Rabu, Jun 24, 2009

Cintailah Bahasa Kita..

Salam sayang buat semua anak pelajar sekelian khasnya di SMKTH. Menurut Kamus Dewan, pengertian bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang di pakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia [antara seorang individu kepada individu yang lain]. Dalam kata lain, bahasa merupakan alat perantaraan yang penting dalam komunikasi antara manusia.

Justeru itu, kita memerlukan bahasa untuk ;
-Menyatukan antara satu kelompok dengan kelompok yang lain agar ia menjadi satu lambang perpaduan antara kaum.
-Kita memerlukan satu bahasa bagi pemudah bicara dalam sistem pentadbiran, bermula dari satu organisasi kecil seperti di rumah hinggalah ke sebuah negara besar.
-Bahasa juga di gunakan dalam persuratan seperti bidang penulisan dan karya sastera.
-Bahasa adalah alat komunikasi yang mudah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan secara terus.
-Dalam semua sektor ekonomi, bahasa di gunakan sebagai alat rasmi menyampaikan maklumat dan data-data.
Begitulah antara peranan bahasa kepada kita.

Setiap kelompok di dunia ini mempunyai sistem bahasanya sendiri dan bahasa ibunda menjadi tonggak budaya dalam sesebuah negara. Tanpa bahasa kita tidak akan menjadi sebuah negara yang bertamadun. Maka kita perlulah mengguna pakai dan menyintai bahasa kita sendiri demi menjaga maruah bangsa.

Sejajar dengan itu, anak-anak yang di kasihi sekelian haruslah sentiasa menyemai semangat cintakan bahasa kita dengan pelbagai cara. Bertuturlah dengan menggunakan bahasa yang betul tanpa mencampur- adukkannya dengan bahasa lain. Dalam pertuturan seharian elakkan dari mengimport perkataan yang tidak sihat atau bahasa pasar. Perbanyakkan membaca, seperti novel, antologi cerpen atau puisi dan bahan bacaan lain yang lebih bermanfaat. Sertailah aktiviti yang di anjurkan di sekolah anak-anak [bulan bahasa]. Menyintai bahasa bermakna kita harus menghormati kedaulatannya. Pupuklah dari sekarang, kerana jika kita tidak memeliharanya, nescaya ia akan pupus di telan zaman.

Demikianlah anak-anak, Ummi bukanlah arif dan bukan pejuang bahasa atau pakar bahasa. Ummi sekadar seorang pencinta bahasa ibunda. Sewaktu Ummi menuntut di Kuala Lumpur dulu, seringkali berkesempatan bersembang dengan Allahyarham Pak Sako di sebuah warung[Jalan Raja Alang]. Kata Allahyarham," orang yang menyintai bangsanya adalah orang yang menyintai bahasanya. "Kata-kata itu sentiasa tersemat di hati Ummi hingga kini.

Bak kata Laksamana Hang Tuah,"tidak melayu hilang di dunia".Bersama kita memartabatkan bahasa agar ia sentiasa "tak lekang dek panas dan tak lapok dek hujan".

Pencinta Bahasa;
Ummi Adam.

Tiada ulasan: