Khamis, Februari 12, 2009

Dari pena Ummi

Assalamualaikum...

Salam kasih sayang buat semua permata hati Ummi. Tersentuh benar hati ini bila melihat betapa deritanya rakyat Palestin kini.Hidup mereka sentiasa dalam keadaan yang mencemaskan "bagai telur di hujung tanduk".Anak-anak kehilangan ibubapa,menderita kelaparan,tiada lagi tempat berteduh dan tiada lagi kemudahan yang boleh di nikmati.Persekitaran mereka terlalu daif kerana segalanya telah musnah akibat kekejaman Rejim Israel.Apakah ini satu musibah atau adakah ini satu titik permulaan era kebangkitan islam zaman ini?

Berbanding dengan keadaan kita yang terlalu selesa ,mewah dan aman walaupun di dalam suasana kegawatan ekonomi dunia.Kita masih lagi boleh keluar rumah,pergi ke tempat kerja dan melakukan sebarang aktiviti tanpa bimbang mahupun ketakutan.Akan tetapi terdetik jua di hati Ummi adakah keadaan ini boleh berterusan...Jadi,apakah peranan kita sebagai warganegara yang berdaulat dapat merealisasikan agar negara kita sentiasa dalam keadaan aman dan stabil baik dari segi ekonomi, sosial mahupun politik.

Anda adalah remaja yang bertuah kerana di lahirkan di bumi yang penuh keunikannya.Sebagai negara yang mempunyai pelbagai kaum,agama dan budaya ini seharusnya kita merasa bangga dan bersyukur akan segala rahmat yang telah Allah SWT kurniakan. Islam adalah agama yang lengkap. Di dalam Al Quraan sendiri terkandung segala rahsia kehidupan yang sepatutnya di amalkan. Di dalam konteks ini marilah anak-anak yang Ummi kasihi sekelian kita menyemai nilai mahabbah dalam diri kita. Kasih sayang adalah tonggak kebahagiaan dalam setiap institusi kemanusiaan.

Fitrah manusia memerlukan hubungan yang baik sesama kita.Kasih kita kepada ibubapa,keluarga agama dan negara dapat menjana keharmonian dan kestabilan walau di ceruk mana kita berada. Belajarlah untuk mengasihi diri sendiri dan oranglain tanpa mengira darjat,warna kulit atau keturunannya.

Kasih sayang merupakan perisai kemanusiaan sejagat.Tanpanya manusia akan hilang sifat menghormati antara satu sama lain. Kita juga mudah hilang pertimbangan dan harga diri, di mana lebih terdorong dengan segala macam bentuk keganasan, kekerasan dan kekejaman. Tiada lagi perpaduan dan keamanan. Di sana sini kita akan lihat manusia bergelumang dengan peperangan,pencerobohan,penghapusan etnik mahupun perpecahan kaum.Di manakah sifat perikemanusiaan? Semuanya telah hilang kerana hati telah di kaburi nafsu serakah, tamak haloba dan duri kesumat yang kotor.

Begitu juga, manusia akan alpa tentang alam semulajadi. Dek kerana di jengah dengan kerakusan habuan dunia,kita akan hilang penghargaan terhadap alam sekitar, flora dan faunanya.Pencemaran berleluasa, kerana mengejar keuntungan semata tanpa memperdulikan risiko dan kemusnahan alam. Adakah bilamana Allah menghadirkan bala atau balasan atas kesilapan manusia maka barulah kita akan menyesal ? Sesungguhnya segala bencana alam itu adalah di sebabkan oleh kita sendiri, renungkanlah..

Anda adalah anugerah dari Allah SWT yang tak ternilai harganya jika di bandingkan dengan emas permata Sebagai remaja yang punya ilmu di dada, jadilah insan yang bijaksana dalam menilai dan menghargai erti kehidupan ini. Sesungguhnya di tangan anak-anaklah nanti akan mencorakkan dunia masadepan. Maka kasihilah agama, ibubapa, keluarga, teman-teman dan alam semulajadi demi kesejahteraan dunia dan seisinya. Perluaskan ruang kedamaian di seluruh dunia dengan penuh kasih sayang.

Harapan Ummi bukan kepalang, moga kalian insan cemerlang. Di persada impian Ummi bentangkan, moga kedamaian dan kebahagiaan berkekalan. Salam takzim dari Ummi.

Tiada ulasan: