Isnin, Jun 15, 2009

Timang tinggi-tinggi


Timang tinggi-tinggi
sampai cucur atap
belum tumbuh gigi
pandai baca kitab.

Timang tinggi-tinggi
sampai kau tertawa
jangan sombong diri
lupa ibu dan ayah.

Itulah antara beberapa senikata lagu nyanyian Allahyarhamah biduanita Datin Rafeah Buang yang masih terngiang-ngiang dalam kotak fikiran Ummi. Dulu anak-anak sentiasa berada di dalam dakapan ibu,di belai mesra dan mendapat sentuhan rohani secara terus dari ibu tanpa batas masa. Mungkin kerana itukah anak-anak di zaman dulu begitu akrab dengan ibu dan ayah?Dulu ibulah yang menyuap nasi ke mulut kita,tapi kini segala tanggungjawab ibu telah di beri kepada pembantu rumah. Terkadang Ummi cuba berfikir, mengapa sahsiah diri anak-anak di zaman ini agak kurang hebat jika di bandingkan dengan anak-anak di zaman dulu..Adakah kerana kini ibubapa lebih mementingkan kerjaya masing-masing hingga melupakan tanggungjawab pada anak-anak.Jika dulu anak-anak 'makan nasihat' dan sentiasa merujuk pada ibubapa, tetapi kini telah terbalik..ibubapa pula yang kena dengar cakap anak....alangkah kecewanya hati ibubapa yang mendapat anak seperti ini..

Acapkali ibu membuaikan anak pasti bibirnya tak lekang dari berselawat, bertasbih dan walau pun berdendang hanya menyanyikan lagu berbentuk nasihat. Mungkin kerana itu juga anak-anak membesar dengan ungkapan yang baik dan sentiasa patuh pada pesanan ibubapa. Kini tatkala Ummi bersama dengan anak-anak zaman ini, dapat di rasakan terlalu berbeza suasananya. Dulu bila kami bersembang di bawah pokok,topik panas kami hanya berkisar tentang resepi bagi perempuan dan bagi lelaki mereka hanya bercerita tentang bola. Tapi kini, nampak macam berkumpul, tetapi bila di amati tangan masing-masing asyik sibuk dengan talipon bimbit. Hai,entah apalah yang dah jadi..Komunikasi sesama rakan kini nampaknya makin berkurang. Kalau pun berbual,yang terkeluar di bibir semuanya perkataan yang di import..sampaikan Ummi terasa muak melihat gelagat anak muda waktu ini. Apalah besarnya perkataan 'lu, gua,skema,poyo' dan banyak lagi perkataan yang terlalu mencemarkan bahasa dan budaya kita.Ummi hairan, ada pula tercipta perkataan' cepat gila,suka gila' dan semuanya yang elok-elok di belakangnya ada' gila'. Apa yang terkeluar dari mulut kita itu adalah doa,jadi berhati-hatilah bila bertutur. Apalah salahnya kita menggunakan perkataan yang baik..bilakah masanya untuk kita mendaulatkan bahasa jika sepanjang hari bertutur dengan bahasa yang tak sihat..Anak-anak sendiri sudah tahu bahawa "Bahasa itu jiwa bangsa", bukan?

Anak-anak yang Ummi kasihi sekalian, jadilah anak yang menghargai pengorbanan ibubapa,walau siapa pun mereka pada pandangan anak-anak janganlah lukakan hati mereka itu. Buat anak Ummi yang berada di Alexandria,jaga diri baik-baik..doa Ummi semoga Allah memberkati ilmu dan di permudahkan segala urusan.Jadilah insan yang berilmu dan berakhlak mulia.Ingatlah anak-anak,kehebatan itu tidak terletak pada rupa mahu pun harta tetapi ia berada di dalam hati kita..kerana ia akan menjadi cermin lukisan hidup kita sampai bila-bila.

Tiada ulasan: