayah?Dulu ibulah yang menyuap nasi ke mulut kita,tapi kini segala tanggungjawab ibu telah di beri kepada pembantu rumah. Terkadang Ummi cuba berfikir, mengapa sahsiah diri anak-anak di zaman ini agak kurang hebat jika di bandingkan dengan anak-anak di zaman dulu..Adakah kerana kini ibubapa lebih mementingkan kerjaya masing-masing hingga melupakan tanggungjawab pada anak-anak.Jika dulu anak-anak 'makan nasihat' dan sentiasa merujuk pada ibubapa, tetapi kini telah terbalik..ibubapa pula yang kena dengar cakap anak....alangkah kecewanya hati ibubapa yang mendapat anak seperti ini..

Acapkali ibu membuaikan anak pasti bibirnya tak lekang dari berselawat, bertasbih dan walau pun berdendang hanya menyanyikan lagu berbentuk nasihat. Mungkin kerana itu juga anak-anak membesar dengan ungkapan yang baik dan sentiasa patuh pada pesanan ibubapa. Kini tatkala Ummi bersama dengan anak-anak zaman ini, dapat di rasakan terlalu berbeza suasananya. Dulu bila kami bersembang di bawah pokok,topik panas kami hanya berkisar tentang resepi bagi perempuan dan bagi lelaki mereka hanya bercerita tentang bola. Tapi kini, nampak macam berkumpul, tetapi bila di amati tangan masing-masing asyik sibuk dengan talipon bimbit. Hai,entah apalah yang dah jadi..Komunikasi sesama rakan kini nampaknya makin berkurang. Kalau pun berbual,yang terkeluar di bibir semuanya perkataan yang di import..sampaikan Ummi terasa muak melihat gelagat anak muda waktu ini. Apalah besarnya perkataan 'lu, gua,skema,poyo' dan banyak lagi perkataan yang terlalu mencemarkan bahasa dan budaya kita.Ummi hairan, ada pula tercipta perkataan' cepat gila,suka gila' dan semuanya yang elok-elok di belakangnya ada' gila'. Apa yang terkeluar dari mulut kita itu adalah doa,jadi berhati-hatilah bila bertutur. Apalah salahnya kita menggunakan perkataan yang baik..bilakah masanya untuk kita mendaulatkan bahasa jika sepanjang hari bertutur dengan bahasa yang tak sihat..Anak-anak sendiri sudah tahu bahawa "Bahasa itu jiwa bangsa", bukan?

Anak-anak yang Ummi kasihi sekalian, jadilah anak yang menghargai pengorbanan ibubapa,walau siapa pun mereka pada pandangan anak-anak janganlah lukakan hati mereka itu. Buat anak Ummi yang berada di Alexandria,jaga diri baik-baik..doa Ummi semoga Allah memberkati ilmu dan di permudahkan segala urusan.Jadilah insan yang berilmu dan berakhlak mulia.Ingatlah anak-anak,kehebatan itu tidak terletak pada rupa mahu pun harta tetapi ia berada di dalam hati kita..kerana ia akan menjadi cermin lukisan hidup kita sampai bila-bila.

Rahsia Mengerat Kuku

Cuba periksa kuku anda sekarang..bagaimana? Perlu di kerat..? Nanti dulu,baca dulu panduan ini. Rasulullah SAW bersabda bahawa ; " Barangsiapa mengerat kukunya pada hari sabtu, nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit dan Barangsiapa mengerat kukunya pada hari ahad, nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kepadanya kemiskinan dan Barangsiapa mengerat kukunya pada hari isnin, nescaya keluar darinya gila dan di masukkan kepada sihat dan Barangsiapa mengerat kukunya pada hari selasa, keluar daripadanya sihat dan di masukkan kepadanya penyakit dan Barangsiapa mengerat kukunya pada hari rabu,nescaya keluar darinya was-was dan masuk kepapaan, dan Barangsiapa mengerat kukunya pada hari khamis, nescaya di keluarkan darinya gila dan di masukkan kepadanya sembuh dari penyakit, dan Barangsiapa mengerat kukunya pada hari jumaat, nescaya keluar darinya segala dosa-dosa seperti pada hari dia di lahirkan oleh ibunya, dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah SWT". Sekarang, anda telah ketahui akan hari-hari yang terbaik untuk anda mengerat kuku..oleh itu ingatlah sentiasa..semoga anda di berkati Allah hendaknya.

Ahad, Jun 14, 2009

Kelebihan Membaca Selawat

  1. Orang yang membaca selawat akan mendapat balasan selawat dari Allah dan para malaikatNya.
  2. Menghapus dosa, mengangkat darjat dam menyucikan hati.
  3. Bagi mendapatkan pengampunan dosa.
  4. Orang yang berselawat semata kerana cintakan Rasulullah akan di cukupkan keperluannya di dunia dan di akhirat.
  5. Mendapat ganjaran pahala.
  6. Mendapat syafaat dari Rasulullah SAW
  7. Mendapat keredhaan AllahSWT
  8. Di akhirat kelak timbangan kebaikan menjadi berat dan di beri minum air dari telaga kautsar.
  9. Dapat melihat syurga sebelum mati dan melintas siraatul mustaqim sepantas kilat.
  10. Mendapat ramai isteri di syurga.
  11. Mendapat pahala 20 kali ganda dari perang sabil
  12. Tanda ahli sunnah
  13. Banyak berselawat,dapat melihat Rasulullah semasa tidur
  14. Dicintai oleh orang mukmin
  15. Mendapat manfaat hingga anak cucu. [Sumber kitab Al qirthas]

Hak Seorang Muslim Pada Muslim yang Lain

Dari Saidina Ali bin Abi Talib ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; " Bahawa di antara kamu terdapat seorang yang meninggalkan hak-hak saudaranya, maka di hari kiamat kelak akan di minta untuk di pertanggungjawabkan" Antara hak-hak tersebut ialah;
  • Memaafkan kesalahan
  • Menutup rahsia seseorang
  • Bersikap menerima atas penyesalan saudaranya
  • Suka memberi nasihat pada jalan yang di redhai Allah
  • Memelihara janji
  • Melawat saudara yang sedang sakit
  • Menghantar jenazah
  • Membantu saudara di masa keperluannya
  • Menjawab pertanyaan
  • Menjawab salam
  • Menghargai pemberian saudaranya
  • Tidak merendah atau menghina saudaranya
  • Suka padab setiap kebaikan yang di lakukan oleh saudaranya

Perkara Yang Boleh Menyebabkan Kesusahan

Menurut kitab Al Barakah Fii Fadl Lis Sa'yiwal Harokah yang di susun oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdulrahman Al Habsyi telah di terangkan beberapa perkara yang berhubung kait dengan kesusahan seseorang,antaranya ialah;
  • Tidak solat
  • Tidak membaca bismillah sebelum makan
  • Makan di atas pinggan yang terbalik
  • Memakai kasut dari kaki kiri
  • Berwudhuk di tempat buang air besar atau kecil
  • Suka bersandar pada pintu rumah
  • Suka duduk di atas tangga
  • Membiasakan diri membasuh tangan dalam pinggan, selepas makan
  • Tidak membersihkan rumah
  • Membuang sampah atau menyapu dengan menggunakan kain
  • Suka membersihkan rumah waktu malam
  • Tidur meniarap
  • Menjahit baju yang sedang di pakai
  • Mengesat muka dengan baju
  • Tidur tanpa memakai baju
  • Makan sebelum mandi hadas besar
  • Keluar masjid selepas solat subuh dengan cepat
  • Pergi pasar sebelum matahari terbit
  • Selalu tidak menutup makanan yang terhidang
  • Suka buang air kecil pada air yang mengalir
  • Memakai seluar sambil berdiri
  • Memakai serban sambil duduk
  • Makan dengan menggunakan dua jari
  • Suka menggigit kuku dengan mulut
  • Mendedahkan aurat di bawah sinar matahari dan bulan
Sumber rujukan;Senjata dan Pendinding Mukmin

Sabtu, Jun 13, 2009

UNTUK MU AYAH

Kelmarin telah berlalu,
begitu jauh merentas usia..
membaris seribu kenangan
dalam dakapan ayah..
Saat itu aku di belai manja,
Di kendong mesra,
di tangan ayah tercinta.
Seluruh kudrat ayah pelihara
demi melukis junjungan jiwa
kelak tercipta satu peristiwa
sebagai anak yang berguna..
Ayah....
kini kau jauh di mata
sedang aku membilang ketika..
Dan......
semalam yang kau tinggalkan,
penuh menguji masa kepayahan
Ayah.....
jika langit bisa berbicara,
jika mentari bisa bercerita,
jika bintang bisa berseloka
tentu mereka berdendang ria
memuja mu sebagai sastria
yang tiada galang gantinya..
Ayah......
selaut kasih, segunung budi
kan bertaut di muara abadi
tiada siapa dapat mendahului,
akan kesucian hati
seorang insan berhati murabbi.

Ummi Adam
*Sekalung terima kasih buat seluruh insan yang bergelar ayah. Kasih sayang dan pengorbanan ayah selama ini tak ternilai harganya. Jasa ayah sepanjang masa..tak terbalas walau di mamah usia.Hanya doa pengganti diri moga ayah di berkati sentiasa.*

Isnin, Jun 08, 2009

TAUBAT

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang"
Allah SWT telah berfirman dalam surah Al Israk Ayat 25 yang bermaksud;
" Sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat "
Zun Nun al Masri ra berkata, "Allah memiliki hamba-hamba yang menanam pohon-pohon kesalahan dan menyiramnya dengan taubat hingga berbuah duka dan penyesalan. Mereka tinggalkan kemewahan dan sukakan kesederhanaan sambil mengharap tali keselamatan. Roh mereka damai di taman kemuliaan hingga tinggal di taman kenikmatan. Menahan keluh kesah dan keinginan hingga turun dengan kefanaan ilmu dan meminum rawa hikmah,naik perahu fathanah,terbawa angin keselamatan hingga ke taman kedamaian,kemuliaan dan karamah.

Di rawikan dari Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda'
"Ketika hamba bertaubat Allah menerimanya dan melupakan Malaikat Hafazah akan keburukan yang di tulisnya,melupakan anggota badannya yang melakukan kesalahan serta melupakan bumi dan langit sebagai tempatnya agar dia datang di hari kiamat tanpa ada makhluk yang mempersaksikannya "

Allah Maha Besar, setiap dosa yang di lakukan akan di kifarahkan bila kita bertaubat,dan ia akan di ganti dengan kebaikan. Betapa besarnya kasih sayang Allah pada kita..Namun kita masih lagi bergelumang dengan dosa ,hati kita masih kotor,lidah kita kering untuk mensyukuri nikmatNya,cinta kita masih lagi pada yang batil..kita lupa pada hakikat diri kerana tertipu dengan nafsu dan kebesaran duniawi semata.

Di sini, Ummi memetik beberapa pengakuan dari seorang bekas jaguh sukan tanahair untuk tatapan kita.Artikel ini dari ruangan Retro,Utusan Malaysia bertarikh 8 jun 2009.Beliau yang di maksudkan ialah saudara Malek Noor [52 tahun]. Antara kata-katanya;
" Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram. Ya Allah,betapa besarnya dosa saya. Saya takut,saya taubat dan saya menyesal. Andai waktu boleh berputar,saya ingin kembali kepada zaman kanak-kanak,menjalankan kewajipan sebagai seorang muslim yang sejati..."Beliau meluahkan lagi;
'Saya lupa tanggungjawab sebagai seorang muslim. Saya tak sembahyang,saya tak berpuasa.Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun mengumpul harta dan kekayaan membuatkan saya lalai. Sehinggalah pada suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya berdepan dengan KLCC. Tiba-tiba saya terdengar azan sayup dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak tentu arah.Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali dan saya tak tau apa yang saya cari. Selepas berpusing-pusing macam orang gila,satu jam saya tak bertenaga. Saya terus menangis..Tiba-tiba saya teringat sesuatu lalu mengambil wudhuk kemudian menunaikan solat Maghrib.' Ketika itu beliau berusia 46 tahun..

Selingkar kisah ini mencerminkan betapa hidayah Allah itu tak pernah putus. Ummi mengajak pada hati sendiri juga anak-anak yang di kasihi agar menginsafi akan segala kesalahan yang telah kita lakukan. Selagi kita masih bernafas selagi itulah pintu taubat masih terbuka. Takutlah kita akan balasan di akhirat kelak.Kembalilah pada kebenaran,jauhi segala kemungkaran. RasulullahSAW telah bersabda;
" Ketika gementar jasad seseorang kerana takut kepada Allah,berjatuhanlah kesalahannya bagai daun-daun jatuh dari pohon yang kering. "

Selasa, Jun 02, 2009

Cerita Ombak Di Pantai Sepi


Ada ombak derita
terus membelah sukma
ada ketika kau ganas
ada ketika kau mesra
ada waktu kau malu
melewati pesisiran itu
mungkin lelah di dasar mu
mengapa kau membisu?
Aku menyapa resah
kerana bila kau marah
ada gelodak yang bercanda
tanpa belas bicara
kau muntahkan segalanya
ada jurang yang bertabur
ada dendam yang kotor
semuanya bisa musnah
sekelip mata
rindu ku pada irama mu
mengusai lubuk hati ku
yang pernah kau lewati dulu
untuk sebaris waktu ini,
hadirlah dikir ombak mu
di pantai sepi ini lagi
yang setia menanti
walau seribu tahun lagi..

Di pondok sepi;
Ummi Adam

Isnin, Jun 01, 2009

Katakan Pada Rerama Biru Itu..


Katakan pada rerama biru itu..
dunia ini luas.
untuk kau terbang bebas
hingga kau puas..
Kau bijak memandang
ke dasar hati mu.
Dunia ini indah..
dalam mimpi mu
Katakan pada rerama biru itu..
usah gentar di goyah bayu
jangan jatuh di panah waktu.
Pergilah kau ke mana jua
mencari pelangi senja.
Lihatlah musim-musim seketika
untuk kau kutip bunga-bunga masa.
Katakan pada rerama biru itu..
jangan kau puja permata dunia
kerana bukan itu kehendakNya
musafirlah engkau dengan kudratNya
dalam kembara mu
lindungi sayap mu itu
jangan luntur dek hujan pilu
Betapa tinggi kau di sana
kau kan turun jua
di pohon rendang tempat di cipta
Katakan pada rerama biru itu..
bilanglah segala keindahan
walau dalam kesamaran
bisikkan keyakinan
walau dalam kepayahan
hadirlah kepercayaan
walau dalam kegelapan.
Katakan pada rerama biru itu..
Aku hanya pantas memandang
kau tinggi di awan
mengejar impian
sejahteralah dalam perjalanan
penuh ketaqwaan
hingga noktah penghabisan..

Tepian senja hiba;
Taman Daiman Jaya

Bersyukurlah..


Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al BaqarahAyat 152 yang bermaksud;
" Maka ingatlah kamu kepadaKu. Nescaya Aku ingat kepada mu.Dan berterimakasihlah kepadaKu dan janganlah kamu menyangkal nikmatKu "

Maka,aduhai hati..
tenanglah engkau dalam kembara
terimalah apa kurnianya,
redhalah engkau bingkisannya.
Qanaah mu adalah harta..
yang bermuara di pintu taqwa
kan berlabuh dalam raudhahNya.

Aduhai lidah yang punya rasa..
janganlah engkau berhenti seketika
berzikir pada Yang Maha Pencipta
masa getir mu
masa aman mu
bicaralah denganNya.
diam itu manisan iman
pujian itu selendang Ar Rahman
di balik kemuliaan..

Duhai mata gerbang dosa..
jangan di kabur tipuan dunia
ia hanya membawa duka
kau bahagia dalam khayalan
jika memandang pada kelazatan
lena mu adalah hina
dalam kemunafikan cuma
jaga mu adalah sia-sia
mimpi nan terluka.

Allah berfirman lagi dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang bermaksud;
" Demi, jika kamu berterimakasih, nescaya Ku tambah nikmat yang ada pada mu,tetapi jika kamu kufur [tiada berterimakasih] sesungguhnya seksa Ku amatlah keras "

Duhai diri yang penuh muslihat..
rantailah diri dari melarat
jauh dari berkat..
miskinnya dari iman
terpesong dari landasan
mahabbah mu pada Tuhan

Wahai pemburu dunia...
kita ini musafir hanya
harta itu bayangan cuma
kan habis di telan masa
tiba waktu kembali jua
pada yang empunya..

Kembalilah jiwa dan kudrat
dalam bisikan rindu makrifat
dunia ini junjungannya maksiat
waspadalah sebelum terlambat..
sedarilah dalam kembara mu
tangisilah dalam malam mu
kematian ada di depan mu....

Taman Daiman Jaya