Salam bicara buat remaja sekalian. Telah lama rasanya Ummi pendamkan hasrat hati ini. Semoga tidak menjadi kesalahan bila seorang ibu ingin membicarakan soal cinta buat renungan anak-anak semua. Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak remaja, Ummi sering memikirkan kerana segala kerisauan dan kesedihan telah mula bertapak di dalam hati. Sesungguhnya cinta,kasih dan sayang itu adalah ibarat manisan dalam rutin hidup kita. Semua insan adalah lahir dari perasaan cinta. Tidak boleh tidak ia pasti akan hadir dalam hidup kita.
Ummi pasti, di kala ini ramai anak-anak yang sedang mengalami masalah dalam soal ini,terutama para pelajar di IPT. Apakah yang sepatutnya anak-anak lakukan dalam mengharungi pelbagai dugaan dan rintangan..Seikhlasnya, Ummi ingin jelaskan bahawa sebagai seorang anak yang baik, remaja haruslah mengetahui batas-batas tertentu yang perlu di pelihara. Tahukah anak-anak bahawa ibu dan ayah amat menghargai andainya kami di beritahu akan situasi sebenarnya. Sebagai orang tua, kami perlu memantau perkembangan agar tiada berlaku sebarang masalah..apa lagi pada anak gadis. Tidak terlintas sedikit pun di hati untuk mencampuri urusan peribadi anak-anak, tetapi sekadar mengambil berat. Anak-anak masih di dalam tanggungjawab kami, oleh itu sejujurnya kami tak sanggup melihat kesedihan di hati anak-anak.
Hidup sebagai seorang pelajar amatlah kompleks, justeru itu kehadiran cinta sedikit sebanyak akan mencuri ruang pembelajaran. Perlukah kita mengabaikannya? Dari pengalaman sendiri, Ummi menjadikan ibu sebagai tempat rujukan. Kepercayaan pada ibu membuat diri ini merasa selesa. Walau apa pun, pelajaran itu adalah lebih penting, kita tidak boleh mengundang sebarang masalah yang dapat menjejaskan pelajaran. Janganlah leka walau seketika, perjuangan anak-anak masih belum selesai lagi. Dalam hal ini, adalah terlebih baik anak-anak mengambil sikap suka berterus terang pada keluarga atau orang yang di percayai untuk sebarang nasihat.
Kepada remaja lelaki ,Ummi ingin berpesan janganlah menjadikan soal ini ibarat permainan atau sebagai bahan ujikaji, kelak anak-anak akan menghadapi masalah yang besar. Sesungguhnya, ibu bapa tidak dapat menghalang atau mencegah anak-anak dari bercinta. Sebagai insan yang sedang meniti ke alam dewasa, anak-anak berhak mengecapinya tetapi biarlah secara sihat dan berlandaskan keimanan. Di sinilah anak-anak perlu menggunakan permata akal yang mana setiap tindakan kita mestilah mempunyai ilmu. Akal yang hebat boleh mengatur masa dan mengisinya dengan manfaat. Kedua,adalah hati. Ia merupakan kerajaan diri yang boleh mengganggu gugat perjalanan kehidupan seterusnya, Untuk itu, kita perlu mempunyai kekuatan diri dan iman yang teguh. Akhirnya, kita harus pandai mengawal nafsu,kerana ia adalah permainan syaitan. Janganlah sesekali nafsu menguasai diri kerana kita akan terjerat dan terjerumus ke dalam masalah yang boleh merugikan.Kita sedia maklum bahawa nafsu tidak bisa di buang,tetapi perlu di didik,di proses dengan tarbiah.
Anak-anak yang di kasihi ALLAH sekalian, semoga luahan rasa Ummi ini mendapat tempat di hati kalian. Semoga ALLAH sentiasa memberi taufik dan hidayahNya pada kita. Ummi juga berdoa agar ALLAH memberi kekuatan untuk Ummi hadapi segala persoalan dan kesedihan ketika ini. Sesungguhnya kepercayaan dari Ummi adalah satu penghargaan buat anak-anak...semoga tidak di persiakan hendaknya.
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan