Jumaat, Februari 20, 2009

Dari pena Ummi

Assalamualaikum, salam ukhuwah buat anak-anak Ummi sekelian. Terimakasih kerana membaca dan menyokong blog Ummi. Kali ini Ummi ingin menarik perhatian anak-anak tentang cinta pada negara.
Setiap dari kita sudah tentu punya tanahair sendiri, tempat kita di lahirkan dan di besarkan. Sehingga di dalam sijil kelahiran dan kad pengenalan diri pun taraf kewarganegaraan wajib di catit. Sewaktu kita di tadika juga sudah terdedah dengan semangat kebangsaan dengan menyanyikan lagu Negaraku dan membaca Rukunegara. Mengapakah kita perlu berbuat demikian?
Walaupun Ummi di lahirkan dan berasal dari seberang tambak, tetapi Ummi banyak di besarkan dan mendapat pendidikan di Malaysia. Ummi merasa bangga menjadi rakyat Malaysia, "di mana bumi di pijak di situ langit di junjung", bukan? Oleh itu berbanggalah kerana anda punya sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Sebagai remaja yang berilmu dan sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara dan mengekalkan kedaulatannya. Walau di mana anda berada, tanahair janganlah di lupakan bak kata pepatah "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri". Sesungguhnya anda adalah modal insan yang cukup berharga buat negara. Janganlah sesekali anda menderhaka pada negara, kerana tanpanya siapalah anda kini..
Cinta pada negara bukan saja sekadar menyambut hari kemerdekaan dengan meriah dan mengadakan acara yang gilang gemilang,tetapi hendaklah mempraktikkan konsep Rukunegara itu sendiri. Sebagai sebuah negara Islam, hendaklah kita memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam dengan mengamalkan keseluruhan cara hidup berlandaskan Al Quraan dan Al Sunnah. Islam adalah cara hidup kita. Bermulanya kejayaan atau keharmonian sesebuah institusi kemanusiaan bergantung kepada amalan hidupnya. Tanpa agama kita akan menjadi manusia yang tidak bertamadun.
Begitu juga bagi negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan seperti negara kita. Sebagai rakyat yang beragama, berilmu dan bertamadun tinggi hendaklah kita menghormati institusi ini dengan penuh taat kerana ia adalah lambang kedaulatan dan keagungan sesebuah negara itu. Jauhkan sikap kederhakaan kerana derhaka kita padanya ibarat menderhaka kepada agama dan negara sendiri..seperti "percik air di dulang terkena ke muka sendiri". Orang luar akan memandang rendah dan menganggap rakyat kita tidak punya akhlak dan harga diri. Kesetiaan pada negara begitu longgar dan memungkinkan kebarangkalian dengan mudahnya kemasukkan pelbagai elemen jahat dari luar. Apa akan jadi kiranya kita terlalu leka dengan mencemarkan kedudukan institusi beraja ini tanpa batas..sedangkan orang luar begitu taksub untuk menimba kesempatan dan peluang menghancurkan keharmonian dan kesejahteraan tanpa kita sedari...Inilah kelemahan kita sendiri,maka renungkanlah..
Kita haruslah berbangga kerana negara kita sentiasa aman dan makmur di bawah pentadbiran secara demokrasi berparlimen. Seharusnya kita mengambil iktibar di atas kejatuhan Empayar Melaka dahulu. Sanggupkah kita melihat sejarah berulang kembali di tanahair kita ini? Janganlah jadi "duri dalam daging". Kita mestilah bersyukur kerana suara kita berkuasa menjadikan negara kita dengan acuan kita sendiri,tanpa campur tangan kuasa luar, kita mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara lain di dunia.Kini Malaysia di kenali di seluruh dunia. Tergamakkah kita untuk menghancurkan negara dengan tangan kita sendiri? Fikirkanlah anak-anak sekelian.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita mempunyai sistem perundangan yang adil dan saksama bagi semua kaum.Oleh itu hendaklah kita menghormati dan mematuhinya demi kestabilan dan keselamatan negara. Indahnya keharmonian dan kedamaian sesebuah negara itu adalah berlandaskan kerukunan dan persepakatan semua pihak dalam mentadbir dan menyelia mengikut undang-undang tubuh yang telah termaktub.
Akhirrnya, hendaklah kita sentiasa memelihara tatasusila dengan penuh keikhlasan demi bangsa yang bermaruah ini.Negara yang berakyatkan insan yang berdisiplin, berhemah tinggi dan menyintai kedamaian dapat menjana kestabilan perpaduan kaum,agama dan budaya. Sesungguhnya kesopanan dan kesusilaan adalah teras kejayaan.Dari itu marilah kita bersama menyemai rasa cinta pada negara dengan memelihara kedaulatannya agar tidak mudah tergugat dek sebarang musibah.

Salam kasih sayang dari Ummi..
Cinta negara biarlah tersemat,walau di balik awan ia tersurat, berbanggalah punya negara yang berdaulat,terungkai di jiwa biarlah ke akhir ayat.

Tiada ulasan: