Jumaat, Februari 20, 2009

Dari pena Ummi

Assalamualaikum, salam ukhuwah buat anak-anak Ummi sekelian. Terimakasih kerana membaca dan menyokong blog Ummi. Kali ini Ummi ingin menarik perhatian anak-anak tentang cinta pada negara.
Setiap dari kita sudah tentu punya tanahair sendiri, tempat kita di lahirkan dan di besarkan. Sehingga di dalam sijil kelahiran dan kad pengenalan diri pun taraf kewarganegaraan wajib di catit. Sewaktu kita di tadika juga sudah terdedah dengan semangat kebangsaan dengan menyanyikan lagu Negaraku dan membaca Rukunegara. Mengapakah kita perlu berbuat demikian?
Walaupun Ummi di lahirkan dan berasal dari seberang tambak, tetapi Ummi banyak di besarkan dan mendapat pendidikan di Malaysia. Ummi merasa bangga menjadi rakyat Malaysia, "di mana bumi di pijak di situ langit di junjung", bukan? Oleh itu berbanggalah kerana anda punya sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Sebagai remaja yang berilmu dan sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara dan mengekalkan kedaulatannya. Walau di mana anda berada, tanahair janganlah di lupakan bak kata pepatah "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri". Sesungguhnya anda adalah modal insan yang cukup berharga buat negara. Janganlah sesekali anda menderhaka pada negara, kerana tanpanya siapalah anda kini..
Cinta pada negara bukan saja sekadar menyambut hari kemerdekaan dengan meriah dan mengadakan acara yang gilang gemilang,tetapi hendaklah mempraktikkan konsep Rukunegara itu sendiri. Sebagai sebuah negara Islam, hendaklah kita memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam dengan mengamalkan keseluruhan cara hidup berlandaskan Al Quraan dan Al Sunnah. Islam adalah cara hidup kita. Bermulanya kejayaan atau keharmonian sesebuah institusi kemanusiaan bergantung kepada amalan hidupnya. Tanpa agama kita akan menjadi manusia yang tidak bertamadun.
Begitu juga bagi negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan seperti negara kita. Sebagai rakyat yang beragama, berilmu dan bertamadun tinggi hendaklah kita menghormati institusi ini dengan penuh taat kerana ia adalah lambang kedaulatan dan keagungan sesebuah negara itu. Jauhkan sikap kederhakaan kerana derhaka kita padanya ibarat menderhaka kepada agama dan negara sendiri..seperti "percik air di dulang terkena ke muka sendiri". Orang luar akan memandang rendah dan menganggap rakyat kita tidak punya akhlak dan harga diri. Kesetiaan pada negara begitu longgar dan memungkinkan kebarangkalian dengan mudahnya kemasukkan pelbagai elemen jahat dari luar. Apa akan jadi kiranya kita terlalu leka dengan mencemarkan kedudukan institusi beraja ini tanpa batas..sedangkan orang luar begitu taksub untuk menimba kesempatan dan peluang menghancurkan keharmonian dan kesejahteraan tanpa kita sedari...Inilah kelemahan kita sendiri,maka renungkanlah..
Kita haruslah berbangga kerana negara kita sentiasa aman dan makmur di bawah pentadbiran secara demokrasi berparlimen. Seharusnya kita mengambil iktibar di atas kejatuhan Empayar Melaka dahulu. Sanggupkah kita melihat sejarah berulang kembali di tanahair kita ini? Janganlah jadi "duri dalam daging". Kita mestilah bersyukur kerana suara kita berkuasa menjadikan negara kita dengan acuan kita sendiri,tanpa campur tangan kuasa luar, kita mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara lain di dunia.Kini Malaysia di kenali di seluruh dunia. Tergamakkah kita untuk menghancurkan negara dengan tangan kita sendiri? Fikirkanlah anak-anak sekelian.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita mempunyai sistem perundangan yang adil dan saksama bagi semua kaum.Oleh itu hendaklah kita menghormati dan mematuhinya demi kestabilan dan keselamatan negara. Indahnya keharmonian dan kedamaian sesebuah negara itu adalah berlandaskan kerukunan dan persepakatan semua pihak dalam mentadbir dan menyelia mengikut undang-undang tubuh yang telah termaktub.
Akhirrnya, hendaklah kita sentiasa memelihara tatasusila dengan penuh keikhlasan demi bangsa yang bermaruah ini.Negara yang berakyatkan insan yang berdisiplin, berhemah tinggi dan menyintai kedamaian dapat menjana kestabilan perpaduan kaum,agama dan budaya. Sesungguhnya kesopanan dan kesusilaan adalah teras kejayaan.Dari itu marilah kita bersama menyemai rasa cinta pada negara dengan memelihara kedaulatannya agar tidak mudah tergugat dek sebarang musibah.

Salam kasih sayang dari Ummi..
Cinta negara biarlah tersemat,walau di balik awan ia tersurat, berbanggalah punya negara yang berdaulat,terungkai di jiwa biarlah ke akhir ayat.

10 Tip Mengekalkan Persahabatan

  • Setia terhadap sahabat, elakkan berlaku curang dan perbuatan menikam dari belakang.
  • Sokong; Sentiasa menyokong sahabat secara membina.
  • Siddiq; Sentiasa membenarkan perkataannya yang baik-baik.
  • Syukur; Berilah sebarang penghargaan atau pujian di atas kebaikannya kerana dia begitu berharga dan bernilai bagi kita.
  • Suluh; Sentiasa berkongsi perasaan atau masalah dengan memberi semangat dan sinar kegembiraan padanya.
  • Sopan santun; Bertuturlah dengan lemah lembut dan perlakuan yang baik. Jangan sesekali menyakiti hatinya.
  • Soleh/Soleha; Jadilah seorang sahabat yang sentiasa berpegang teguh pada agama dalam setiap urusan.
  • Seadanya; Sentiasa memahami dan menerima segala kelebihan atau kekurangan sahabat dengan positif.
  • Seiring sejalan; Sedia berkongsi pendapat atau aktiviti dengan sikap bertolak ansur dan sentiasa menghormati kehendak sahabat.
  • Sayang; Sayangi sahabat anda dengan sentiasa mengambil berat akan keadaannya baik dari segi kesihatannya, keluarganya mahupun kehidupan sehariannya. [Ummi Adam]

Khamis, Februari 19, 2009

10 Tip Menghadapi tekanan

  • Tawadhuk-Solat dengan khusyuk serta perbanyakkan solat sunat.
  • Perbanyakkan membaca Al Quraan.
  • Sentiasa basahkan lidah dengan zikrullah.
  • Redha dan tawakkal atas segala kesukaran.
  • Bersikap positif kerana setiap masalah ada jalan penyelesaiannya dan terdapat hikmah di sebaliknya.
  • Muhasabah diri dan binalah keyakinan pada Allah SWT semata-mata-Tawajjuh.
  • Qanaah- Sentiasa bersyukur walau sekecil mana kurniaanNya.
  • Tidak membuang masa, isilah ia dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
  • Sentiasa mengukir senyuman dan sebarkan salam-jalinkan Ukhuwah.
  • Carilah individu yang boleh di percayai untuk meluahkan perasaan, mendapat rujukan atau khidmat nasihat. [Ummi Adam]

10 Tip kesejahteraan Tubuh

  • Tenangkan minda dan tubuh dengan relaks.
  • Kurangkan tekanan dengan baik dan teratur.
  • Riadah secara sistematik.
  • Tidur secukupnya.
  • Amalkan penjagaan diri secara sihat.
  • Amalkan pemakanan sihat dan seimbang.
  • Berfikiran positif dalam semua situasi.
  • Kawal kemarahan dan elakkan kemurungan.
  • Sentiasa amalkan keceriaan , kasih sayang dan kehidupan yang gembira [laugh,love,live].
  • Jalani kehidupan secara seimbang. [sumber;Utusan Malalaysia]

Khamis, Februari 12, 2009

Hadirlah Olehmu..

Hadirlah olehmu...
jiwa yang tenang.
Setenang air di kali,
Sesejuk salji di kutub.
Agar aku betah berdiri,
Melangkah pergi ke negeri abadi.
Hadirlah olehmu...
Mimpi yang indah.
Agar lenaku tidak tergugah
Mengucap kalimah di akhir madah.
Seindah kelopak hati Khadijah..
Hadirlah olehmu...
Kasih yang sejati.
Mengubat hati sekeras ini.
Sandarkan bersama kekasihMu nanti.
Dalam kejauhan ini.
Hadirlah olehmu...
Taufik dan Hidayah.
Menemaniku dalam senja gundah.
Agar terlimpah rahmah di Raudhah
Syahadahku biarlah mudah..

Dari pena Ummi

Assalamualaikum...

Salam kasih sayang buat semua permata hati Ummi. Tersentuh benar hati ini bila melihat betapa deritanya rakyat Palestin kini.Hidup mereka sentiasa dalam keadaan yang mencemaskan "bagai telur di hujung tanduk".Anak-anak kehilangan ibubapa,menderita kelaparan,tiada lagi tempat berteduh dan tiada lagi kemudahan yang boleh di nikmati.Persekitaran mereka terlalu daif kerana segalanya telah musnah akibat kekejaman Rejim Israel.Apakah ini satu musibah atau adakah ini satu titik permulaan era kebangkitan islam zaman ini?

Berbanding dengan keadaan kita yang terlalu selesa ,mewah dan aman walaupun di dalam suasana kegawatan ekonomi dunia.Kita masih lagi boleh keluar rumah,pergi ke tempat kerja dan melakukan sebarang aktiviti tanpa bimbang mahupun ketakutan.Akan tetapi terdetik jua di hati Ummi adakah keadaan ini boleh berterusan...Jadi,apakah peranan kita sebagai warganegara yang berdaulat dapat merealisasikan agar negara kita sentiasa dalam keadaan aman dan stabil baik dari segi ekonomi, sosial mahupun politik.

Anda adalah remaja yang bertuah kerana di lahirkan di bumi yang penuh keunikannya.Sebagai negara yang mempunyai pelbagai kaum,agama dan budaya ini seharusnya kita merasa bangga dan bersyukur akan segala rahmat yang telah Allah SWT kurniakan. Islam adalah agama yang lengkap. Di dalam Al Quraan sendiri terkandung segala rahsia kehidupan yang sepatutnya di amalkan. Di dalam konteks ini marilah anak-anak yang Ummi kasihi sekelian kita menyemai nilai mahabbah dalam diri kita. Kasih sayang adalah tonggak kebahagiaan dalam setiap institusi kemanusiaan.

Fitrah manusia memerlukan hubungan yang baik sesama kita.Kasih kita kepada ibubapa,keluarga agama dan negara dapat menjana keharmonian dan kestabilan walau di ceruk mana kita berada. Belajarlah untuk mengasihi diri sendiri dan oranglain tanpa mengira darjat,warna kulit atau keturunannya.

Kasih sayang merupakan perisai kemanusiaan sejagat.Tanpanya manusia akan hilang sifat menghormati antara satu sama lain. Kita juga mudah hilang pertimbangan dan harga diri, di mana lebih terdorong dengan segala macam bentuk keganasan, kekerasan dan kekejaman. Tiada lagi perpaduan dan keamanan. Di sana sini kita akan lihat manusia bergelumang dengan peperangan,pencerobohan,penghapusan etnik mahupun perpecahan kaum.Di manakah sifat perikemanusiaan? Semuanya telah hilang kerana hati telah di kaburi nafsu serakah, tamak haloba dan duri kesumat yang kotor.

Begitu juga, manusia akan alpa tentang alam semulajadi. Dek kerana di jengah dengan kerakusan habuan dunia,kita akan hilang penghargaan terhadap alam sekitar, flora dan faunanya.Pencemaran berleluasa, kerana mengejar keuntungan semata tanpa memperdulikan risiko dan kemusnahan alam. Adakah bilamana Allah menghadirkan bala atau balasan atas kesilapan manusia maka barulah kita akan menyesal ? Sesungguhnya segala bencana alam itu adalah di sebabkan oleh kita sendiri, renungkanlah..

Anda adalah anugerah dari Allah SWT yang tak ternilai harganya jika di bandingkan dengan emas permata Sebagai remaja yang punya ilmu di dada, jadilah insan yang bijaksana dalam menilai dan menghargai erti kehidupan ini. Sesungguhnya di tangan anak-anaklah nanti akan mencorakkan dunia masadepan. Maka kasihilah agama, ibubapa, keluarga, teman-teman dan alam semulajadi demi kesejahteraan dunia dan seisinya. Perluaskan ruang kedamaian di seluruh dunia dengan penuh kasih sayang.

Harapan Ummi bukan kepalang, moga kalian insan cemerlang. Di persada impian Ummi bentangkan, moga kedamaian dan kebahagiaan berkekalan. Salam takzim dari Ummi.

Perjalanan Terakhirku.

Kira ajal menjemputku...
Masihkah aku punya waktu?
Berkirim taubat solat munajat,
Membaris ruang dan tempat...
Andainya ajal menghampiriku...
Mungkinkah aku ucap kalimah?
Bersandar amal cetek dan murah,
Terlipat usang di gubuk rebah.
Kiranya ajal menerjahku...
Mampukah aku terus berserah?
Tika tubuh bersarang imarah,
Memaling pahala di bumi rahmah.
Sudikah diriMu Ya ALLAH..
Membelai aku yang bersalah ini..
Sudikah Engkau Ya Robbi..
Mengasihiku cuma sekali..
Tika ku merinduiMu,
Sudikah Engkau menerimaku..
Kudrahku di tanganMu
Hujungku di rongga kelu
Mimpikah aku mengunjungiMu?
Tiada harta hendakku serah,
Tiada siapa hendakku bawa..
Hanya jasad pembalut doa,
Airmata kian tertumpah..
Di alam barzakh rumahku singgah.
Dalam perjalanan terakhirku ini..
Selimuti aku dengan taufikmu,
Kasih Mu memayungiku.....

Selasa, Februari 10, 2009

Salam Ukhuwah Dari Ummi


Assalamualaikum pembuka bicara Ummi.
Doa Ummi moga anak-anak semua berada di dalam situasi yang menyenangkan,tanpa sebarang kemudharatan mahupun kesukaran.
Anak-anak Ummi sekelian,
Pena Ummi terasa terpanggil untuk membuka gelanggang bualbicara kita.Barang tentu anak-anak Ummi kini masih lagi bergelar pelajar.Sedar atau tidak anak-anak kini telah menginjak dewasa,dan anda adalah satu-satunya aset agama dan negara yang bernilai,
Ummi amat memandang serius akan kepincangan dalam masyarakat remaja masa kini.Fenomena gejala sosial berleluasa hingga melarat ke ceruk desa yang jauh terpinggir dari habuan prasarana.Siapakah yang harus kita persalahkan?Adakah ibubapa atau persekitaran remaja...Atau apakah semua ini merupakan satu trend baru untuk melabelkan imej remaja?Adat dan budaya bangsa kian pupus di telan arus gelombang "kerakusan"akhlak remaja masa kini.Di manakah silapnya?
Remaja yang di kasihi
Tidak seorang pun ibubapa yang sanggup mendidik anak-anaknya ke arah kedurjanaan.Bagi Ummi anda adalah permata hati yang patut di hargai dan di pusakai.Anda adalah amanah Allah buat kami.Tak terlintas walau sedikit pun di hati kami untuk membiarkan anda membesar di kelilingi dengan onak duri.Tahukah remaja,betapa beratnya tanggungjawab sebagai ibubapa.Dari dalam kandungan anda di jaga dan di belai dengan penuh kasih sayang.Lahirnya anda adalah satu pengurniaan yang tak ternilai harganya.Sanggupkah anda membalas segala pengorbanan mereka dengan kedurhakaan?Tidak bukan...Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang kembali..Janganlah ketandusan waktu,masa terluang itu adalah satu pengalaman dan ia akan menjadi detik kenangan di masa akan datang.
Anak-anak Ummi sekelian,
Dunia kini menuju era teknologi tanpa sempadan.Sesungguhnya ia jua adalah ilmu Allah SWT yang patut kita terokai.Sebenarnya setiap perkembangan arus modenisasi ini adalah wadah bagi kita umat islam mencapai kejayaan dan kemenangan.Namun demikian hendaklah kita tidak lari dari garis panduan yang Allah SWT telah berikan.Jadilah insan yang kaya dengan ilmu pengetahuan dan pergunakanlah setiap ruang yang ada pada haknya.Apa yang Ummi pandang ,anak remaja sekelian sering menjadikan segala kemudahan dengan cara yang merugikan dan membazir semata-mata.Ruang lingkup remaja seolah-olah sempit dan amat menyesakkan mata yang memandang.
Anak-anak remaja yang di rahmati Allah,
Pada perkiraan Ummi,jati diri andalah yang menentukan suasana dunia diri anda sendiri.Sayangilah diri,manjakanlah dengan belaian akhlak dan nilai-nilai murni,kerana segala panduan dan asas kerukunan duniawi dan ukhrawi telah anda kecapi dari lahir lagi.Binalah susur galur kehidupan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.Tanpanya anda pasti akan ketandusan dalam mengejar kejayaan mahupun kebahagiaan.Janganlah kalah dalam pertaruhan hidup masa kini.Jadikan setiap nafas dan aturcara kita pada hari ini suatu yang menyeronokkan dan bermanfaat pada diri sendiri dan oranglain.Keluarkan segala kehebatan dan anugerah yang di kurniakan dengan ikhlas.Anda adalah anak yang hebat..dan andalah impian berharga kami.Teruskan langkah,panjatkan doa,tawaqal padaNya..Ummi yakin anda pasti akan temui segala hajat di hati.
Tangan di hulur buat pengganti diri,andaikata ada remaja yang ingin berkongsi masalah dan idea kudapan hati,silalah hubungi Ummi.InsyaAllah akan Ummi susuli nanti.Tirai pena secangkir budi seberkas hati berlabuh di sini.Budi di salur buatmu pertiwi,tangan ku hulur buatmu sekelian permata hati.......

Rabu, Februari 04, 2009

Abadikan Cintaku


Padamu Robbi aku berserah..

terhimpun waktu menuju firdausi

melangit sudah merafak sembah..

di ufuk nan kudus ini

Tuhanku yang satu..

hamparkanlah hidayahmu

putihkanlah salju di kalbuku..

Warnailah pentas duniaku

dengan tinta-tinta kasihmu.

Aku terus kecundang dalam sendu siksa..

mencucuk pilu di rundung duka,

tak terlangkah jua akhirnya,

tak terjunjung nesta di cipta..

Kekasihku..

lambaikanlah dendangan rinduMu..

Qasidahkan sejadah cintaMu..

agar bisa kupejam dua mataku

melarik sulam sadaqah imanku..

sujud bersama himpunan dikirku.

Buat penghujung noktah.akhirku....

Persadakan amal di kemuncak suluhmu

biarku sisir mayang ujub nan dusta,

biarku cantas tunas imarah..

liang kesumat di permata makrifat,

jadi pendandan mukhsin di mata hati.

Buat bekalan di sana pasti...................

Selasa, Februari 03, 2009

Monolog Kasih Yang Lalu


Malam ini..aku ingin berehat sepuasnya,setelah penat seharian menguruskan rumah dan anak-anak.Alangkah lega dapat melunjurkan kaki, "uhh...,semuanya dah beres!" Ku kerling insan di sebelahku..'Emm..dah lena,mungkin terlalu penat dia." Ingin kupejam mata namun tak boleh jua..Aku bagai terpanggil untuk mengalihkan pandangan ke arah meja di sebelahku.Lantas ku buka laci di bawahnya.Tanganku pantas mengambil buku biru yang agak kusam itu. Dengan sayu ku selak mukasurat satu persatu..terbayang kini wajah-wajah yang ku rindu..Imah, Alang, Kak Tie,Jasni, Johari..ah! sesungguhnya kalian tetap dalam hatiku.
Masih ku ingat tarikh itu..
Februari 14, 1982..
Sedang aku menyiapkan assigment Tamadun Islam di bawah pohon angsana bersama Imah,kau datang menghampiriku bersama sekuntum mawar putih kesukaanku. " Kay,terimalah bunga ini, aku tahu kau memang suka mawar putih ". Kau hulurkan bunga sambil tersenyum. Aku mengambilnya dan berkata, "lainkali bagilah mawar merah,kuning,kalau boleh hari-hari tau..biar semerbak asrama ku nanti! " Aku cuba menyembunyikan maluku dengan berseloroh.Ya Allah! berkat gurauanku itu setiap hari kau pasti akan bawakan aku sekuntum mawar...
Februari 28, 1982..
Kau datang kemejaku sambil memberikan aku sekeping nota. " Ah,apa saja yang kau tulis ni..",bisik hatiku.
"Kay, aku nak jumpa kau di perpustakaan lepas kelas nanti. Mustahak! "
Aduh! Seram sejuk aku di buatnya..tapi hati kecilku begitu kepingin tahu apakah maksudmu itu.Lantas sebaik saja kelas selesai aku mengajak Imah menemaniku ke perpustakaan. Mataku tercari-cari di manakah kau..'"Oh! disitu kau rupanya." Aku dan Imah lantas melabuhkan punggung di kerusi berhadapan denganmu. Aku terdiam seketika. Sambil tunduk memandang buku kau mulakan bicaramu dengan perlahan."Sebenarnya,aku ingin menjadi temanmu..malah kalau mungkin lebih dari itu,sudikah kau terima aku,Kay? "tanyamu sambil terketar-ketar. Aku terbungkam,terasa jantungku gugur lesu.. Untuk seketika aku tak tahu memulakan bicara."Is,sebenarnya aku masih belum memikirkan hal ini,kerana aku samasekali tidak percaya pada cinta. Biarlah masa yang menentukannya,berilah aku waktu untuk memikirkannya ya.."jawabku ."Baiklah,moga kau terima ,dan aku menunggu jawapanmu..tapi jangan lama sangat kerana kau mungkin akan terlewat.."pintamu lantas kau bangun dan meninggalkan aku termangu-mangu. Imah memandangku dengan kehairanan jua.
Masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Aku masih ingat selepas peperiksaan semesta pertama berakhir kau bertanya lagi. Aku terdiam sendiri.Kau tak tahu betapa hatiku terlalu takut untuk bercinta.Aku ngeri bila membaca kisah-kisah yang mengundang tragedi akibat putus cinta. Tapi di lubuk hatiku kau memang seorang teman yang baik.
Di kampus,aku aktif dalam unit bimbingan dan kaunseling. Aku gemar membantu menyelesaikan masalah pelajar-pelajar. Di antaranya seorang senior di Fakulti Kejuruteraan ini.Dia seorang yang baik,bijak tapi punya masalah dengan kekasihnya. Tak tahulah aku mana silapnya. Sebagai bakal kaunselor aku mengambil berat akan kesnya,dan setiap kali dia menghadapi masalah akulah tempat luahan rasanya..tidak kira masa dia akan menghubungiku.Aku akan memberi semangat dan dorongan agar dia tidak kecundang memandangkan peperiksaan akan bermula bulan depan.
Disember 27, 1982...
Hari itu aku terkejut bila teman seniorku memberitahu yang dia akan tiba bersama keluarganya,untuk melamarku.Aku kehairanan kerana setahuku dia sudah berpunya..malah aku sendiri yang selalu membantu menyelesaikan masalahnya. Keluargaku tak banyak persoalannya dan mereka sangat tertarik akan akhlak dan budi bicaranya yang baik. Mereka lantas menerima . Aku terpaku sendiri di birai katil,dan sesungguhnya aku menerima segala ketentuan ilahi dengan penuh redha.
Malam itu aku hubungi dia dan bertanyakan hal ini. Dengan tegas dia menjawab.."Kay, aku memilihmu kerana kau lebih memahami diriku dan kau sering memberi semangat dan dorongan agar lebih bersikap positif dalam apa jua situasi. Sesungguhnya aku memerlukan kau untuk bersama mencipta kejayaan. Ikatan ini amat bermakna padaku dan sudah pasti aku tak akan memikirkan hal lain lagi, aku pasti akan memperbaiki diri dengan tenang dan yakin.. Semua ini kerana aku telah memiliki insan yang kucari selama ini.."jelasmu. Aku bersyukur padamu Tuhan jika inilah pilihanMu buatku.
Berita pertunanganku tersebar di kampus. Aku tersipu-sipu malu bila di usik teman sekuliahku.Alangkah sayu bila kulihat si pembawa mawarku begitu sedih sekali. Wajah kekecewaan jelas terpancar..tampak sugul dan seperti hilang semangat untuk meneruskan kuliahnya. Saban hari kulihat dia menyepikan diri dan aku amat bersimpati dengannya...
Suatu pagi dia menghampiriku sambil memberikan aku sekeping nota.
" Kay, aku amat kecewa sekali..kau tak beri aku kesempatan,mungkin ini notaku yang terakhir.Selamat tinggal mawar putihku! "
Terkejut aku membaca notamu itu. "Maafkan aku Is ",hanya itu yang mampu aku lafazkan meskipun kau mungkin tak mendengarnya.
Petang itu suasana kelam kabut dengan suara jerit pekik pelajar. Aku bergegas keluar dan berlari ke arah sana..dan apa yang kulihat kau terbaring kaku..sekujur tubuhmu berlumuran darah! " Ya Allah Is..apa yang telah terjadi..."Aku lantas bersama memasuki ambulan menghantarmu ke hospital. Tiba-tiba kau buka matamu .." Kay,terimakasih. Aku akan pergi,moga kau bahagia..."di tanganmu tergenggam erat mawar putih yang di selaputi darah..dan kini kau telah pergi menemui ilahi tanpa aku sempat mengucap sebarang kata buatmu...Aku pasrah ya Allah, hanya doaku moga rohmu di cucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang yang soleh.Adakah aku bersalah?.Ya Allah..ampunilah aku....
Imbauanku terhenti..airmata jelas mengalir di pipi.Kau tahu Is, mulai saat itu aku benci mawar putih. Saat itu juga aku belajar erti kasihsayang..Aku tak mungkin biar orang ternanti-nanti dan aku takkan mengharap apa yang tak pasti. Terimakasih Is..moga kau tenang di sana.
Ku tutup kembali buku biru yang banyak kenangan aku bersamamu..si pembawa mawar putihku.

Isnin, Februari 02, 2009

Kami masih di sini [Aduhai Palestin....]


Kami masih di sini....

meski dirimu di ragut sengsara..

anak-anakmu tergolek luka,

isteri-isterimu menjerit duka.

tanahairmu bak di sambar geroda..

Aduhai Palestin.....

Kami masih di sini..

tak terdaya membela..

tak berkuasa mengelola..

namun kami terasa goyahnya.

menjeruk rasa di bumi Gazamu..

menitip tangismu,

bersama kerakusan zeonis durjana.

bagai halilintar kesumat,

menusuk di dada mulia.

Aduhai Palestin...

kami masih di sini kiranya,

menadah tangan nan lemah..

mohon kurniaan Ilahi Robbi.

moga ada simpati yang pasti..

dari keramahan merdeka hati..

menyuap nasi ke bibir manis,

mengota janji di kota PBB.

Demi menatap malang nasibmu,

namun kami masih di sini jua..

tidak bisa berjuang di dada medanmu..

tidak bisa memikul bebanmu.

hanya pantas membuka mata..

mendengar rintihmu di cuping kerdil.

bersama darah pejuangmu yang mengalir deras..

menghitung mayat anak yang comel,

Semuanya kerana kau tentera dajjal haloba.

Moga Tuhan melaknatimu!

penghapus zuriat,meranap punah kota nan suci ini.

Namun kami masih di sini lagi...

menitip suria menyinarimu..

Aduhai Palestin...

beradumu di kamar dingin,

penuh suram gelita,

menahan sebak lapar segala.

namun keinsafan masih di sini..

mengintai keindahan yang abadi.............

Nasihat Buat Insan Yang Bernama LELAKI


Padamu teman yang bernama lelaki,

Selami olehmu hati kami ini.

Jangan kau perlekeh akan diri kami,

Kerana kami cermin dirimu sendiri.



Di sini kami adalah insan yang setia,

tak terlintas untuk menderhaka,

Namun rintihan kami tak seindah rupa,

Kerana dirimu selalu alpa.



Aduhai lelaki ingatlah selalu,

Kami di cipta sebahagian dari dirimu,

Bukan untuk di tindas semahumu,

Bukan jua untuk di permainkan oleh hatimu.



Insaflah dan sematkan di hati,

dunia kami adalah lukisan diri,

Menjana ummah di kemudian hari,

Tiang seri kedaulatan negeri.



Untukmu lelaki teman sehati,

Tanpa kami siapalah dirimu kini,

Sedarlah kamu janganlah bermimpi,

Tergurisnya kami kelak dirimu yang rugi.



Walau kau anggap dirimu berkuasa,

Tapi hakikatnya kami yang berjaya,

Melahir, mendidik, mengasehimu hingga dewasa,

Kerana egomu maka semua kau lupa.



Sikap lelaki semuanya sama,

sering membuat kami tersiksa,

Wanita bukan semanis gula,

Bukan juga sepahit cuka.



Lidahmu bijak bermain kata,

Memutar belit mainan belaka,

Kerana kami tiada upaya,

Hentikanlah demi kebahagiaan bersama.



Hargailah kami seikhlas hati,

Sayangi kami hingga akhir hayatmu nanti,

Dunia dan harta bukan impian kami lagi,

Senang di hati, setulus cinta itulah sandaran kami.



Dengarlah lelaki di luar sana,

Tanpa kami dirimu yang merana,

Fitrah manusia Dia yang merencana,

Tiada Adam, maka tiadalah Hawa semestinya.

Ahad, Februari 01, 2009

Bicara Sepi Seorang Penanti


Wanita ditakdirkan untuk lelaki,
demikian sudah....
janji Allah,
wanita yang baik untuk lelaki yang baik,
begitu juga sebaliknya....
bicara hikmah ,
buat penyejuk hati,
kini,
semusim berlalu
aku penanti yang setia
menyingkap pergi lambaian janji
semanis madu sesejuk salju
mendamba sutera berkais malu,
Kini kau hambar sepi ,
menangkis bicara nan luka sendiri..
Mestikah aku menagih simpati,
akan kegoyahan ini...
Luputkah aku bersama di daerah ini..
bertali arus memukau mimpi..
kau tahu,
tika kau lafazkan kata-kata itu,
hati ini bagai pantai Acheh dilanda ombak tsunami,
air mataku mengalir bagai air terjun Kota Tinggi.
kau robek hati ini
kau benam ke dasar curam.
kau injak lumat tenggelam.
dari lubuk hatiku,
benarkan aku mengintaimu,
menumpang kasih nan kian hilang.
pudar suram bersama bayangan..
moga bertaut
alangkah sedihnya,
alangkah pilunya,
bagai hati ini ditusuk sembilu,
ungkapan madah helahmu
menjamu senyum sinismu
saat itu juga,
hatiku mula melukiskannya
walau penantian itu suatu siksa
hingga ujung nyawa
walau dunia kita berbeda

walau langkah kita tiada..
Hanya Tuhan penentunya.

Nukilan rasa: Mawar Merah



,