Isnin, Mei 17, 2010

GURINDAM ANAK TERBUANG

Aduhai bonda tidakkah kasihan,
Membuang anakanda tanpa kesalahan.


Bondalah cahaya bulan nan suram,
Dalam kandungan anakanda di simpan.


Aduhai ayahanda gemala hati,
Mengapa nasib anakanda begini.


Ayah dan bonda berleka diri,
Anakanda kini terbuang nan ngeri.


Aduhai nasib diri yang malang,
Tiada berkehendak hadir di halang.


Tidakkah gentar kepada Tuhan,
Neraka jahanam akan di humban.


Aduhai pedihnya seluruh badan,
Semut jadikan anakanda habuan.


Angkara perbuatan kasih terlarang,
Tiadalah tempat menyambung kehidupan.


Aduhai insan tolong hentikan,
Tidak tertanggung segala kesakitan.


Jangan biarkan anak di buang,
Sesungguhnya kami anugerah Tuhan..


UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Khamis, April 29, 2010

PETANDA JODOH KITA..mungkinkah si dia?

Bagaimana hendak ketahui benarkah si dia itu jodoh kita?

 
Andai dia bersikap bersahaja dan tidak di buat-buat menunjukkan ia bukanlah satu lakonan semata.Perhatikanlah cara dia berpakaian,percakapan,ketawa serta cara dia makan dan minum.Jika segala perlakuan dia tidak sepontan,berbeza gayanya dan agak terkawal memang sah sidia berlakon.

Kehadirannya amat membahagiakan anda,di mana anda dan sidia tidak pernah merasa jemu atau bosan.Apabila berjauhan mudah merasa rindu.

Sidia menerima kita seadanya.Dia tidak pernah ambil kisah siapa anda,apa yang penting dia tetap ingin bersama anda sentiasa.Dia juga ingin berkongsi masalah atau apa saja kekurangan anda.Sentiasa memberi semangat dan sokongan dalam semua keadaan.

Sidia merupakan seorang yang jujur,kerana kejujuran bukanlah perkara yang boleh di lakonkan..terutama apabila berjauhan.Kejujurannya akan terserlah seandainya sidia sentiasa memberi khabar dan memberitahu segala kegiatannya tanpa di minta.Ini menunjukkan sidia sangat setia dan bersungguh-sungguh dalam perhubungan .

Sikap percaya dan mempercayai antara satu sama lain.Kedua-dua merasa selamat jika meluahkan rahsia atau masalah antara satu sama lain.

Suka bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu.Ini adalah penting kerana ia mempengaruhi kehidupan yang akan datang.

Anda dan sidia memahami segala sikap buruk baik keduanya.Kedua-duanya tidak pernah merasa ada garis perbezaan atau sebarang masalah yang boleh merenggangkan hubungan.

Sidia sedia berkongsi segalanya dengan anda,malahan sanggup bercerita tentang kelemahan dan keburukannya kerana sebagai pasangan anda perlu menerimanya dengan seadanya.

Apa pun jodoh,ajal maut itu adalah ketentuan Tuhan,sebagai hambaNya kita kena berusaha

Segala petikan di atas adalah intisari dari segmen variasi khamis harian metro,29.4.2010.

Rabu, April 28, 2010

Kehangatan Cinta ibu

Ibu,
tujuh gunung, tujuh lautan..
tidak setinggi cinta yang kau bentangkan..
tidak seluas kasih yang kau hulurkan..
Ibu,
lelangit biru menjadi indah
dengan senyum  manis mu,
mawar,melati mekar sudah.
bila harum mu bak di taman firdausi.
Ibu,
damailah hati di fajar bakti,
cinta mu nan abadi,
tidak lekang walau kemarau panjang menyelubungi...

Permata hati sekalian,ibu adalah insan yang paling terdekat dengan kita.Dari dalam kandungan,hinggalah kita lahir ke dunia,dialah yang sentiasa berada di sisi menemani kita tak kira masa.Dialah juga guru pertama yang telah mengajar kita erti kehidupan yang sebenarnya.Sungguh besar pengorbanannya demi melihat kita menjadi insanul kamil.

Justeru itu,permata hati sekalian,hormatilah dan hargailah kehadirannya selagi hayat di kandung badan.Tanpa ibu,siapalah kita..Tanpa ibu di manalah kita..Jangan sesekali kita menderhaka kerana walau segunung emas yang kita punya ia takkan sama dengan kasih sayangnya dan tak terbalas oleh kita akan segala jasanya.Tidak terlayar bahtera hidup kita andai selaut kasihnya kita tuba.Tidak sejahtera walau di mana kita berada andai hatinya kita siksa..

Aduhai permata hati ku,sayangilah ibu,setitik airmatanya gugur ke bumi dek terluka oleh kita maka jauhlah kita dari haruman syurga firdausi..Tempatkan dia di hati walau dia telah tiada lagi.


Ummi Adam'
Taman Daiman Jaya.

Ahad, April 11, 2010

Tasbih yang terluka (buat semua permata hatiku)

Anak-anakku,
bisikkanlah pada ibu..
suara kasih yang tertinggal
mengapa begitu tegar bibir manismu itu,
mendodoi ibu dengan kalimat seteru..
aduhai manjaku,
tak pernah ibu telan ungkap pedihmu
tak pernah ibu bayang wajah bungkam mu
melainkan permata di dasar hati
yang tak bisa lepas hingga mati
mimpikah ibu ini,
menadah tangan yang penuh api..
mengunyah hempedu yang pahit sekali
aduhai anak-anakku sayang,
meski jauh lagi ibu rentasi
doa ibu tetap di hati
harap ibu tak pernah khianati
walau tenggelam ke dasar laut nan dalam
menyapa awan rindu di langit biru
agar ia dingin kembali
menjadi kolam sepi..
anak-anakku
kembalikan ruh ketenangan
kerana air mata ini tiada kesudahan
bagai memukul fitrah alam
kemusnahan..
keruntuhan...
kematian...
inikah mimpi ngeri itu?
inikah janji yang tertulis itu?
dengarlah anak-anakku,
jangan kau senyum di balik kedukaan
jangan kau tepis tarbiyah yang datang
bingkiskanlah pada waktu ibu..
keredhaan jadi penentu
jangan kau ulangi sengketa di hatimu
kerana itu bukan mahuku
bentangkan sejadah taubatmu
dikirkan tasbih kasih
jangan kau biar airmata sedih
menjadi racun pada satu keikhlasan..
inilah satu pengajaran....!

Catatan luka seorang ibu
Ummi Adam

Selasa, April 06, 2010

Alhamdulillah

Petang tadi dalam perjalanan pulang,saya singgah di Econsave Taman Daiman Jaya untuk membeli beberapa barang keperluan dapur.Selepas itu saya ke gerai roti canai..teragak di hati untuk membelinya buat makan malam nanti.Kelihatan di sebelah saya seorang peniaga lelaki bertubuh sasa sedang berbual dengan tuan punya gerai.Dari raut wajah jelas kelihatan beliau berketurunan cina.Tiba-tiba kedengaran di telinga saya,lelaki tersebut mengucap 'alhamdulillah'.Saya menoleh kearahnya sambil cuba menelah apa butir bicara mereka.Sambil tersenyum  beliau berkata kepada saya(,mungkin beliau sedar saya begitu kagum mendengar akan kefasihan bicaranya itu).."1 MALAYSIA kak...,Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,kita patut mengetahui sedikit sebanyak tentang budaya dan agama masing-masing".Saya terdiam sejenak memikirkan kata-katanya itu.Subhanallah..alangkah indahnya andai seluruh rakyat Malaysia dapat berfikiran seperti insan tadi."Saya seorang peniaga,adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berniaga secara ikhlas,jujur dan bertolak-ansur.Kita juga tidak boleh memaksa orang untuk membeli barang kita...kerana ia sebenarnya akan merugikan kita dan pembeli,hati kena bersih,dan jangan takut rugi..kerana rezeki ada di mana-mana..betul tak kak?". Saya mengangguk-angguk tanda setuju.MasyaAllah,saya benar-benar 'terpukul' dengan kata-kata beliau tadi.Allahuakbar..seorang yang bukan muslim dapat menghayati amalan yang sebenarnya di tuntut dalam agama Islam .Alhamdulillah,memang benar agama kita sangat indah dan benar segalanya......Di dalam hati saya berdoa,'Ya Allah kau kurniakanlah hidayahMu pada orang ini  untuk menjadi saudara seislamku...amin..'

Ummi Adam

Sejambak bunga di atas meja.

Sejambak bunga di atas meja itu,
penuh pancawarna
di hias cantik persis perawan desa
di kalung permata indah rupa.
Sejambak bunga di atas meja,
terpanar hati kerana khabarnya
di susun kembang di raga rotan
berselang seli bak di taman
Sejambak bunga di atas meja,
di rimbun daun hijau laksana
ibarat rimba dara sembunyi
tak jemu mata mencuri
Sejambak bunga di atas meja
takkan layu semusim usia
ia tetap jadi hiasan
walau tak punya haruman
Sejambak bunga di atas meja itu
tidak perlu kita membaja
mengabur mata untuk berleka
tak mungkin dapat kita nikmatinya
kerana sejambak bunga tiada rasa..

Ummi Adam

Selasa, Mac 23, 2010

PABM-Aduhai bangsaku, cintailah bahasamu

Alhamdulillah,'kembangnya bunga di halaman kenangan,kembangnya hati di laman penulisan'.Sesungguhnya saya menumpang bangga dan sangat teruja dengan kejayaan negara kita menganjurkan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu(PABM) Piala Perdana Menteri 2010 yang bertempat di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Wajah-wajah manis 56 peserta daripada 51 buah negara dapat menggambarkan kekuatan dan keindahan Bahasa Melayu boleh di jadikan sebagai bahasa perantaraan seantero dunia.Memang benar kata-kata Laksamana Hang Tuah bahawa 'tidak melayu hilang di dunia'.Terfikir pula di benak saya,sedangkan insan yang di lahirkan bukan dari kelompok Melayu boleh berusaha mempelajari dan memartabatkan Bahasa Melayu dengan baik ,apatah lagi kita...

Jelaslah,bahawa Bahasa Melayu dapat menyatukan bangsa,tidak kira agama dan warna kulit.Mereka berkampung demi Bahasa Melayu tercinta.Semoga nasib Bahasa Melayu lebih harum dan terpelihara di masa hadapan.Janganlah malu untuk bertutur Bahasa Melayu walau di mana saja.Pupuklah semangat cintakan Bahasa Melayu bersama anak-anak di rumah.,kerana telah menjadi kelaziman kepada kebanyakan keluarga masakini  mengguna pakai Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi di rumah.Justeru itu,di manakah letaknya kedudukan Bahasa Melayu di hati anak-anak sedangkan mereka telah di asuh dari kecil lagi dengan bukan bahasa ibundanya..

Harapan saya semoga kita bersama-sama bertanggungjawab berusaha memartabatkan Bahasa Melayu.Kembalikanlah kegemilangannya dengan bermula di peringkat tadika sehinggalah di IPT. Perbanyakkanlah kepelbagaian program menerusi Kempen Cintailah Bahasa Melayu kita di peringkat institusi pendidikan,di daerah-daerah,negeri dan masyarakat setempat..Segalanya bermula dari hati,andai kita benar-benar cintakan Bahasa Melayu kita maka kita akan berusaha mempertahankannya dari sebarang kepincangan.'Tepuklah dada tanya selera'..jangan sampai 'kera di hutan di susukan,anak di rumah mati kelaparan'.

Semoga Bahasa Melayu akan tetap ampuh dan unggul di mata kita selamanya..Salam 1Malaysia.

Ummi Adam.

Rabu, Mac 17, 2010

Segar Minda

DI RUANGAN INI, TANPA BATAS JARAK,MASA DAN USIA KITA BERTEMU DAMAI SAMBIL MEMINTAL AWAN UKHUWAH.KITA MENJAMAH BUDI DARI TINTA.

SESUNGGUHNYA,BAHTERA MASA KAN BERLALU PERGI TANPA SEMPAT BERSAPA MESRA.MAKA,,KUTIPLAH KEMBANG WAKTU ITU UNTUK KAU KUCUP HARUMNYA NUR ILAHI.SEUNTAI RASA YANG PANTAS MENGUAK UNTUNG JAYA.

DEMI MASA, MAKA HARGAILAH APA YANG KAU ADA.JANGAN SESEKALI KAU BUTA RUPA KERANA SEGALANYA PUNYA AKHIRNYA. MESKI KAU BERLARI UNTUK MENITIPNYA. INGATLAH! KHALIQMU TAK PERNAH LUPA AKAN JANJI MANIS HAMBANYA....

Ummi Adam

Sabtu, Mac 06, 2010

Jentayu Sepi

Tidak terhitung rindu ini,
Tidak tergambar lukisan hati
Gentayangan di awan pilu
Melintasi di gurun kandismu.
Akulah jentayu itu..
Airmata gugur satu persatu
lalu menjadi hujan sepi.
Tangisku bersarang di perdu
Menjadi gelombang sendu.
Akulah jentayu itu,
Yang malang menanti
Ke manakah mahligai peri
Kerna di depan mata penuh duri
Hingga terasa benakku terhenti
Menggapai karam di lautan budi.
Kau yang SATU dan takkan mungkir
Genggamlah sayapku ke satu destinasi.
Jentayu ini yang tak ingin bermimpi
Walau aku rebah ke bumi.

Kalamhati 
Kota Tinggi

Sabtu, Februari 20, 2010

Tercipta Sudah Satu Pesanggerahan

Ini bukanlah langkah akhir kita..
Ini jua bukanlah kamar beradu kita..
Hanya pesanggerahan cuma.
Di sini kita bertemu cinta
Di sini kita melayar ceritera
Di sini jua gelanggang kita.
Kerana di sini punya seribu satu rupa..
gaya dan rasa.
Ini semua dariNya
Nafas percuma bebas bersuara
Di beri akal agar kotak fikir berdikir
Di beri kalbu suluh budi bertakbir
Di beri kudrat agar hikmah beribadat
Di pesanggerahan ini
Punya bayang-bayang dosa kita
Kan terpanar di akhir sana
Pahala dosa di timbang tara
Penentu miskin ataupun kaya
Jagalah hati agar tidak mati
Jagalah budi penghias diri
Pesanggerahan ini hanyalah titi
Di kamar usia kita nanti
Jangan mendung di langit masa
Jangan putih mata jika di sana
Jangan mimpi di anjung luka
Berbahagialah mahkota diri
Bersama kalam suci.

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya

Bahasa Oh Bahasa....

Assalamualaikum, semoga anda berada di dalam keberkatan ilahi hendaknya.Saya masih mencari jawapan mengapakah kita terlalu mengagungkan bahasa asing daripada bahasa kita sendiri. Terfikirkah anda bahawa kehidupan kita sentiasa berubah dan tidak statik semata-mata.Dari dalam kandungan ibu,kita di lahirkan..kemudian di besarkan sehingga kini.Tetapi, bahasa ibunda tetap ampuh dengan segala keindahan dan kesenian yang mungkin tidak berubah walau untuk seribu tahun lamanya.

Pengalaman terindah saya menghadiri Seminar Pengarang Dan Kepengarangan Johor yang di anjurkan oleh DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor pada 31.1.2010 bertempat di Kota Tinggi yang lalu,banyak menyuntik semangat cintakan bahasa kita. Saya begitu teruja sekali, kerana di sinilah kemanisan untuk saya menzahirkan keindahan bahasa melalui penulisan.Sesungguhnya bahasa kita amat indah dan kaya.Di sinilah juga kita mengenal erti akal dan budi.

Bahasa ibarat pakaian, andai menutup aurat,bersih,selesa dan cantik maka begitulah dengan bahasa kita. Apalah guna baju melayu, kebaya dan kurung andai di pakai hanya di hari raya dan majlis tertentu sahaja. Bahasa kita tiada cacat celanya,malah ia juga merupakan alat penyebar ilmu,penjana perpaduan dan ia berada di dalam setiap kehidupan.

Sayangnya,kita masih ketandusan cinta pada bahasa kita sendiri. Di sekolah-sekolah, ramai pelajar tidak begitu berminat dan mengambil kira soal berbahasa,apatah lagi di bidang sastera.Sastera telah di anggap sebagai tidak penting dan ketinggalan.Sementelah kini tiada lagi mata pelajaran sastera di sekolah-sekolah menengah maka bertambahlah lagi kemurungan dalam dunia sastera.Justeru itu, pihak sekolah sepatutnya mengadakan transformasi minda di kalangan pelajar agar menghargai nilai bahasa kita berbanding dengan bahasa lain.Untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia wajarlah di buka ruang mencintai dunia sastera dalam  mata pelajaran sains.Kita boleh mengadakan kembali pertandingan puisi sains,menulis cerpen dalam bentuk fiksyen sains atau persembahan teater sains.Sebenarnya, semuanya masih dapat kita bendung agar bahasa kita sentiasa terpelihara dan membara di hati.Bak kata pujangga,'tepuklah dada tanya selera'

Sebagai pencinta bahasa,saya sangat memandang berat akan hal ini terutama masalah kepincangan bahasa di kalangan para pengguna.Sebagai penulis blog,kita juga memainkan peranan yang penting untuk menyalurkan maklumat secara terus tanpa sekatan.Oleh itu, gunalah bahasa dengan betul dan baik kerana keburukkan dan kehancuran berbahasa terletak di hujung jari kita.Ingatlah,' bahasa adalah jiwa bangsa',maka ia tidak boleh di ukur atau di kira.Tingginya budi bahasa melambangkan keperibadian kita.Sebagai bangsa yang telah di didik dengan penuh adab sopan dalam pertuturan,perlakuan mahu pun penulisan maka berbanggalah kita untuk bersama mendaulatkan bahasa demi keutuhan dan kelangsungan bangsa.

Semoga kita sentiasa dapat ingat mengingati antara kita kerana tanpa bahasa lidah kelu untuk berkata-kata.Tanpa bahasa kita akan sepi sendiri,tidak memiliki visa untuk berkomunikasi Jagalah adab bila berbahasa,bagai menjaga hati dan diri.Jangan sesekali mempersendakannya',kerana nila setitik maka rosaklah susu sebelanga'.

Salam Ukhuwah dari;
Ummi Adam
Taman Daiman Jaya..

                                          

Sabtu, Februari 06, 2010

Salam ukhuwah buat semua,kiranya telah terlalu lama saya kehilangan masa untuk bersama.. Alhamdulillah,di izinkan jua akhirnya. Sesungguhnya,sepanjang penantian ini banyak mengajar saya erti ketabahan. Setiap dari kita akan menjadi lebih bersyukur dan banyak mengharap kepada Yang Maha Esa apabila kekurangan.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan musim tetap berlalu pergi biar pun kita masih berdiri di tempat yang sama. Hidup kita tidak akan berubah andai kita masih di ulit mimpi yang indah. Langkah kita tidak mungkin akan pergi jauh kiranya kita masih bertatih setapak dua.Maka, renungkanlah bahawa jalan kita masih belum menemui destinasinya. 

Jadilah insan yang menghargai diri sendiri,orang lain dan masa yang tidak mungkin menanti kita.Hadapilah segala perjuangan hidup ini dengan satu iltizam dan ketabahan kerana jika kita tidak mulakannya, maka kita tidak akan menikmati kesudahannya.

Semoga hidup kita mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

Isnin, Disember 14, 2009

ADAB BELAJAR

  1. Di mulai dengan Al Fatihah, selawat dan doa-doa penerang hati.
  2. Sentiasa beristighfar, memohon keampunan kepada Allah kerana istighfar itu adalah cahaya kepada kegelapan.
  3. Berada di dalam keadaan berwudhuk.
  4. Perbetulkan niat, belajar itu kerana Allah SWT semata-mata.
  5. Memberi fokus sepenuhnya terhadap pelajaran.Waktu mengulangkaji yang terbaik biasanya 1/3 akhir malam, antara maghrib dengan isya' dan waktu pagi.
  6. Sentiasa mencintai ilmu dan bersikap merendah diri.
  7. Selalu merujuk kepada guru.
  8. Buat study group
  9. Sedia menunjuk ajar bila di minta

Wadah Untuk Wanita

SESUNGGUHNYA MENJADI WANITA ITU ADALAH SANGAT INDAH, NAMUN UNTUK MENJADI SEORANG WANITA BUKANNYA MUDAH.....

WANITA ADALAH ANUGERAH,TEMPATNYA ADALAH DI SISI UNTUK DI SAYANGI DAN DI HARGAI, BUKAN UNTUK DI BENCI DAN DI SAKITI.

BERBANGGALAH KERANA ANDA ADALAH WANITA KERANA ANDA ADALAH NADI DAN WADAH SEKALIAN UMMAH.

Jumaat, Disember 04, 2009

Ku Sahut panggilanMu

Tika menatapmu dari jauh..
Tubir mata mula pedih
Setenang bayu pagi..
Sedingin embun dinihari
Sedih, sayu bergetar di bibir.
Masjidil Haram......
Aku melangkah rindu di naunganNya
Benarkah aku yang sedang berdiri di sini?
Tidak bermimpi lagi..
PanggilanMu menjemputku ke sini
Dengan syahdu kasihMu
Ku sujud di hadapan BaitullahMu
Sarat ku bawa segala dosaku
Memohon seribu RahimMu
Akulah hamba yang fakir
Yang mendamba jalan yang lurus
Jalan yang satu yang mendahuluiku

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Tika Muhasabah Diri..

Tika muhasabah diri..
Terasa sakit dan perit.
Nostalgia terusik..
Tiada yang menarik
Tika muhasabah diri..
Menung itu harus di renung,
Mata turun ke kaki
Sekilas waktu hanya di jari.
Singgahlah untuk muhasabah diri..
Cermin akal tak terdangkal
Lautan hati kini berbungkal
Gelombang duka menjadi sesal.
Sesaat muhasabah diri..
Terasa berat dan sarat di hati.
Keruh di tasik mata
Mengalir deras ke pipi
Bersatu di lembah tak bertepi.
Memohon keampunan ilahi.

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya

Apakah Hala Tuju Anda?

Remaja adalah aset negara yang tidak ternilai harganya. Alam remaja bukanlah bererti anda kini berada di zon selesa. Tahukah anda, di tahap ini anda di ibaratkan seperti seorang pelari pecut yang baru hendak memulakan larian dalam satu pertandingan. Anda sepatutnya berlari di lorong anda dengan pantas setangkas seekor kuda.Andai anda terjatuh, maka bangunlah dan teruskan larian hingga ke garisan penamat.

Sementelah itu anda haruslah sedar bahawa dalam setiap pertandingan ada kalah menangnya.Namun demikian, yakinlah bahawa setiap peserta akan berakhir di garisan penamat yang sama, kecuali ada segelintir yang keluar dan menamatkan lariannya tanpa ke garisan penamat. Apa yang hendak di sampaikan di sini, sebenarnya itulah rentetan hidup kita.. Setiap dari kita haruslah ada hala tujunya sendiri. Tanpa hala tuju yang betul kita pasti akan kecundang kerana tanpa ilmu dan strategi sudah tentu kita akan kebuntuan dalam mengatur masa dan tindakan kita. Kita akan seolah-olah sedang berjalan di lorong gelap tanpa menggunakan lampu suluh.

Remaja sekalian, institusi pendidikan bukanlah di rangka hanya sekadar untuk menyalurkan maklumat tentang pembelajaran semata. Ia juga bukanlah sebagai jambatan untuk memperoleh sijil dan seterusnya mendapat pekerjaan. Sepatutnya remaja bijak untuk menjana seberapa banyak ilmu menerusi kurikulum dan ko kurikulum yang di sediakan. Segala ilmu yang di peroleh sebenarnya akan kita amalkan sepanjang hayat dan boleh di aplikasikan kepada orang lain. Generasi berilmu adalah yang bijak menggunakan akal budinya pada setiap peluang dan ruang yang di berikan.

Oleh itu, buangkanlah sikap pesimis anda dan sentiasalah mencari prakarsa dalam merancang hidup yang lebih syumur. 'Masa itu emas', maka jadilah insan yang cemerlang membina, mengguna dan mengurus masanya dengan baik. Sehubungan dengan itu juga remaja yang berjaya adalah yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap dirinya, penciptanya dan orang lain.

Sesungguhnya minda yang sihat dan berkembang maju dapat menjana kecemerlangan yang lebih hebat. Berusahalah melalui pembacaan, perbincangan dan mendengar maklumat yang bermanfaat. Justeru itu,pupuklah budaya membaca dari kecil lagi kerana membaca dapat memperkayakan dan menajamkan minda kita. Komunikasi yang berkesan dan berilmu juga datangnya daripada pelbagai cabang informasi pembacaan.

Oleh itu masa remaja adalah waktu yang terbaik untuk merancang dan menimba seberapa banyak ilmu yang bermanfaat agar anda bijak mengurusnya tanpa sia-sia.Remaja yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dapat menilai dan mencari resolusi yang terbaik pada dirinya dan ke mana hala tujunya akan datang. Justeru itu remaja yang mempunyai sahsiah cemerlang akan sentiasa menjauhkan diri dari pergaulan yang tidak sihat dan persekitaran merugikan.Maka, sementara hayat mengasuh hasrat selagi itulah anda harus menemukan langkah berhemat menuju puncak matlamat.

Selamat menjayakan hala tuju anda dan binalah kehidupan secara sistematik kerana apa yang anda akan nikmati di masa hadapan adalah bermula dari apa yang anda semai dari sekarang.Semoga anda adalah dari kalangan orang-orang yang berjaya dan hebat di masa akan datang.

UMMI ADAM
Taman Daiman Jaya.

Isnin, November 23, 2009

Di tabir usia ini ada lorong-lorong yang bisa tersenyum dan menangis..
Kita bukan petualang masa..yang bisa merobek dan menderhaka.
Kita hanya pengutip cinta.
Cinta pada Tuhan
Cinta pada PesuruhNya
Cinta pada kalammullah
Cinta MalaikatNya
Cinta qadha dan qadarNya.....
Genggamlah cahaya makrifat
Dalam rindu berdaulat yang telah tersurat
Hulurkan tangan budimu menjejak musim-musim yang tertawa
Menyentuh sukma dan jiwa
Menghangatkan malam yang terlupa menyapa purnama
Gugahlah mimpi yang terlena dari bersuara
Persinggahan ini seketika cuma
Hanya segumpal zikir nan tak kan mungkir
Bertasbih pada Khaliqnya
Bersama menjadi penghuni syurgaNya..

Kota Tinggi

Indahnya Pengorbanan Itu.

Pagi ini saya bertandang ke ruang fikir yang tidak terbatas.Segalanya singgah di benak hati yang kudus ini dan terasa betapa kecilnya diri ini.Tidak pernah terjangkau dek kotak fikir bahawa setiap yang kita lalui ini penuh dengan pengorbanan.Walau sesuram mana dan seindah mana kehidupan kita ini sesungguhnya ia bersulamkan dengan jaringan pengorbanan yang bukan sedikit untuk di rungkai.


Sesegar di  rentetan hidup ini, kita mungkin telah lalui banyak duri ranjau yang tak berkesudahan.Apa yang menjadi kekuatan diri kita selama ini hanya sekelumit cahaya iman dan pegangan agama yang di bekalkan,begitu juga rasa syukur atas nikmatNya yang tak ternilai harganya.Saya merenung sejenak akan kejadian yang sedang berlaku di sekeliling,betapa hebatnya musibah yang telah Allah swt berikan pada hambaNya. MasyaAllah, gempa bumi,banjir,tanah runtuh dan penularan pelbagai penyakit yang menggerunkan..Ya, mungkin dunia kini telah menghampiri usia tuanya. Kita sedar tentang itu,namun gejolak memburu cinta dunia banyak menghakis ketebalan cinta pada akhirat.

Alangkah indah andai kita dapat melihat menerusi bicara mata..kerana mata tidak boleh menipu keadaan. Hati yang kotor seringkali tersimpuh di ruang tohor lagi berliku.Kita tidak mungkin dapat menilai tiap pengorbanan orang lain terhadap kita.Sebagai anak, pelajar,anggota masyarakat,rakyat, pemimpin atau walau sesiapa pun kita pengorbanan perasaan,harta benda, tenaga dan pemikiran menjadi wadah pemangkin budi kita.Itulah nilai keperibadian seseorang yang menjadi kayu pengukur sahsiah setiap insan. Saya terkesima sendirian mengenang bagaimana ketinggian cinta Nabi Ibrahim as terhadap Yang Maha Esa mengatasi segalanya. Perintah Allah swt supaya baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail as di laksanakan demi cintanya pada Allah swt. Kita dapat melihat juga betapa kuatnya pengorbanan Siti Hajar merelakan anaknya disembelih demi mentaati perintah Allah swt. Sesungguhnya pengorbanan itu memang indah.......

Saya juga merasa sangat terharu akan ketulusan hati insan-insan yang sanggup mendermakan sebahagian daripada organnya demi menyelamatkan nyawa insan lain. Alangkah indahnya jika saya dapat berbuat seperti mereka.Segala pengorbanan mereka membuat saya tersedar dari igauan semalam bahawa nikmat yang Allah kurnia ini sangat hebat dan patut di kongsi bersama pada yang memerlukan. Subhanallah...bila kita kekurangan dan sedang memerlukan barulah kita sedar akan kebesaran dan menghargai segala nikmat yang di beri.

Sempena menyambut hari kebesaran umat Islam iaitu Aidul Adha ini marilah kita mencari segala keindahan erti pengorbanan itu. Sebagai umat yang ingin mencapai kejayaan di dunia dan juga di akhirat, hayatilah semua perjuangan dan pengorbanan junjungan kita Rasulullah saw demi menegakkan syiar Islam keseluruh alam. Muhasabahlah setiap masa untuk mencari kelemahan diri agar segala langkah kita tidak sesia dan merugikan.Hargailah apa yang ada di samping kita menambah nilai dan memperkasakannya agar sentiasa ampuh dan utuh.Cabaran dan dugaan merupakan bumbu untuk kita mencapai kemenangan dan kejayaan yang manis dan bermakna dalam hidup ini. Saya ingin mengingati diri sendiri dan anda jua moga kita bisa jadi hamba yang sentiasa bersedia untuk berkorban demi maruah bangsa dan agama tercinta.Salam Aidul Adha dari saya buat semua...

Ummi Adam
Taman Daiman Jaya.

Jumaat, November 13, 2009

Seindah Budi


Indah nian nyanyian hati,
Terukir jadi lukisan diri,
Indah sungguh budi pekerti,
Jelas terpancar wajah berseri.


Paduka Raja merafak sembah,
Sembah di iring Paduka Menteri,
Seri hidup manakan berubah,
Andai malas menyelimuti diri.


Mahligai gemilang indah berkerlipan,
Saujana memandang dari menaranya,
Badai dan dugaan perencah kehidupan,
Teruskan perjuangan hingga ke akhirnya.


Seri muka santapan di raja,
Lemak manis bersari pandan,
Andai terluka biarkan saja,
Itu cuma mainan di badan.